SEORANG pesakit kanser limfoma menasihatkan agar mereka yang menghidap penyakit terbabit perlu sentiasa tenang apabila diuji dengan ujian seperti itu.
Pesakit kanser limfoma, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berpandangan, ini disebabkan ramai pesakit kanser akan panik apabila mereka diuji dengan penyakit terbabit.
Beliau yang juga pendakwah bebas turut menasihatkan mana-mana individu yang menghidap penyakit berkenaan agar sentiasa menjaga diri, pemakanan, fikiran dan amalan mereka.
"Yang kedua, saya selalu sebut pada diri saya, panik adalah pembunuh yang pertama," katanya.
Ikuti kupasan beliau mengenai pelbagai isu dalam wawancara eksklusif Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
JOHAN: Apa pengajaran yang ustaz dapat daripada pengalaman menghidap kanser limfoma ini dan telah melalui proses pemulihan?
HANAFI: Pengajaran yang pertama adalah 'jaga'. Jaga diri, jaga pemakanan, jaga fikiran, jaga roh dan jaga amalan.
Mudah-mudahan, kita sentiasa tenang walaupun diuji dengan ujian yang berat terutamanya kanser. Ramai pesakit kanser dia panik apabila dia diuji.
Yang kedua, saya selalu sebut pada diri saya, panik adalah pembunuh yang pertama.
Saya selalu cakap apapun keadaan, kita masih hidup dan hidup ini harus diteruskan. Mati hanya sekali tetapi hidup ini perlu dihargai. Saya memang tidak suka buang masa dan menghargai setiap detik.
Sebelum ustaz disahkan menghidap penyakit ini, ustaz merupakan seorang yang aktif. Tetapi apabila ustaz mendapat menghidap kanser limfoma, apa perasaan pertama yang muncul dalam fikiran ustaz pada ketika itu?
Pada 31 Januari 2017, doktor memberitahu saya menghidap kanser dan memerlukan pembedahan segera daripada atas sehingga ke bawah pusat saya. Dikeluarkan ketumbuhan sebesar ketayap saya dan beratnya 1 kilogram.
Usus saya sepanjang 1.4 meter terpaksa dipotong sebab dijangkiti kanser. Kemudian kanser itu merebak ke tulang belakang saya dan menuju ke otak.
Apabila doktor memberitahu saya kena kanser, perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya alhamdulillah, terima kasih ALLAH dalam berjuta orang kau pilih aku kena kanser.
Saya tidak tahu bagaimana ayat itu boleh keluar daripada mulut saya. Pada ketika itu, kanser di tahap empat.
Apabila saya sebut alhamdulillah, itu adalah perkataan daripada dahulu apapun terjadi kepada saya, saya akan menyebut alhamdulillah.
Kali ini, secara automatik alhamdulillah. Saya berpegang kepada al-Quran, Surah Ibrahim ayat 9. Siapa bersyukur, ALLAH tambah nikmat. Apapun situasi, saya sentiasa bersyukur.
Bagi kebanyakan orang, apabila mendapat tahu menghidap kanser dan di tahap empat, seolah-olah ada beban luar biasa yang menekan. Tetapi ustaz melihat dari aspek lain. Kenapa ustaz berpandangan sedemikian sedangkan ustaz mengetahui ini bukan dugaan yang kecil?
Pada saya, mungkin hasil didikan mak saya. Kami ini anak orang miskin, susah dan tinggal di kawasan setinggan. Mak saya sentiasa mengajar tentang erti syukur.
Dalam sebuah hadis, nabi sentiasa mengajar kita tentang satu perkataan alhamdulillah dalam semua perkara dan dalam semua hal.
Orang-orang Islam (peringkat bawah) selalunya dia akan mengeluh. (Tetapi) peringkat atas sedikit dipanggil orang soleh dia akan menjadi orang yang bersabar. Orang yang dipanggil sebagai 'muttaqqin' (pula) apabila ditimpa musibah, dia reda.
Tetapi peringkat yang paling tinggi sekali dipanggil orang yang bertakwa, apabila ditimpa musibah, dia tenang dan sebut alhamdulillah.
Bagaimana reaksi ahli keluarga apabila mengetahui ustaz mempunyai kanser limfoma dan berapa umur anak yang paling tua ketika itu?
Anak paling tua berusia 21 tahun. Pada masa itu dia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Saya tak nak dia panik, susah hati dan alhamdulillah. Apa yang berlaku? Masya-ALLAH semua keluarga saya, saya dapat kawal semua emosi mereka. Tidak panik dan berharap ayah dia sembuh.
Ustaz himpunkan semua ahli keluarga menerangkan apa yang berlaku kepada ustaz?
Ibu mereka yang memberitahu. Sebab pada hari pertama saya mendapat tahu, hari kedua saya dibedah dan hari ketiga saya tidak sedarkan diri. Saya tidak sedarkan diri selama empat hari di hospital.
Sebelum itu, apa tanda-tandanya atau simptomnya?
Simptom itu satu minggu, mesti ada dua sehingga tiga hari saya demam.
Baik sekejap selepas itu demam balik. Keduanya, saya mengalami hipertiroid. Selepas makan ubat dia akan baik. Kemudian dia serang jantung.
Saya pergi ke hospital dan tidak mengetahui ia adalah kanser.
Tahun demi tahun ada sahaja masalah. Hipertiroid, jantung tidak sekata dan rupa-rupanya sel kanser itu aktif serta menganggu sistem badan saya.
Apa yang memberitahu ustaz bahawa perkara ini serius?
Dia ada cerita yang menarik. Saya membawa jemaah umrah dari Madinah hendak ke Makkah. Saya sesak nafas di dalam bas. Kemudiannya saya kuatkan diri kerana telah memakai ihram serta membuat umrah.
Ketika habis tawaf, saya minum air zamzam sekejap dan saya berdoa ya ALLAH, keluarkanlah apa penyakit yang berada dalam badanku.
Apa yang menariknya apabila sampai hotel di Mekah, saya buang air besar dan keluarnya darah yang banyak.
Tetapi saya sentiasa menyebut alhamdulillah, perkara yang buruk ini telah keluar.
Balik ke Malaysia, saya ada ceramah Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Ketika itu, ada seorang doktor berkata yang mahukan pemeriksaaan perubatan yang penuh kepada saya dan berasa bimbang terhadap saya.
Ini kerana semasa ceramah saya berasa sangat lemah tetapi saya teruskan juga.
Apa yang berlaku? Dia berkata apabila saya balik ke Kuala Lumpur, buatlah pemeriksaan perubatan penuh.
Saya tidak sangka apabila membuat pemeriksaan perubatan penuh, tiga kali saya X-Ray, dua kali saya diimbas, doktor beritahu memang sah ketumbuhan itu sangat besar dalam perut saya.
Apa kesan ketumbuhan yang besar itu?
Pertama sekali selera nak makan tiada. Tetapi saya seorang pejuang, saya suka cari makanan yang hendak dimakan dan mahu teruskan hidup. Apa yang berlaku?
Memang selera hendak makan tiada, lidah terasa pahit dan kita akan bau busuk di mulut kita sepanjang masa.
Sebab darah keluar dan kita akan bau serta berasa tidak selesa.
Akhir sekali saya berkata, jika doktor kata perlukan pembedahan, saya tandatangan sahaja.
Pembedahan dibuat serta merta dan kemudian apa yang berlaku?
Saya tidak sedarkan diri selama empat hari selepas pembedahan. Badan saya terlalu kurus dan saya terpaksa belajar berjalan semula.
Proses kimoterapi ini pengalaman yang menyakitkan. Boleh ustaz ceritakan sedikit?
Ramai sahabat-sahabat saya bercakap agar jangan mengambil kimoterapi. Tetapi saya berkata ini adalah hidup saya dan saya kena mengambil kimoterapi.
Isteri saya pada mulanya tak nak, sahabat-sahabat saya memberi pelbagai buku mengenai kesan buruk kimoterapi.
Saya ada beberapa orang rakan doktor dan menasihatkan agar mengambil kimoterapi.
Kemudian ada seorang pesakit limfoma seperti saya yang bernama Salina dan mencadangkan agar mengambil kimoterapi.
Berapakah jumlah rawatan kimoterapi yang dijalani oleh ustaz?
Tidak silap saya, hampir 12 kali.
Boleh ustaz ceritakan mengenai kimoterapi, apakah sebenarnya situasi yang berlaku?
Kimoterapi ini merupakan satu rawatan di mana ia menggunakan sejenis cecair dan kemudiannya dimasukkan ke dalam tangan. Sebenarnya, ia mempunyai dua cara.
Jika urat kecil, ia akan dimasukkan dengan menggunakan pod dan satu lagi menggunakan suntikan yang menggunakan cecair seperti air biasa sahaja ke dalam badan.
Cuma ia menyebabkan badan kita pada masa tersebut terasa seperti satu perasaan yang bergolak seperti rasa loya dan nak muntah ketika menjalani proses berkenaan.
Bagaimanapun, saya tahan kerana isteri dan anak-anak pada masa tersebut berada di hadapan saya. Jika orang datang melawat, saya sahut dengan mengangkat tangan.
Tapi isunya, apabila sudah jam 12 tengah malam dan isteri saya sudah pulang, pada waktu itu saya muntah di tandas sehingga jam 5 petang. Muntah tersebut tidak mengeluarkan apa-apa.
Kemudian badan terasa bahang, sekejap sejuk sekejap menggigil dan itulah situasi yang saya hadapi ketika kimoterapi.
Ustaz menghadapinya sebanyak 12 kali dengan pengalaman yang hampir sama?
Saya sebenarnya ingat-ingat lupa disebabkan kesan daripada rawatan tersebut menjadikan saya sedikit hilang ingatan sehingga ke hari ini. Apa yang berlaku ketika kanser memang menyakitkan.
Sebelum ini, saya pernah dijangkiti demam denggi sebanyak dua kali dan kanser yang saya hadapi sebelum menjalani pembedahan memang sakitnya dua kali ganda daripada demam denggi.
Selepas menjalani kimoterapi sakitnya bertambah tiga kali ganda.
Tetapi sebenarnya pada masa itulah kita harus berjuang habis-habisan kerana ia antara hidup dan mati.
Jika kita hendak meneruskan kehidupan, kita harus ambil sikap seperti orang yang mahu hidup kalau nak mati kita fikir yang bukan-bukan dan menghabiskan masa berfikir sesuatu yang belum pasti seperti mati.
Memang di dalam, kita dituntut untuk mengingati mati tetapi mengingatinya adalah bersedia untuknya. Mahu mati sebagai seorang pejuang ataupun menyerah kalah.
Ustaz sebutkan tadi ada kawan-kawan yang meninggal disebabkan kanser limforma dan ustaz tahu ia boleh membunuh. Apakah perasaan ustaz pada masa itu, adakah ustaz rasa pasrah?
Saya tidak berfikir panjang lagi pada masa itu kerana bagi saya hidup ini biar harus bermakna dan menabur bakti sebanyak yang mungkin. Ada waktunya, bila rasa sakit tersebut datang saya luangkan masa dengan bermotosikal. Adakalanya perasaan-perasaan seperti itu kita tak dapat lawan tetapi kita harus biarkan sahaja.
Dalam video tadi ustaz bertongkat untuk memulihkan kekuatan dan memang satu proses limitasi yang agak panjang?
Betul, bertongkat. Sakit sehinggakan saya pada hari ini solat di atas kerusi. Memang ia akan menyerang bahagian-bahagian tertentu seperti lutut memandangkan sebelum ini saya pernah menjalani pembedahan pada bahagian tersebut sebanyak lima kali.
Jadi, memang sel kanser akan menyerang bahagian tersebut jika aktif.
Saya ada satu formula dalam menghadapi perkara tersebut iaitu 5S 2Z. S yang pertama ialah sentiasa syukur. Ucapkan alhamdulillah alaa kulli hal. Saya bersyukur bila Allah tambah nikmat.
Antara nikmat yang saya dapat adalah tenang, siapa tenang dia menang.
S yang kedua pula adalah sangka baik. Sangka baik pada manusia sangat baik namun sangka baik pada ALLAH lebih bagus seperti sabda nabi dalam hadis qudsi di mana ALLAH berfirman aku seperti sangkaan hamba-hambaku.
Sangka baik dengan ALLAH, ALLAH akan beri yang terbaik. Jadi saya pilih untuk berdamai dengan takdir.
Yang ketiga pula adalah solat. Memang solat ini saya jaga, qadhanya, saya sejak berumur sembilan tahun memang tak pernah tinggal solat cuma ada solat yang kurang sempurna saya qadha. Baiki solat dan laksanakannya secara berjemaah.
Yang keempat pula adalah sedekah. Walaupun saya tak banyak duit memandangkan saya terpaksa menjual motor kesayangan saya GTR 1400 untuk menampung kos rawatan tapi saya sedekah.
Dan yang terakhir seimbang. Seimbangkan masa bersama keluarga.
Dua Z pula adalah ziarah kerana orang yang berziarah mendapat doa sebanyak 70000 malaikat, mustahil doa mereka tertolak dan satu lagi zikir.
Ustaz pernah tak bertanya kepada diri sendiri kenapa ustaz menghadapi semua ini?
Tak, saya tak pernah tanya hal tersebut. Ramai rakan yang menghidapi kanser datang bertemu saya dan tanya, kenapa saya yang diuji.
Saya kata ALLAH sayang kita, ALLAH nak cuci dosa kita.
Seperti yang kita sedia maklum, ustaz dahulu adalah seorang penceramah. Apa yang berlaku selepas itu sudah pasti menjejaskan pendapatan ustaz. Boleh ceritakan sedikit?
Banyak ceramah saya dibatalkan kerana takut saya tak dapat menjayakan program. Seingat saya, hari keempat di hospital, saya telah diundang untuk memberikan ceramah oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Petang itu dalam keadaan saya masih menjalani kimoterapi, saya minta kepada pembantu peribadi saya bawa saya ke sana dan minta kebenaran kepada doktor.
Belum sempat kebenaran diberikan, saya telah sampai ke masjid tersebut kerana cita-cita saya adalah mati di jalan ALLAH.
Tiada seorang daripada kakitangan TUDM disitu yang mengetahui akan keadaan sebenar saya pada waktu berkenaan.
Memang pendapatan saya terjejas tetapi ALLAH ada.
Tentang kanser limfoma. Macam yang kita lihat, ustaz sudah nampak pulih. Namun adakah terdapat sebarang kemungkinan ia boleh terjadi kembali?
Kanser limforma memang banyak berulang. Saya ada seorang rakan yang telah menjalani rawatan selama lima tahun dan kanser tersebut menyerangnya kembali.
Pada mulanya kimoterapi dan kemudian terpaksa menjalani rawatan secara transplan pula. Ada seorang penyanyi perempuan yang menghadapinya berbelas tahun, sekejap baik sekejap tidak kemudian berulang.
Nasihat saya jaga permakanan dan pemikiran kerana ianya memang penting. Kanser ini sebenarnya mempunyai tiga sebab iaitu disebabkan permakanan, tekanan dan gaya hidup maka jaga diri.
Saya kagum ustaz berfikiran positif. Apa sebenarnya yang menjadikan ustaz cukup bermotivasi untuk meneruskan perjuangan?
Anak dan isteri saya, kerana saya mempunyai sembilan orang anak, yang paling kecil berumur tujuh tahun.
Adakah ustaz rasa ada kesilapan dari segi gaya hidup yang menyebabkan ustaz menghidapi penyakit berkenaan?
Saya kira ia banyak berpunca daripada pemakanan saya yang banyak mengikut nafsu. Saya sangat meminati stik, banyak restoran yang menyediakan stik yang terbaik saya dah cuba.
Lagi satu kalau berceramah di negeri Johor, selepas habis ceramah biasanya pihak penganjur menghidangkan jamuan dengan makanan yang berat seperti nasi beriani dan juga selalu minum air berkarbonat.
Boleh ustaz kongsikan pemakanan yang diamalkan dalam sunnah yang boleh dicontohi?
Alhamdulillah, macam yang saya amalkan adalah habbatus sauda dan air zamzam. Saya juga turut mengamalkan jus buah-buahan dan sebelum saya nak ambil sesuatu ubat atau suplemen saya akan tanya pada doktor jika dia membenarkan, maka saya akan ambilnya.
Jika dia larang, maka sebaliknya. Saya juga turut amalkan jus durian belanda.
Ramai orang berpandangan untuk lebih menggunakan rawatan tradisional tetapi ustaz lebih memilih menggunakan rawatan moden. Apakah pandangan dan nasihat ustaz kepada rakan-rakan di luar sana?
Kenapa saya memilih rawatan moden seperti kimoterapi kerana saya mengkaji.
Saya memilih untuk menggabungkan antara rawatan moden dan rawatan tradisional. Banyakkan zikir dan minum air zamzam serta ambil herba seperti habbatus sauda.
Dalam kalangan mereka yang menghidapi penyakit kanser berkenaan, apakah telah ada suatu komuniti untuk bertukar-tukar pandangan?
Di Facebook saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang sama-sama menghidapi kanser. Kami bertukar-tukar pandangan.
Setiap kali saya mulakan siaran memang ramai diantara mereka yang menyertainya.
Di antara rakan kami memang ada yang sudah meninggal dunia kerana kurang sabar menjalani rawatan dan berhenti separuh jalan. Saya nasihatkan mana-mana yang sedang menjalani rawatan teruskan sehingga ia tamat.
Ustaz secara dasarnya telah diberikan peluang kedua setelah melalui proses yang luar biasa. Apakah nasihat yang dapat diberikan kepada orang ramai dan umat islam agar kejadian yang berlaku kepada ustaz tidak berlaku?
Saya selalu berpesan, jaga permakanan. Ramai rakan-rakan saya daripada kalangan penunggang motosikal yang gemuk.
Mungkin kita kena bersenam atau beriadah seperti joging dan berbasikal dan sebagainya namun jika ada masalah kesihatan yang menyebabkan kita tidak dapat melakukannya, maka jaga pemakanan itu yang paling penting.
Yang kedua jaga pemikiran dan jangan angkuh. Saya pernah melihat satu kutipan derma kepada pesakit kanser dan saya kata dalam hati saya, tak mungkin saya menghidapinya. Namun, ALLAH nak tunjuk akhirnya saya terkena juga.
Yang ketiga jangan tertekan dan mengeluh, ia harus diuruskan. Yang boleh selesaikan hanya ALLAH, kita hanya mengurus sahaja.
Klik di sini untuk terus membaca