TALIBAN menguasai semula Kabul di Afghanistan pada 15 Ogos 2021 selepas pengunduran tentera asing termasuk Amerika Syarikat (AS), sekali gus menamatkan peperangan antara kuasa Barat di negara berkenaan yang berlaku hampir 20 tahun. Dalam... Klik di sini untuk terus membaca

TALIBAN menguasai semula Kabul di Afghanistan pada 15 Ogos 2021 selepas pengunduran tentera asing termasuk Amerika Syarikat (AS), sekali gus menamatkan peperangan antara kuasa Barat di negara berkenaan yang berlaku hampir 20 tahun.

Dalam peristiwa bersejarah itu, para pejuang pergerakan Islam menawan Kabul secara aman bagi memberi lauan kepada peroses peralihan pentadbiran tanpa pertumpahan darah selepas menguasai beberapa buah bandar lain dalam tempoh beberapa minggu sahaja sebelum menguasai ibu kota negara tersebut.

Pada hari yang sama tahun lalu, Presiden Afghanistan ketika itu, Ashraf Ghani meninggalkan Kabul bersama keluarganya dan kemudian menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika Taliban mengumpulkan para pejuangnya di sekitar ibu kota Kabul.

Kejayaan itu diraikan oleh para pejuang Taliban pada 16 Ogos lalu dan sebahagian penduduk di negara berkenaan pada ulang tahun pertama pengunduran tentera asing berundur dan tidak lagi menduduki Afghanistan.

Lebih AS$8 bilion (RM35.73 bilion) rizab asing telah disimpan di luar Afghanistan termasuk AS$7 bilion (RM31.26 bilion) di AS sejak Taliban menawan Kabul pada Ogos lalu apabila tentera yang diketuai negara ‘Uncle Sam’ itu berundur selepas hampir 20 tahun memerangi militan.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden sebelum ini membekukan rizab asing kerajaan Afghanistan yang disimpan di bank-bank Amerika sekali gus menyekat Taliban daripada mengakses berbilion-bilion dolar sejurus selepas kumpulan itu merampas ibu kota Kabul menyebabkan kerajaan yang disokongnya tumbang, lapor FOX Business.

Ekoran itu, pegawai-pegawai tertinggi dari Kabul dan Washington mengadakan mesyuarat untuk membincangkan kemungkinan sekatan rizab asing itu tidak lagi dilaksanakan dengan Menteri Luar sementara Afghanistan, Mawlawi Amir Khan Muttaqi bertemu dengan Wakil Khas Amerika untuk Afghanistan, Thomas West di Doha, Qatar baru-baru ini.

Sejak tahun lalu, pentadbiran sementara Taliban telah meminta AS untuk tidak lagi menyekat rizab asing sebanyak AS$7 bilion dan sebelum ini Washington telah memutuskan bagi mendermakan separuh daripada rizab tersebut kepada mangsa-mangsa serangan pengganas pada 11 September 2001 di negara Uncle Sam tersebut.

WANG RAKYAT AFGHANISTAN

Namun, tindakan pentadbiran Biden mencetuskan kritikan kerana wang rizab asing itu sebenarnya dimiliki oleh rakyat Afghanistan.

Sehubungan itu, beberapa ahli ekonomi terkemuka AS dan antarabangsa menggesa Washington untuk menyerahkan kepada Afghanistan rizab asing tersebut yang dibekukan kerana prihatin dengan bencana ekonomi dan kemanusiaan yang semakin meningkat di Afghanistan.

Seramai 71 ahli ekonomi dan pembangunan tersebut menulis surat kepada Biden dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen berhubung pembekuan rizab tersebut dan jika tanpa akses untuk mendapatkannya semula, Bank Pusat Afghanistan tidak dapat menjalankan fungsi normalnya yang penting.

"Tanpa bank pusat yang berfungsi, ekonomi Afghanistan boleh diramalkan, runtuh," kata surat tersebut yang didedahkan oleh media baru-baru ini.

Para penandatangan surat tersebut termasuk pemenang hadiah Nobel ekonomi, Joseph Stiglitz dan Yanis Varoufakis yang berkhidmat sebagai Menteri kewangan Greece ketika negara itu berunding dengan pemiutang-pemiutang selepas kejatuhan ekonomi negaranya pada tahun 2008.

Pakar-pakar ekonomi itu berkata bahawa kejatuhan dalam aktiviti ekonomi dan pengurangan mendadak kepada bantuan asing oleh penyokong negara sebelum ini selepas pengunduran tentera AS telah menyebabkan ekonomi Afghanistan mengalami masalah.

Rizab asing itu termasuk AS$2 bilion (RM8.93 bilion) yang disekat oleh Britain, Jerman, dan Emiriah Arab Bersatu dan wang AS$7 bilion itu adalah hak penduduk Afganistan, kata isi kandungan surat tersebut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga ingin melihat rizab Afghanistan berjumlah AS$7 bilion di AS itu dikembalikan ke negara itu dan hasrat tersebut didedahkan oleh Penyelaras Kemanusiaan untuk Afghanistan, kata Ramiz Alakbarov pada Isnin lalu.

Beliau juga mengetahui terdapat rundingan yang sedang berjalan mengenai pulangan rizab asing tersebut antara Afghanistan dan Taliban tetapi menyatakan PBB bukan sebahagian daripada rundingan mengenai pemulangan dana berkenaan dan tidak mengetahui tentang butiranya.

Namun persoalannya ialah AS masih tidak mahu membatalkan pembekuan wang tersebut.

Ia berdasarkan kepada kenyataan Tom West iaitu Wakil Khas Jabatan Negara untuk Afghanistan pada Isnin lalu kerana menurutnya pelindungan Taliban terhadap pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri yang mati dibunuh dengan menggunakan dron milik 'Uncle Sam' itu baru-baru ini mengukuhkan kebimbangan mendalam tentang pengalihan dana kepada kumpulan pengganas.

Justeru sampai bilakah pembekuan tersebut akan berakhir? - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca