'DO you love me?’ Itulah soalan yang kerap ditanya oleh seorang gadis kepada pacarnya. Ia adalah soalan yang mengharapkan jawapan ‘Iya’ daripada sang pria.
Andai jawapannya seperti yang diharap, maka gembiralah si gadis setelah memperoleh kepastian. Sukalah si jejaka kerana membikin pasangannya bahagia.
Soalan ‘apakah kau sayangi daku’ itu biasa ditanya oleh seseorang yang mengharapkan jawapan yang mengundang kepastian.
Si mama akan bertanya si anak, atau si adik akan bertanya kakaknya. Pengakuan ‘aku sayang padamu’ adalah kenyataan yang lahir daripada emosi.
Kerana emosilah seseorang itu mampu melakukan yang luar biasa demi yang disayangi, sebagaimana metafora ‘lautan api sanggup kurenangi.’
Bagaimanapun, apakah agaknya jawapan kita seandainya negara mempunyai suara lalu bertanya ‘apakah awak cintakan saya?’
Ramai dalam kalangan kita yang mampu menjawabnya tanpa ragu-ragu, malah siap dengan menunjukkan bukti kecintaan mereka.
Anggota tentera yang berkorban nyawa di hutan belantara, anggota polis yang sentiasa dibayangi ajal kerana membanteras penjenayah, kalangan guru yang sanggup ke pedalaman negeri untuk mendidik dan juga ekspatriat yang pulang dari luar negara untuk berkhidmat di negara sendiri adalah di antara mereka yang mampu mengaku ‘aku cintakan negaraku’ dengan bukti tindakan masing-masing.
Malah, ramai dalam kalangan warganegara yang berusia sebaya atau lebih tua daripada negara, tidak kira apa pun bangsa boleh berkata dengan bangganya bahawa ‘kami cintakan kau, Malaysia.’
Sebabnya, ada yang pernah merasa penangan penampar Jepun atau trauma kerana ada anggota keluarga yang disembelih komunis. Mereka serik dijajah.
Mereka bersyukur sangat apabila kita dapat merdeka dan mengibarkan Jalur Gemilang. Mereka melihat kemajuan dan pembangunan negara dengan hasil mahsul dari bumi seperti bijih timah, bijih besi dan bauksit.
Mereka tahu betapa negara mendapat hasil eksport getah dan kelapa sawit dan pernah menjadi negara pengeluar terbesar dunia untuk tanaman-tanaman ini. Segala-galanya berubah dan menjadi baik di depan mata. Semakin sehari Malaysia yang dicintai kian makmur.
Namun, bagi anak-anak pasca merdeka, apa yang membuatkan mereka cintakan negara ini? Benar, sebahagian besar daripada mereka menyanyikan Negaraku di sekolah dan dipupuk semangat oleh para guru agar cintakan negara. Tetapi di luar sekolah, mereka tidak nampak itu.
Malah di rumah sendiri rata-rata dalam kalangan ibu bapa, mereka tidak mengasuh anak-anak cintakan negara. Maaf cakap...termasuk kita yang membaca ini.
Pada suatu ketika dahulu, kita berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana kehebatan individu-individu yang merangkul pencapaian besar. Datuk Azhar Mansor adalah anak Malaysia pertama yang mengelilingi dunia secara solo. Kemudian kita ada Datuk Malik Mydin yang berjaya berenang merentasi Selat Inggeris.
Kita juga berbangga dengan Datuk M Magendran dan N Mohandas yang menawan puncak Everest. Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pula adalah angkasawan Malaysia yang pertama dan bangga dengan Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang pernah merentas kutub utara dan kutub selatan. Untuk mencintai negara, kita mesti mempunyai perasaan bangga terhadapnya.
Apakah elemen yang boleh menjadikan kita berbangga menjadi rakyat Malaysia? Kejayaan. Kejayaan mereka yang membawa Jalur Gemilang itulah yang menaikkan semangat kita.
Meskipun sedikit, namun memadailah anak-anak kita meremang bulu roma menyaksikan kejayaan mereka yang merangkul pingat dalam arena sukan seperti dalam Sukan Komanwel baru-baru ini.
Ini sahajalah peluang kita melaung ‘Malaysia Boleh!’ atau menyanyikan lagu Saya Anak Malaysia bersama-sama sebagai warganegara Malaysia.
Selain daripada situasi itu, kita tiada peluang untuk berasa bangga. Tidak terfikirkah bahawa kita sebenarnya sudah miskin semangat?
Jangan tanya pula apa pentingnya semangat itu, sebab itu menandakan kita sudah papa perasaan!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca