PADA 1986 satu konsep yang dikenali sebagai Hanruh (pertahanan menyeluruh) telah diperkenalkan di negara ini.
Secara mudahnya Hanruh bermaksud pertahanan negara ini bakal memerlukan penglibatan semua pihak dan lapisan masyarakat, untuk berganding bahu mempertahankan negara dalam apa jua krisis (terutamanya berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara) dan tidak hanya bergantung kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pada 2010, Hanruh disebutkan dalam NDP 2010 (National Defense Policy 2010) atau Polisi Pertahanan Nasional dengan penerangan lebih terperinci. Perkara ini dilanjutkan lagi pada 2017 apabila Hanruh diangkat sebagai Strategi ke-10 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan telah diluluskan pada Januari tahun sama.
Apa yang ditonjolkan dalam Strategi ke-10 MKN ini adalah penyemaian semangat dan kemahuan untuk berdikari dalam perihal keselamatan.
Dalam konteks NDP 2010 dan MKN 2017, konsep Hanruh mempunyai objektif untuk membolehkan negara ini mencapai kemampuan bertindak terhadap ancaman musuh dengan hanya menggunakan sumber sendiri untuk melindungi kedaulatan, kemerdekaan dan integriti persempadanannya.
Konsep Hanruh ini terus menjadi sebutan hingga ke hari ini dengan pelbagai slogan diperkenal agar konsep ini dilihat relevan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) umpamanya menggunakan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ sebagai slogan utama, manakala Tentera Darat Malaysia (TDM) 'tentera dan rakyat berpisah tiada'.
Lebih daripada hanya slogan pada waktu sambutan hari agensi keselamatan, kita sebenarnya perlu melihat apakah roh Hanruh itu benar-benar telah berjaya ditanamkan dalam jiwa kepimpinan dan rakyat negara ini dan tidak hanya sebagai penghias bahasa dan penyedap makna.
Hari ini, pada era global tanpa sempadan secara fizikal dan maya, skop keselamatan itu sendiri sebenarnya telah merangkumi aspek yang mungkin tidak dijangka oleh mereka yang memperkenalkan konsep itu sendiri pada era tahun 1980-an.
Hari ini Hanruh turut merangkumi aspek lain seperti keselamatan makanan dan siber serta komunikasi. Malangnya kefahaman masyarakat mengenai Hanruh masih lagi berada pada era tahun 1980-an, iaitu gambaran mental memperlihatkan seorang anggota polis atau tentera menyandang raifal menentang gerila komunis.
Konsep Hanruh sebenarnya perlu sentiasa seiring dengan jenis dan tahap ancaman dan tidak jumud dengan konsep ancaman tahun 1980-an. Hari ini Hanruh juga perlu berhadapan dengan ancaman baru yang mengancam kestabilan ekonomi dan kewangan negara.
Unsur-unsur jenayah seperti rasuah, salah guna kuasa yang boleh dianggap sebagai ‘gunting dalam lipatan’ serta ‘api dalam sekam’ sebenarnya merupakan satu ancaman yang lebih merbahaya kepada negara.
Ini kerana jika ancaman ketenteraan luar dapat dilihat dengan jelas dan nyata, ancaman oleh rakyat negara yang belot dan sanggup menggadai dan berkompromi terhadap keselamatan negara hanya kerana wang ringgit dan kekayaan peribadi lazimnya amat sukar dikesan.
Semasa menjadi panel jemputan Persidangan Keselamatan Negara 2022, pada 19 Julai lalu berjudul "Landskap Keselamatan Negara: Mendepani Cabaran Semasa & Akan Datang”, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany mungkin mahu menyedarkan semua lapisan rakyat mengenai konsep Hanruh yang lebih relevan hari ini.
Mohd Reza berkata, segala situasi yang mungkin memberi ancaman terhadap kedaulatan negara memerlukan tindakan 'Whole Government, Whole of Society' (Wogos) atau ‘Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat’.
Ini sebenarnya lebih tepat dengan keadaan ancaman hari ini kerana turut meletakkan tanggungjawab proses mempertahankan kedaulatan negara juga kepada pihak kerajaan yang merangkumi kesemua sektor, dari ahli politik, menteri sehinggalah penjawat awam (Whole Government).
Penumpuan tidak sepatutnya diletakkan di atas kepala masyarakat umum (Whole of Society) semata-mata. Ini kerana dalam aspek keselamatan, kadang-kala banyak perkara tidak diketahui umum kerana mungkin ’diselindung’ menggunakan Akta OSA bagi tujuan kepentingan individu tertentu dan bukan keselamatan negara.
Kebelakangan ini berlaku krisis yang bakal melemahkan angkatan tentera berkemungkinan akibat kelemahan sektor kerajaan yang sepatutnya memantau program-program perolehan dengan telus bagi mengelakkan ketirisan dan penipuan.
Dalam kes terbaru berkaitan kapal tempur pesisir (LCS), banyak pihak menuding kepada kelemahan proses semak-imbang (check and balance) dilakukan perbendaharaan dan Kementerian Pertahanan terhadap industri dan hanya ‘terbangun dari lena’ apabila pendedahan dibuat oleh laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca