SHAH ALAM - Rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak akan berjalan seperti biasa selepas Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu dan menangguhkan pendengaran rayuan selama tiga... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak akan berjalan seperti biasa selepas Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu dan menangguhkan pendengaran rayuan selama tiga hingga empat bulan.

Sekiranya mahkamah membenarkan keterangan baharu itu dibuat, pasukan Bossku itu mungkin akan menambah tempoh masa perbicaraan kes atau menggunakan strategi tersebut untuk terbalikkan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, dengan keputusan mahkamah yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia itu, maka rayuan akan diteruskan dengan bukti yang sedia ada.

"Selalunya dalam perbicaraan untuk rayuan, pemohon tidak boleh membawa keterangan baharu kerana semua sudah selesai di peringkat Mahkamah Tinggi. Walaupun keterangan baharu ditolak, kes rayuan akan terus berjalan seperti biasa kerana bukti semua sudah ada,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Tambahnya, keterangan baharu yang dikemukakan oleh Najib mampu memberi beliau kelebihan dan mungkin satu strategi yang digunakan untuk menang kes tersebut.

"Keterangan baharu itu akan memberi satu kelebihan kepada beliau. Ia juga merupakan strategi untuk menang kes dan terbalikkan sabitan.

"Semua cara yang ada boleh digunakan namun terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Terpulang kepada masing-masing juga jika ada dakwaan yang mengatakan sama ada keterangan baharu ini adalah untuk melambat-lambatkan kes,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) ketika sidang media di Mahkamah Persekutuan hari ini.Turut kelihatan peguamnya Hisyam Teh Poh Teik (kiri) dan Datuk Zaid ibrahim (kanan).Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

BUKAN SAHAJA TIDAK KUKUH, MALAH TIDAK MUNASABAH

Hari ini, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakimannya berkata, permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan tidak memenuhi syarat undang-undang dan menolak tawaran peguam Najib untuk menangguhkan perbicaraan selama tiga hingga empat bulan kerana pihak pembelaan memerlukan masa untuk menyediakan kes mereka.

"Mahkamah mengambil maklum bahawa sudah menjadi hak Najib selaku pemohon untuk memilih peguam baharu bagi mewakilinya dalam rayuan akhir.

"Namun, pemohon tidak boleh buat pusingan U dan menyatakan peguam baharunya tidak bersedia untuk meneruskan pendengaran rayuan.

"Pemohon tahu bahawa tarikh prosiding telah ditetapkan lebih awal tetapi tetap memilih untuk memberhentikan khidmat Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma guaman Tetuan Shafee & Co lalu melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dan barisan peguam lain antaranya Hisyam Teh,” katanya.

Tengku Maimun berkata, alasan permohonan itu bukan sahaja tidak kukuh, malah tidak munasabah.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, antara syarat undang-undang yang mungkin menyebabkan permohonan Najib untuk keterangan baharu ditolak adalah kerana syaratnya yang tidak kukuh.

"Sekiranya ingin menambah keterangan, syaratnya mestilah kukuh dan boleh diterima. Mungkin beliau ingin menimbulkan konflik tetapi mahkamah beranggapan ia tidak cukup dan sebab itu ditolak,” katanya.

Sementara itu, penganalisis undang-Undang, Profesor Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, permohonan keterangan baharu Najib yang ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini tidak akan memberi implikasi kepada prosiding kes yang sedang berjalan.

"Kes itu sudah mula cuma beliau mahu memasukkan keterangan baharu. Pendakwa sudah mengetahui bukti apa yang pembela ada dan pembelaan tahu bukti apa yang pendakwa bawa.

"Secara keseluruhannya, beliau mahu menambah bukti baharu dan membuat permohonan namun ditolak oleh hakim. Tiada apa yang berubah selepas ini dan kes akan berjalan seperti biasa dengan dengan bukti sedia ada seperti dipersetujui semua,” katanya.

Dengan penolakan permohonan tersebut rayuan utama Najib akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi.

Klik di sini untuk terus membaca