SHAH ALAM - Peningkatan harga kereta terpakai didakwa berpunca daripada kewujudan kartel yang agresif mengawal pasaran sejak hujung tahun lalu. Difahamkan, pemilik kereta individu kini memilih untuk menjual kenderaan mereka kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peningkatan harga kereta terpakai didakwa berpunca daripada kewujudan kartel yang agresif mengawal pasaran sejak hujung tahun lalu.

Difahamkan, pemilik kereta individu kini memilih untuk menjual kenderaan mereka kepada syarikat-syarikat kartel yang menawarkan harga pembelian lebih tinggi.

Keadaan itu menyebabkan pemilik kenderaan tidak lagi berurusan dengan syarikat penjual kenderaan terpakai persendirian.

Menurut pemain industri hanya mahu dikenali sebagai Rahmat, fenomena harga kenderaan terpakai yang meningkat ketika ini bukan disebabkan permintaan pasaran yang tinggi.

Sebaliknya, ia kerana penjual kereta terpakai terpaksa membeli kenderaan itu daripada kartel berkenaan pada harga yang mahal.

"Terdapat satu atau dua syarikat berkapasiti besar ini mampu membeli kenderaan terpakai dengan harga tinggi.

"Pemilik ditawarkan harga tinggi jika menjual kenderaan kepada syarikat ini.

"Jadi pemilik-pemilik kenderaan ini lebih memilih untuk jual kepada mereka berbanding menjual kepada penjual kereta terpakai dan menyebabkan tiada stok kereta lagi pada syarikat kecil seperti kami.

"Disebabkan itu, pemilik syarikat kecil terpaksa membeli pula dengan syarikat besar itu. Syarikat itu pula akan tawarkan jualan kepada kami dengan kaedah lelong,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Rahmat yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut menjelaskan, lebih memburukkan keadaan apabila syarikat besar itu boleh membatalkan pemilikan kereta yang dilelong sesuka hati mereka.

"Mereka bijak memanipulasi. Apabila ada penjual kereta terpakai menang bidaan, namun lebih rendah daripada harga yang mereka beli daripada pelanggan, mereka akan kata kenderaan itu tidak jadi dijual.

"Contohnya, jika mereka beli dengan harga RM20,000 tapi mereka lelong bermula RM15,000, kami menang bida dengan harga RM19,000. Sudah tentu mereka tak akan jual kerana tidak mahu rugi RM1,000. Mereka akan berusaha dapatkan harga yang mereka inginkan dan mendapat untung,” dakwanya.

Tambah Rahmat, kartel berkenaan juga mengenakan caj yuran pemprosesan bagi menampung kos penghantaran sekiranya kenderaan berjaya dibida dari negeri-negeri lain.

"Disebabkan kartel ini besar dan ada cawangan di seluruh negara, lebih ramai mahu menjual kepada mereka.

"Jadi, kereta yang dilelong ini juga dari seluruh negara. Pembida perlu tanggung kos untuk dapatkan kereta-kereta ini.

"Kartel ini juga tidak buat apa-apa pada kereta yang dibeli. Pembida yang perlu tanggung kos membersihkan, membaiki dan cat semula kereta untuk dijual semula.

"Sudahlah terpaksa beli pada kadar tinggi, kos pembaikan juga tidak kurang RM2,000. Jadi macam mana kos tak naik dan terpaksa jual pada harga tinggi?” soalnya.

Namun, pada masa sama, dia mengakui meskipun dihimpit dengan tekanan sedemikian, kewujudan syarikat besar atau kartel itu juga membolehkan penjual kereta terpakai menjual stok kereta sedia ada kepada mereka.

"Kadang-kadang jika ada stok agak lama tidak terjual, peniaga tiada pilihan selain menjual balik kepada kartel ini.

"Cuma, ia hanya manfaat kecil berbanding faktor yang memberi kesan kepada harga pasaran secara keseluruhannya,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca