PADA Jumaat lalu, seorang pemuda yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS), Hadi Matar berusia 24 tahun disyaki menikam dengan pisau penulis kontroversi kelahiran India, Sir Salman Rushdie di atas pentas dalam satu majlis di Institusi... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Jumaat lalu, seorang pemuda yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS), Hadi Matar berusia 24 tahun disyaki menikam dengan pisau penulis kontroversi kelahiran India, Sir Salman Rushdie di atas pentas dalam satu majlis di Institusi Chautauqua, New York sebelum beliau dijadualkan untuk memberikan syarahan tentang kebebasan artistik.

Penemuduga Rushdie, 75, yang turut berada di atas pentas, Henry Reese turut mengalami kecederaan ringan di kepala selepas Matar dituduh menyerangnya dan Reese juga dibawa ke hospital bersama penulis tersebut yang berlumuran darah akibat tikaman itu bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Salman Rushdie - Foto AFP

Penyerang itu memakai pakaian hitam dan topeng, polis memberitahu dalam sidang akhbar baru-baru ini bahawa beberapa kakitangan majlis tersebut serta penonton telah menangkapnya sebelum dia diserahkan kepada pihak berkuasa.

Dia kemudian dipenjarakan di Penjara Chautauqua County, New York atas tuduhan melakukan serangan tersebut.

Sehubungan itu, siapakah sebenarnya Matar yang berani melakukan serangan tersebut apabila dia menyerbu pentas dengan tujuan untuk menikam Rushide?

Ibu bapa Matar berhijrah dari Yaroun iaitu sebuah perkampungan di selatan Lubnan ke AS dan dia dipercayai dilahirkan kira-kira sedekad selepas novel karya Rushie yang kontroversi, 'The Satanic Verses' diterbitkan menyebabkan penulis tersebut menerima ancaman bunuh daripada Pemimpin Agung Iran, Allahyarham Ayatollah Ruhollah Khomeini pada tahun 1989.

Novel yang menghina Nabi Muhammad SAW itu telah diharamkan di Iran manakala habuan sebanyak lebih AS$3 juta (RM13.37 juta) ditawarkan oleh sebuah yayasan dari negara berkenaan kepada pihak yang berjaya membunuh Rushdie.

Bagaimanapun, Martar berjaya menikam penulis tersebut yang merupakan warga United Kingdom (UK) iaitu lebih 30 tahun selepas Allahyarham Ayatollah Ruhollah Khomeini menyeru pembunuhannya sebagai tindak balas kepada buku 'The Satanic Verses' menyebabkan Rushdie memerlukan kawalan keselamatan dalam hidupnya.

Selepas penulis tersebut ditikam, akaun media sosial Matar yang tinggal di Fairview, New Jersey dibongkar sekali gus menunjukkan dia bersimpati dengan perjuangan Syiah dan Pasukan Pengawal Revolusi Iran, menurut stesen penyiaran NBC baru-baru ini.

Ini menyebabkan seorang pegawai Hezbollah yang pro-Iran berkata pada Sabtu kepada Reuters bahawa kumpulan itu tidak mempunyai sebarang maklumat tambahan mengenai serangan terhadap Rushdie manakala polis New York masih tidak mengetahui motif serangan tersebut.

MURUNG

Namun, ibunya, Silvana Fardos, 46, menjelaskan pada Ahad lalu bahawa Matar mengalami perubahan sikap pada tahun 2018 selepas pulang dari Lubnan kerana melawat bapa kandungnya dan menjalani kehidupan yang murung serta mengurung diri di ruang bawah tanah di rumah mereka selain enggan bercakap dengan keluarganya selama berbulan-bulan.

Fardos berkata, seperti yang dilaporkan oleh Daily Mail pada Ahad lalu bahawa anaknya tidak pernah bekerja sejak beberapa bulan lalu dan tidak jelas sama ada dia sudah bekerja di sebuah pusat pasar raya beli-belah ketika serangan itu berlaku.

Wanita tersebut juga mengakui bahawa dia tidak pernah mendengar nama Rushdie sehinggalah penulis terkenal itu diserang oleh anaknya yang disyaki menikamnya di barat New York sebelum Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menghubungi keluarganya berhubung kejadian berkenaan.

Fardos berkata, barangan yang dirampas oleh ejen-ejen FBI dari ruang bawah tanah anaknya ialah komputer, PlayStation, buku, pisau dan alat untuk mengasah bilah selepas Rushdie ditikam.

Wanita tersebut sebenarnya telah bercerai dengan suami dan bapa Matar iaitu Hassan Matar pada tahun 2004.

Bekas suaminya itu kemudian kembali ke Lubnan manakala dia berpindah ke New Jersey untuk memulakan kehidupan yang baru.

Fardos yang juga mempunyai anak kembar berusia 14 tahun dilaporkan berkata bahawa anak sulungnya itu pernah bersekolah di Cudahy, California dan menjadi lebih kuat beragama apabila umurnya semakin meningkat.

Matar tidak pernah mempunyai pekerjaan dan tidak mempunyai teman wanita tetapi telah menyertai gimnasium tinju tempatan tiga bulan lalu sebelum secara tiba-tiba bertindak membatalkan keahliannya pada minggu lalu.

Dia bertanggungjawab atas tindakannya, kata ibunya itu kepada Daily Mail selepas anaknya menjadi suspek dalam kejadian tikaman ke atas Rushdie yang pernah memenangi Hadiah Booker Prize pada tahun 1981 menerusi novel 'Midnight's Children.

Seorang wartawan AFP yang melawat kampung Yaroun, Lubnan pada Sabtu lalu tidak dapat mewawancara bapanya iaitu seorang pengembala ternakan.

Bapanya telah mengurung diri di rumahnya dan enggan bercakap dengan sesiapa selepas kejadian tikaman tersebut berlaku.

Matar kini ditahan di penjara tanpa dibenarkan diikat jamin dan telah didakwa secara rasmi atas tuduhan cubaan membunuh tahap dua dan menyerang dengan senjata ke atas Rushdie. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca