SHAH ALAM - Polis Johor menumpaskan lima sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi pada tahun ini dengan nilai rampasan minyak berkenaan mencecah RM2 juta. Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bagi tempoh tujuh bulan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Polis Johor menumpaskan lima sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi pada tahun ini dengan nilai rampasan minyak berkenaan mencecah RM2 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bagi tempoh tujuh bulan bermula Januari, Polis Johor berjaya memberkas 85 individu terdiri daripada 65 warga tempatan serta 20 warga asing.

"Sebanyak 937,215 liter minyak diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM2 juta telah kita rampas.

"Selain itu, rampasan turut membabitkan 46 buah lori, dua kereta, van (dua), treler (15), kapal (dua), bot (satu), tangki besi (lapan), tangki plastik (33), mesin pam minyak (44), hos minyak (lapan), telefon (20) serta dua set generator," katanya eksklusif kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah membuat isian penuh diesel di stesen minyak yang berdekatan dengan stor penyimpanan.

Katanya, selain dipasang suis khas bagi menyedut minyak, tangki lori akan diubah suai hingga boleh memuatkan enam tangki dan 1,000 liter bagi setiap tangki.

Polis Johor menyita peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan diesel.

"Polis Johor mengesan sindiket ini akan menjual semula minyak bersubsidi ini dengan harga lebih murah ke pasaran gelap termasuklah untuk kegunaan industri atau kapal minyak di laut," katanya.

RANGKAIAN ANTARABANGSA

Tambah Kamarul Zaman, dengan tumpasnya lima sindiket ini, beliau percaya sindiket penyeludupan ini melibatkan rangkaian antarabangsa selain terdapat penglibatan individu dalam kalangan ahli perniagaan selain mereka yang bergelar Datuk.

Jelasnya, kejayaan tangkapan ini melibatkan elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) di peringkat Kontinjen Johor, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Bukit Aman.

"Siasatan polis bagaimanapun mendapati sindiket penyeludupan diesel ini tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan penyelewengan minyak masak atau lain-lain barang bersubsidi. Sindiket ini hanya menumpukan kegiatan seludup diesel sahaja," ujarnya.

Tegasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi orang perseorangan manakala bagi kesalahan dilakukan pertubuhan, denda maksimum RM3 juta untuk kesalahan pertama atau maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Antara lori tangki yang disita.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membanteras kegiatan ketirisan minyak diesel bersubsidi ini. Kita tidak akan berkompromi serta akan terus menjejaki individu yang terlibat.

"Masyarakat juga digesa untuk salurkan maklumat kepada polis tentang apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca