SHAH ALAM - Isu melibatkan penyelewengan dana projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) perlu dijadikan iktibar oleh kerajaan dalam melaksanakan mekanisme semak imbang yang lebih baik.
Penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, kerajaan perlu memastikan jadual pelaksanaan sesuatu projek itu berjalan selaras dengan pembayaran yang dibuat.
"Kalau kita lihat isu LCS itu, jumlahnya terlampau besar iaitu sebanyak RM6 bilion telah dibelanjakan tetapi tidak ada satu kapal pun yang telah siap.
"Jadi dari segi kewangan, perkara yang utama sekali siapa dan bagaimana kelulusan untuk melepaskan sejumlah itu walhal kerja belum disiapkan. Itu kelemahan kita yang utama,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ulas Muhammad Fuad, mana-mana projek pengurusan syarikat harus mempunyai sistem semak dan imbang, namun hal itu tidak berlaku pada projek LCS.
"Banyak pihak melihat kepada kelemahan dan kekurangan dalam projek tersebut tetapi saya rasa kita belum lagi membuat analisis yang terperinci mengenai aliran kewangan program ini.
"Jika mengikut norma prosedur yang biasa, jumlah yang dibayar dalam projek itu mesti sepadan dengan kerja yang telah dilaksanakan,” ujarnya.
Menurutnya, kewujudan mekanisme semak dan imbang itu memainkan peranan yang amat penting khususnya bagi projek-projek besar seperti LCS kerana ia memantau aktiviti pembayaran kepada syarikat dan perkembangan kerja yang telah disiapkan.
"Contohnya Menteri Kewangan telah membayar RM1 juta, jadi rakyat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) boleh rujuk kepada Jawatankuasa Semak dan Imbang bagi projek itu.
"Mereka juga mesti dimaklumkan ke mana perginya RM1 juta itu,” ulasnya.
Jelasnya, rakyat dan TLDM sudah tentu berpuas hati sekiranya mereka dimaklumkan dengan jelas mengenai perkembangan projek berkenaan terutamanya dari segi pengurusan kewangan.
"Ini kita lihat proses semak imbang itu seolah-olah tidak wujud. Saya rasa TLDM tidak akan setuju dengan pembayaran sebanyak RM6 bilion, tetapi mereka tidak dapat satu kapal pun.
"Tetapi masalahnya sekarang bukan mereka yang memegang dana,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca