SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek mendedahkan ada pihak tertentu membatalkan ceramah-ceramahnya sejurus selepas mereka mengetahui dirinya menghidap kanser limfoma.
Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi berkata, ini disebabkan mereka khuatir dirinya tidak dapat menjayakan program yang dianjurkan.
"Banyak ceramah-ceramah saya dibatalkan sebab takut saya tidak dapat menjayakan program mereka," katanya yang menghidap penyakit berkenaan pada 2017.
Beliau berkata demikian dalam Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian.
Mohamed Hanafiah dalam masa yang sama turut menegaskan antara cita-citanya adalah mahu meninggal dunia ketika berdakwah.
Jelasnya, sewaktu hari keempat dirinya menjalani kimoterapi di sebuah hospital, beliau pergi mengadakan ceramah di sebuah masjid.
"Hari keempat saya di hospital, saya ada ceramah dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pada petang itu, (saya menjalani) kimoterapi dan saya beritahu pembantu saya untuk membawa saya ke sana.
"(Saya) minta kebenaran doktor (tetapi) belum sempat doktor memberikan kebenaran saya sudah sampai ke masjid tersebut," katanya.
Menurutnya, tidak ada mana-mana pihak dalam kalangan anggota TUDM semasa menyampaikan ceramah mengetahui pada waktu itu beliau menjalani kimoterapi.
Sementara itu, Mohamed Hanafiah memaklumkan bahawa kanser limfoma adalah penyakit yang berulang.
"Ada kawan saya sudah hampir lima tahun rawatan, kemudian dia diserang semula," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan mana-mana individu yang menghidap penyakit kanser agar sentiasa menjaga pemakanan, pemikiran dan gaya hidup.
Klik di sini untuk terus membaca