SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pembaharuan yang dibawa dalam urusan berkaitan pilihan raya lebih menonjol. Pelaksanaan pindaan-pindaan signifikan mula disaksikan. Kesignifikanan lebih ketara berbanding pindaan-pindaan sebelum... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pembaharuan yang dibawa dalam urusan berkaitan pilihan raya lebih menonjol.

Pelaksanaan pindaan-pindaan signifikan mula disaksikan. Kesignifikanan lebih ketara berbanding pindaan-pindaan sebelum tahun 2018.

Lipatan sejarah menunjukkan negara melalui beberapa pindaan dan penggubalan bagi memantapkan sistem dan undang-undang pilihan raya terutama yang dibawa pada awal 1990-an dan 2002-2003. Kemudiannya pada tahun 2013 iaitu dakwat kekal.

Senarai pembaharuan itu terkandung dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

Meskipun terdapat sejumlah undang-undang diperkenalkan, tetapi antilompat parti dilihat sebagai ibu kepada segala pindaan kerangka perundangan berkaitan pilihan raya yang diharapkan. Ia membawa satu perubahan amat mendalam ke atas landskap pilihan raya.

Undang-undang mengekang lompat parti merupakan sebahagian pakej kestabilan politik yang dijanjikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pada awal September 2021, beliau mengemukakan tujuh tawaran untuk mewujudkan landskap politik baharu bagi melaksanakan transformasi dalam tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen. Ia disusuli memorandum persefahaman bersama Pakatan Harapan (PH).

Tiga minggu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau mengumumkan tawaran itu meliputi Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti dan pelaksanaan Undi18 serta pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. Dua yang pertama telah dilaksanakan.

Perkara ketiga dalam senarai tindakan beliau telah ditambah dengan RUU pembiayaan politik. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, memorandum jemaah Menteri akan dibentangkan di mesyuarat kabinet bulan depan bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Sementara usaha Ismail Sabri itu dihargai bagi memperkasakan sistem dan undang-undang pilihan raya, negara memerlukan satu penambahbaikan menyeluruh. Kita berada dalam persekitaran sesuai dan kondusif untuk membawa pembaharuan menyeluruh.

Pada 27 Ogos 2020, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah menyerahkan laporan akhir terdiri daripada 49 syor kepada Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Laporan itu dilihat sebagai set syor pembaharuan menyeluruh dalam memenuhi prinsip universal pilihan raya. Peruntukan berkaitan dana politik turut disebutkan dalam laporan tersebut.

Ketika Ismail Sabri genap setahun menjadi Perdana Menteri, diharap tempoh kepimpinan beliau akan meneruskan kesinambungan membawa pembaharuan dalam pengurusan pilihan raya, sekali gus memberi wajah baharu kepada sistem dan undang-undang pilihan raya.

Meskipun tidak kesemua syor boleh dilaksanakan sekarang, sekurang-kurangnya komponen utama boleh dilaksanakan dengan segera atau quick win boleh diperkenalkan. Langkah itu penting bagi menyediakan ruang, peluang dan kemudahan yang lebih membina kepada kesemua pemegang taruh terutama parti politik dan pengundi.

Sebelum tahun 2018, gesaan pembaharuan dalam sistem dan undang-undang pilihan raya banyak dikemukakan pembangkang, badan pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, kini pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan Persekutuan secara bersendirian sehingga Mei 2018, kini turut mendesak keperluan itu. Mereka juga mahukan perundangan berkaitan sumbangan politik.

Terbaharu, Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad ketika berucap pada kongres sayap wanita itu menggesa peruntukan 30 peratus kerusi untuk wanita dijadikan sebagai syarat undang-undang bagi mana-mana parti politik yang ingin bertanding dalam PRU.Perkara tersebut turut terkandung dalam laporan ERC.

Oleh itu, mengambil kira pendirian dan kehendak kesemua parti, Ismail Sabri yang berada dalam kedudukan kondusif, dengan sokongan parti-parti lain terutama PH yang memeterai memorandum persefahaman, boleh menggunakan kelebihan sedia ada untuk meneruskan legasi pembaharuan sistem dan undang-undang pilihan raya sebelum PRU15.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca