SHAH ALAM - Laporan audit yang mendapati tadbir urus Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk kontrak pembekalan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) adalah lemah memberi pengajaran besar bahawa setiap kementerian mesti dipantau oleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Laporan audit yang mendapati tadbir urus Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk kontrak pembekalan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) adalah lemah memberi pengajaran besar bahawa setiap kementerian mesti dipantau oleh sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen (JPKP) yang tetap.

Pakar politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, ia kerana skandal LCS itu dapat didedahkan selepas penyiasatan dilakukan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), namun PAC tidak dapat menyiasat setiap skandal dengan tenaga dan sumber yang terhad.

"Untuk memaksimumkan peluang skandal didedahkan seperti ini, setiap kementerian mesti dipantau oleh sebuah jawatankuasa JPKP yang tetap (departmental committees).

"Apabila masalah projek LCS berlaku, Parlimen kita tidak ada JPKP yang memantau Kementerian Pertahanan dan ia menjadi salah satu faktor pengkhianatan berani dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kelemahan tadbir urus Mindef itu berdasarkan laporan audit itu oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JSTUPKK) diketuai bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang didedahkan pada Rabu selepas ia dinyahklasifikasikan dan diterbitkan dalam portal PAC.

JSTUPKK dalam laporannya mendedahkan, syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) juga didapati mempunyai kelemahan dari aspek pengurusan dan mengalami kekangan kewangan yang kritikal.

BNS mempunyai hutang terhadap sembilan buah bank dan Boustead Holdings Berhad (BHB) sebanyak RM956 juta serta hutang kepada pembekal dan pengilang peralatan asal (OEM) berjumlah RM801 juta.

Chin Huat menegaskan, pengajaran daripada episod malang itu juga menunjukkan bahawa kerajaan mesti berani mendedahkan rasuah dan pengkhianatan untuk menghapuskannya.

"Mujur kerajaan tidak menafikan kes LCS seperti dalam kes 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB)," ujarnya.

Menurutnya, untuk menjamin kemungkaran sebegitu dapat dihadapkan ke muka pengadilan serta tidak berlaku penghentian kepada pendakwaan, reformasi terhadap Jabatan Peguam Negara juga perlu dilakukan.

"Jabatan Peguam Negara mesti dibuat perubahan agar ditubuhkan pejabat pendakwa raya yang bebas daripada kawalan politik," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca