SHAH ALAM - Perikatan Gabungan Jawatan- kuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) berpandangan sekiranya rasuah gagal dibendung di Malaysia, tidak mustahil negara ini akan menempuh keadaan sama seperti Sri Lanka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin menyimpulkan perkara itu berikutan negara berkenaan kini di ambang beban hutang yang banyak.
Jelasnya, kesan rasuah akan menyebabkan sistem penyampaian kerajaan menjadi tidak efisien dan tidak sempurna.
"Hutang negara melambung menyebabkan pembayaran balik bunga dan kos pokok menjadi tinggi sehingga tidak cukup dana untuk projek pembangunan.
"Projek-projek yang penting tidak dapat dilaksanakan, hanya cukup untuk kos operasi.
"Dalam kes yang ekstrem seperti Sri Lanka, mereka tidak mempunyai dana yang cukup untuk membayar bunga bagi hutang dan kos operasi sehingga sistem penyampaian kerajaan lumpuh menyebabkan negara itu jatuh bankrap.
"Justeru, jika rasuah tidak dibendung dengan tegas dan cekap di Malaysia, tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku seperti di Sri Lanka dan negara lain yang menghadapi beban hutang melampau,” katanya kepada Sinar Harian.
ACCIN merupakan satu daripada 14 NGO yang bergabung membentuk Rasuah Busters Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Mohd Jamaludin berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif pasukan Rasuah Busters berikutan agensi yang terlibat juga dilihat sangat aktif dalam membanteras budaya rasuah.
"Terdapat enam tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang digerakkan rakan gabungan Rasuah Busters sebelum ini, antaranya memastikan kebebasan dan ketelusan institusi serta pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik yang merupakan asas mendepani gejala rasuah di negara ini.
"Ini adalah antara dua perkara yang saya rasa sangat penting untuk kita laksanakan,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan lebih banyak NGO dalam menyuarakan isu melibatkan rasuah.
"Ini bertujuan mengembalikan semula kepimpinan kerajaan yang lebih baik, berintegriti dan juga antirasuah. Kita juga akan menggerakkan satu deklarasi pada masa akan datang,” tambahnya.
Klik di sini untuk terus membaca