SHAH ALAM - Rata-rata masyarakat lebih cenderung memilih untuk membeli kereta baharu berbanding kereta terpakai disebabkan pelbagai faktor, antaranya jaminan kualiti dan kos penyelenggaraan lebih stabil, selain harga yang disifatkan tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata masyarakat lebih cenderung memilih untuk membeli kereta baharu berbanding kereta terpakai disebabkan pelbagai faktor, antaranya jaminan kualiti dan kos penyelenggaraan lebih stabil, selain harga yang disifatkan tidak jauh berbeza.

Bagi seorang jurutera dari Butterworth, Pulau Pinang, Muhamad Safar Mansor, 37, aspek keselamatan kereta baharu lebih dipercayai berbanding kereta terpakai yang berkemungkinan berdepan masalah seperti kemalangan dan banjir.

"Kereta baharu didatangkan dengan aspek jaminan antara tiga hingga lima tahun tetapi kalau kereta terpakai, sudah tentu kita sendiri yang perlu keluarkan duit tambahan jika ada sebarang kerosakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, seorang pekerja swasta dari Segambut, Kuala Lumpur, Muhammad Emir Badrul Hisham, 31, berkata, harga kereta baharu ketika ini terutama kereta tempatan dilihat lebih kurang sama dengan harga kereta terpakai.

"Satu lagi, jika kita beli kereta baharu, kita hanya perlu bayar bulanan sahaja tetapi kalau kereta terpakai, mungkin kena fikir sekali harga untuk selenggara,” jelasnya yang merancang untuk membeli kereta kedua pada tahun depan.

Seorang guru dari Ipoh, Perak, Najwa M Hesimuddin, 28, pula mengakui lebih cenderung untuk memilih kereta baharu kerana mahu mengelak risiko penyelenggaraan tambahan yang berpotensi menambahkan beban perbelanjaan kenderaan.

"Kalau kereta terpakai memang ada yang murah tapi sebab saya fikirkan bayaran komitmen.

"Saya tidak mahu ada apa-apa risiko, misalnya kereta tiba-tiba rosak. Jadi, lebih baik kita beli kereta baharu.

"Lagi pun kereta baharu tempatan pun ada yang murah menyamai kereta terpakai import,” katanya.

Dalam pada itu, seorang kerani dari Ayer Molek, Melaka, Muhamad Mahdi Iqbal Kamarudin, 23, menjelaskan dia lebih berminat memilih kereta terpakai khususnya jenama tempatan kerana komitmen bulanan yang rendah, selain boleh dibeli pada harga tunai.

"Apabila komitmen bulanan rendah, pembeli boleh buat simpanan untuk kegunaan penukaran komponen kereta terpakai tersebut.

"Selain itu, kereta terpakai lazimnya mempunyai banyak pilihan alat ganti yang murah,” katanya.

Muhammad Mahdi bagaimanapun mengakui penjagaan kereta terpakai agak sukar untuk dilakukan sekiranya individu berkenaan tidak mahir isu penyelenggaraan, sekali gus berpotensi memberikan beban kewangan tambahan.

Sementara itu, bakal pembeli kereta pertama yang juga seorang penuntut universiti swasta di Kajang, Selangor, Nurul Khairul Ellysa Khairul Azman, 21 berkata, meskipun terbuka bagi kedua-dua jenis kenderaan tersebut, dia memilih untuk membeli kereta baharu sekiranya mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

"Sebenarnya kereta terpakai pun tiada masalah cuma kita kena lihat juga keadaannya. Kalau baru guna setahun atau dua tahun, itu masih okay.

"Tapi kalau ada duit lebih, saya akan beli kereta baharu kerana ia lebih terjamin,” katanya yang merancang membeli kereta tahun depan.

Klik di sini untuk terus membaca