PADA suatu hari, ketika berumur 14 atau 15 tahun, saya bersalam dengan seorang pak cik yang merupakan sahabat keluarga. "Amboi, lembutnya tangan Budi ni,” katanya. Walaupun dia sekadar mengusik tetapi saya sangat terkesan dengan kata-kata... Klik di sini untuk terus membaca

PADA suatu hari, ketika berumur 14 atau 15 tahun, saya bersalam dengan seorang pak cik yang merupakan sahabat keluarga.

"Amboi, lembutnya tangan Budi ni,” katanya.

Walaupun dia sekadar mengusik tetapi saya sangat terkesan dengan kata-kata itu. Kecewa. Sebagai lelaki saya tidak suka dikatakan memiliki tapak tangan yang lembut kerana seorang lelaki sebenar sepatutnya mempunyai tapak tangan yang keras dan kasar.

Disebabkan kata-kata itu, saya menjadi semakin rajin melakukan kerja-kerja kasar sama ada sebagai sebahagian daripada aktiviti kepengakapan atau sekadar mencari wang saku.

Kadang-kadang saya sengaja mengangkat benda-benda berat yang ada di sekitar rumah. Tujuannya sama, supaya tapak tangan menjadi lebih keras dan kasar.

Seorang sahabat pena saya pernah bercerita tentang budak lelaki kawan sekelasnya semasa di sekolah rendah yang sering diejek oleh rakan-rakan sebab dia suka pakai bedak dan minyak wangi.

Itulah cara hidup zaman saya dan tentu juga era sebelumnya. Lelaki sejati sentiasa mengelak daripada disekutukan dengan apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan perempuan.

Ia bukan sahaja dalam hal lembut lembai, halus mulus dan gebu gebas, tetapi juga segala sesuatu yang lain.

Pada era itu orang lelaki jangan cuba-cuba bercerita pasal penjagaan muka, kulit dan sebagainya. Baru buka mulut sahaja akan kena gelak, kemudian tujuh keturunan akan diungkit.

Pengecualian mungkin ada bagi kumpulan-kumpulan terpencil. Misalnya, puak Wodaabe, kumpulan nomad yang tinggal di sekitar Niger, Cameroon, Nigeria dan Chad di Afrika.

Kaum lelaki daripada suku kaum itu sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk berdandan dan bersolek kerana itulah cara mereka menarik perhatian kaum wanita.

Tetapi di kebanyakan tempat lain, terutamanya kita di sini, perbuatan begitu bukan sahaja di luar kebiasaan, malah dianggap pelik. Tak ramai rasanya orang sudi bermenantukan lelaki yang asyik membelek rambut dan bermain losyen.

Pada zaman ‘now’ semua itu menjadi sejarah. Dunia baharu menyaksikan kaum lelaki berlumba-lumba menjaga kecantikan diri. Malah ramai daripada mereka yang lebih beria-ia dalam hal ini berbanding perempuan.

Saya tak fikir Almarhum Mat Kilau, Hang Tuah, Tun Perak, Parameswara atau sesiapa juga sebelum mereka pernah terbayang yang suatu masa anak cucu mereka yang lelaki akan bersembang-sembang dengan lelaki lain tentang produk skin care dan body care, bukannya tentang keris, lembing atau pedang.

Satu laporan oleh Grandview Research yang berpangkalan di Amerika Syarikat menunjukkan pasaran produk penjagaan diri lelaki di seluruh dunia meningkat daripada AS$11.65 bilion pada tahun 2019 kepada AS$12.34 pada tahun 2020. Ia menjangkakan angka itu akan melonjak kepada RM18.93 bilion pada tahun 2027.

Ledakan ini berlaku di mana-mana, merentas sempadan geografi dan budaya. Sekarang ini tidak ada lagi peliknya melihat lelaki membawa beg kecil berisi peralatan penjagaan diri.

Tidak siapa lagi akan terjeling-jeling dan tersenyum-senyum melihat seorang atau beberapa orang lelaki lain menyapu foundation ke muka dan mengilatkan kuku di depan khalayak.

Sama ada di media baharu atau media konvensional, produk-produk penjagaan diri lelaki dipasarkan dengan meluas oleh lelaki-lelaki yang tidak lagi kekok bercakap tentang krim pemutih, krim pelembap, body scrub dan lain-lain. Di luar sana pula salun-salun penjagaan diri untuk lelaki sedang tumbuh dengan galaknya.

Adalah silap kalau mengaitkan penjagaan diri dalam kalangan lelaki ini dengan unsur-unsur kelembutan atau ‘kesotongan’. Tidak.

Ramai dalam kalangan lelaki yang mengambil berat soal penjagaan diri ini adalah mereka yang tidak kurang sedikit pun kejantanannya dari suara sehinggalah sosok badan. Yang lengannya sekeras kayu jati dan yang penamparnya sebesar pinggan pun ada.

Persoalan yang mungkin timbul ialah kenapa fenomena ini berlaku? Apa puncanya? Adakah lelaki telah bosan dengan dunianya sendiri, maka itu mereka mula meneroka dunia lain yang kebetulan lebih dahulu diterokai oleh wanita?

Tidak mudah untuk menjawab soalan itu. Sama jugalah dengan tidak mudah untuk mencari sebab kenapa ada perempuan berasa hebat bila berperangai macam jantan.#dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca