SHAH ALAM - Malaysia tidak mempunyai kepakaran dan tidak layak untuk membina kapal secanggih kapal tempur pesisir (LCS). Penganalisis Pertahanan dan Geostrategik, Muhamad Fuad Mat Noor berkata, keupayaan industri maritim negara berada pada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia tidak mempunyai kepakaran dan tidak layak untuk membina kapal secanggih kapal tempur pesisir (LCS).

Penganalisis Pertahanan dan Geostrategik, Muhamad Fuad Mat Noor berkata, keupayaan industri maritim negara berada pada tahap yang rendah dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 2006.

Menurutnya, dari segi kemampuan pembangunan kapal tentera laut, kapal tempur atau kapal sokongan, industri maritim negara mempunyai 'track record' yang tidak bagus contohnya berkaitan isu Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV).

"Kapal NGPV itu mengalami masalah yang sama iaitu kerajaan terpaksa mendahulukan wang, kemudian menambah wang untuk menyiapkan kapal itu. Daripada situ 'track record' kita tidak begitu baik.

"Pada 2006, Mindef ada melaksanakan satu soal siasat mengenai beberapa industri tempatan untuk membangunkan sistem pertahanan, kenderaan dan persenjataan.

"Untuk industri maritim, mereka meletakkan enam kategori penilaian. Daripada enam kategori itu, empat kategori adalah di peringkat yang rendah dan menunjukkan industri maritim kita gagal. Jadi, saya tak faham kenapa kita ambil keputusan untuk buat kapal LCS tersebut," katanya dalam program Wacana Sinar siri ke-361 bertajuk LCS : Ada Dalam Tiada yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Shu Qi dan Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan contoh syarikat pembuat kapal Indonesia, PT PAL yang mempunyai kepakaran yang lebih baik berbanding Boustead Naval Shipyard (BNS) namun masih tidak membina LCS sepenuhnya dan mengharapkan kepakaran daripada luar.

"Apabila tentera laut Indonesia memutuskan untuk membeli kapal Sigma, mereka memecahkan pembinaan kapal itu kepada enam bahagian. Empat bahagian daripadanya dibina di Indonesia dan selebihnya di Belanda.

"Ini menunjukkan walaupun PT PAL mengetahui mereka mempunyai kepakaran tinggi tetapi dalam sistem tertentu mereka masih memerlukan bantuan. Sebab itu, bagi saya tak tepat keputusan kita untuk bina kapal sendiri," katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan ketirisan yang berlaku dalam pembinaan kapal LCS itu memberikan kesan buruk kepada pertahanan negara terutama kebergantungan kepada sistem pertahanan maritim.

Menurutnya, sistem pertahanan negara ketika ini berada pada tahap yang paling lemah dan terkebelakang berbanding Filipina, Indonesia dan Thailand.

"Kita banyak menghadapi masalah seperti pesawat pejuang Sukhoi yang ada masalah, sekarang kapal pula ada masalah. Sebagai sebuah negara maritim, kita perlu bertahan daripada musuh yang menceroboh di laut.

"Kalau kita kaji sejarah lampau, Portugis datang dengan kapal. Jepun sebelum mendarat di Kota Bharu dan Kedah, mereka memusnahkan dua kapal utama British. Selepas itu, barulah mereka boleh menguasai kawasan.

"Dalam sejarah kita, semua yang menceroboh negara menggunakan jalan laut. Jadi, kita mesti mempunyai pertahanan laut yang kuat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca