PUTRAJAYA - Penghujahan rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini mencetuskan 'drama' apabila peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik sekali lagi merayu kepada panel lima hakim untuk menangguhkan kes.
Hisyam kemudian menyatakan hasratnya menarik diri jika mahkamah enggan menyemak semula permohonannya untuk menangguhkan rayuan kes SRC International.
"Saya mohon maaf secara ikhlas dan dari lubuk hati saya. Saya tidak dapat meneruskan kes ini.
"Saya berharap mahkamah memberikan budi bicara yang memihak kepada saya.
"Saya mesti menekankan bahawa (permohonan untuk penangguhan) dilakukan dengan suci hati.
"Dalam keadaan ini, saya berharap agar mahkamah ini sedia menyemak keputusan awal dan membenarkannya.
"Ini akan menyedihkan buat saya kerana saya tidak pernah melakukan perkara ini sepanjang 45 tahun berkhidmat sebagai peguam," katanya.
Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim tidak senang dengan hasrat itu dan mengingatkan Hisyam implikasi tindakannya termasuk akan menyebabkan Najib tidak diwakili peguam.
"Kami telah memberikan alasan yang menyeluruh. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi kami mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk melaksanakan keadilan dan bidang kuasa kami adalah untuk memastikan mahkamah berfungsi?
"Adakah kamu menerimanya? Anak guam kamu tidak akan diwakili. Jika kamu menarik diri, kamu akan membiarkannya tanpa diwakili. Boleh kamu menerimanya?", soal Ketua Hakim Negara itu dengan tegas.
Namun, Hisyam sekali lagi mengatakan yang dia tetap ingin menarik diri.
Tengku Maimun kemudian menghentikan sekejap prosiding perbicaraan bagi membolehkan panel hakim memutuskan permohonan Hisyam menarik diri.
Bagaimanapun, selepas prosiding mahkamah bersambung semula, Tengku Maimun menyatakan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib.
Keputusan tersebut terus mengecewakan Hisyam sehingga beliau enggan membuat penghujahan.
Mahkamah kemudian membenarkan pihak pendakwaan untuk membuat penghujahan terlebih dahulu.
Klik di sini untuk terus membaca