SHAH ALAM - Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood tidak bersetuju dengan gesaan segelintir penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Perdana Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood tidak bersetuju dengan gesaan segelintir penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku ketua kerajaan perlu mematuhi doktrin pengasingan kuasa dengan pendirian diambil Naib Presiden UMNO itu terhadap kes Najib, disifatkannya sebagai tepat dan jelas.

Nik Ahmad Kamal

Tambah Nik Ahmad Kamal, Ismail Sabri tiada masalah untuk membantu Najib tetapi hanya dari sudut memastikan proses undang-undang berjalan dengan lancar tanpa amalan berat sebelah.

"Sejak memulakan tugasan sebagai Perdana Menteri lagi, pendirian Ismail Sabri adalah jelas apabila beliau menyatakan kes-kes mahkamah dihadapi pemimpin utama UMNO seperti Najib dan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu diserahkan kepada mahkamah.

"Sehingga kini, saya melihat beliau masih berpendirian tepat dengan Ahli Parlimen Bera itu menekankan kepentingan kedaulatan undang-undang dipelihara.

"Ya, memang seorang Perdana Menteri daripada UMNO tiada masalah membantu kes rayuan di Mahkamah Persekutuan dihadapi Najib ketika ini, tetapi membantu itu hanya dari sudut memastikan proses undang-undang berjalan mengikut prosedur sahaja.

"Ismail Sabri sebaliknya tidak boleh membantu menyelesaikan kes Najib atau Zahid dengan kaedah menghalang atau campur tangan bidang kuasa cabang kehakiman," katanya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Rabu.

Najib Razak

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir penyokong tegar Najib, mempersoalkan kegagalan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri daripada parti itu untuk campur tangan dalam kes mahkamah dihadapi Ahli Parlimen Pekan di Mahkamah Persekutuan ketika ini.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan Putrajaya memberikan tamparan berganda ke atas Najib dengan menolak dua permohonannya, berkaitan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Permohonan pertama Najib adalah untuk mengemukakan bukti baharu untuk kes itu. Najib dan peguamnya mendakwa bukti itu menunjukkan hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ada konflik kepentingan.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama selama tiga ke empat bulan antaranya kerana mereka selaku pasukan peguam baharu memerlukan masa yang cukup untuk menyediakan hujah.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan prosiding kes Najib dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Dari sudut persepsi umum, Nik Ahmad Kamal berpandangan majoriti rakyat Malaysia dan ahli UMNO sendiri sebenarnya memahami bahawa seorang Perdana Menteri mesti tidak boleh campur tangan dalam bidang kuasa institusi lain seperti badan legislatif dan kehakiman.

"Paling penting, majoriti rakyat Malaysia memberi ruang kepada bidang kehakiman untuk membuat keputusan terbaik dengan apa jua keputusan diputuskan panel hakim Mahkamah Persekutuan perlu diterima semua pihak dengan hati terbuka," ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik dan polisi kerajaan bebas, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad berpandangan banyak persepsi kononnya kerajaan tidak berlaku adil terhadap Najib dan Ahmad Zahid, adalah kerana kebanyakan kelompok berkenaan tidak faham hal ehwal perundangan negara.

Saiful Bahar

Ujarnya, apabila sesuatu kes rayuan diperdengarkan di peringkat terakhir mahkamah iaitu Mahkamah Persekutuan, masyarakat umum tidak boleh bersifat subjudis dan bertindak menghina mahkamah (contempt of court) dengan mengeluarkan pandangan yang mendahului bukti perbicaraan mahkamah.

"Saya lihat ada beberapa individu mendakwa Perdana Menteri tidak adil dalam menangani kes Najib melalui media sosial. Perbuatan ini sebenarnya sudah boleh dianggap menghina mahkamah dan memberi persepsi negatif kepada kerajaan kononnya bersikap berat sebelah.

"Dengan sejumlah sembilan hakim sudah tampil mendengar kes Najib termasuk Mahkamah Persekutuan, jika Najib benar-benar tidak bersalah maka prosiding kali ini merupakan platform terbaik untuk beliau buktikan diri tidak bersalah.

"Bagi saya, tindakan Perdana Menteri menghormati doktrin pengasingan kuasa adalah tepat dan bijaksana. Kepada kelompok fanatik kepada Najib, janganlah bersikap tidak adil kepada Ismail Sabri dan mengemukakan tuduhan yang akhirnya merugikan kerajaan dan parti," tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca