SHAH ALAM- Isteri dan sembilan anak menjadi motivasi dalam menghadapi kanser limfoma yang dihidapi sejak lima tahun lalu. Pendakwah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, semangatnya lebih kuat untuk terus meneruskan kehidupan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM- Isteri dan sembilan anak menjadi motivasi dalam menghadapi kanser limfoma yang dihidapi sejak lima tahun lalu.

Pendakwah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, semangatnya lebih kuat untuk terus meneruskan kehidupan lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak yang masih kecil terutama anak bongsu berumur lingkungan tujuh tahun.

Namun Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi berkata, beliau tidak pernah menyalahkan takdir atas apa yang berlaku.

"Saya kata, ALLAH sayang, ALLAH nak cuci dosa kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian.

Menurutnya, kesan daripada kanser yang dihadapi menyebabkan beliau perlu bertongkat suatu ketika dahulu dan kadangkala perlu menunaikan solat secara duduk kerana menanggung sakit keterlaluan.

Bagaimanapun ujarnya, ujian tersebut dihadapi dengan formula 5S dan 2Z.

"S yang pertama ialah sentiasa syukur. Ucapkan 'Alhamdulillah Ala Kulli Hal'. Saya bersyukur bila ALLAH tambah nikmat. Antara nikmat yang saya dapat adalah tenang, siapa tenang dia menang.

"Kedua adalah sangka baik. Sangka baik pada manusia sangat baik namun sangka baik pada ALLAH lebih bagus seperti sabda nabi dalam hadis qudsi di mana ALLAH berfirman 'Aku seperti sangkaan hamba-hambaku'.

"Sangka baik dengan ALLAH, ALLAH akan beri yang terbaik. Jadi saya pilih untuk berdamai dengan takdir,” katanya.

Kata Hanafiah lagi, S ketiga yang diamalkan adalah solat di mana beliau sedaya memperbaikinya dan melaksanakan secara berjemaah.

"S keempat pula adalah sedekah, walaupun saya tak banyak duit memandangkan saya terpaksa menjual motor kesayangan saya GTR 1,400 untuk menampung kos rawatan tapi saya sedekah. Yang terakhir seimbang. Seimbangkan masa bersama keluarga.

"Dua Z pula adalah ziarah kerana orang yang berziarah mendapat doa 70,000 malaikat mustahil doa mereka tertolak dan terakhir zikir," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Hanafi turut menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak bersikap skeptikal terhadap rawatan moden terutama kimoterapi dalam merawat penyakit kanser di samping tidak mengabaikan rawatan tradisional.

Klik di sini untuk terus membaca