PADA Isnin lalu, pasukan khas Israel menyerbu sebuah rumah di Baitulmaqdis Timur dan menembak kepala Mohammad Ibrahim Shaham di depan keluarganya dari jarak dekat menyebabkan pemuda Palestin itu berdarah dan terbaring selama lebih 40 minit selain menafikan sebarang bantuan perubatan diberikan kepadanya.
Menurut agensi berita rasmi Palestin iaitu Wafa, seorang askar Israel kemudian menyatakan bahawa mereka sudah melakukan satu kesilapan di dalam rumah tersebut kerana menembak mati pemuda berusia 21 tahun itu dan pemegang diploma perkhidmatan penyaman udara dan penyejukan dari Institut Qalandia, Ramallah.
Kejadian itu berlaku pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan ketika Mohammad bangun ketakutan apabila pintu unit apartmen yang didiami bersama keluarganya diketuk di tingkat tiga bangunan di Kufr Aqab, kejiranan Palestin di utara Baitulmaqdis Timur yang dijajah rejim Zionis.
Beberapa saat kemudian, pintu tersebut diletupkan dan askar-askar memecah masuk ke dalam unit apartmennya dan menembak Mohammad di kepala yang sedang berdiri di sebelah bapanya dalam keadian yang menyayat hati itu.
Menurut ibunya, dia menjerit kepada askar-askar Israel dan salah seorang daripada mereka memberitahunya bahawa mereka telah datang ke rumah yang salah dan tersilap melepaskan tembakan walaupun selepas meletupkan pintu kediaman dan membunuh Mohammad serta-merta tanpa memberikan amaran terlebih dahulu serta memeriksa identiti anaknya itu.
Dalam kejadian tersebut, wanita tersebut cuba membantu anaknya dengan memegang tangan dan pemuda tersebut melihat ke arahnya dan mengeluarkan suara yang lemah tetapi askar rejim Zionis menolak dan menghalangnya daripada berada di sebelahnya.
Ibrahim Shaham iaitu bapa Mohammad dilaporkan berkata bahawa dia memanggil nama anaknya itu beberapa kali dan kemudian memeriksa keadaannya sebelum askar-askar Israel mengikat keluarganya dan kemudian membawa mereka ke unit apartmen milik jirannya.
Dalam kejadian tersebut, satu peluru mengenai kepala anaknya manakala tiga lagi peluru mengenai dinding unit apartmen dan jika dia tidak berlindung dengan seorang lagi anaknya di belakang pintu, peluru akan mengenai keluarga tersebut.
Dia melihat anaknya meninggal dunia dan tidak boleh memberitahu isteri saya tentang perkara itu sambil menafikan dakwaan media Israel bahawa Mohammad cuba menikam salah seorang askar sambil menegaskan dia ditembak sebaik tentera meletupkan pintu.
Bapanya melihat askar-askar meninggalkan unit apartmen tersebut membawa tubuh Mohammad bersama mereka dengan ditutup dengan sehelai kain sambil menyatakan bahawa anaknya itu bekerja dalam sektor pembinaan di Baitulmaqdis,
Lebih menyedihkan ialah tiga daripada anak Ibrahim itu cacat penglihatan.
Pada 15 Mac lalu, sepupu Mohammad, Alaa Shaham turut terkorban semasa pertempuran dengan tentera Israel di kem pelarian Qalandia.
Kejadian pembunuhan Mohammad itu akhirnya disahkan oleh tentera Israel dalam satu kenyataan beberapa jam selepas insiden tembakan tersebut berlaku.
JENAYAH KEJI
Berikutan kejadian tersebut, Kementerian Luar Palestin mengecam pembunuhan pemuda itu dengan menyifatkan ia sebagai jenayah keji dan yang terbaharu dalam satu siri pembunuhan yang dilakukan oleh tentera Israel di bawah arahan politik.
Kejadian itu berlaku selepas gencatan senjata dimeterai antara kumpulan Jihad Islam dengan Israel setelah rejim Zionis melakukan serangan udara selama tiga hari di Gaza sehingga menyebabkan lebih 40 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terkorban pada awal bulan ini.
Tanpa berselindung lagi, Kementerian Luar Palestin menganggap bahawa perbuatan askar-askar rejim Zionis itu adalah perbuatan mafia dan organisasi jenayah yang bertujuan untuk melakukan pembunuhan kejam tanpa dilakukan perbicaraan terlebih dahulu.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin, Hussein Al-Sheikh pula membuat ciapan di Twiter dengan menyeru supaya satu siasatan antarabangsa perlu dijalankan dengan segera berikutan pembunuhan Mohammad.
Namun, apa yang pasti ialah amalan tentera penjajah Israel merampas dan menahan jenazah penduduk Palestin adalah melanggar semua undang-undang hak-hak asasi manusia yang melarang sebarang perlakuan kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah dilakukan terhadap si mati.
Pada awal Jun lalu, pengguna-pengguna media sosial dan aktivis melancarkan kempen untuk mendapatkan semula mayat penduduk Palestin yang dibunuh tentera Israel dan disimpan dalam peti sejuk oleh rejim Zionis.
Menurut portal berita Al Mayadeen, ketika kempen itu diadakan, sebanyak 103 mayat penduduk Palestin terdapat dalam peti sejuk Israel dan 256 lagi telah dikebumikan tanpa membenarkan pihak keluarga melakukan upacara terakhir mereka, kata Kelab Tahanan Palestin.
Sejak awal tahun ini, lebih 130 orang awam telah terbunuh akibat tembakan tentera Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza termasuk 46 orang terbunuh semasa pencerobohan terakhir di Semenanjung Gaza, Palestin. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca