BEBERAPA wilayah di China mengalami cuaca panas yang keterlaluan sejak kira-kira dua bulan lalu sehingga mengakibatkan pihak kerajaan terpaksa mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesannya terhadap penduduk di negara berkenaan.... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA wilayah di China mengalami cuaca panas yang keterlaluan sejak kira-kira dua bulan lalu sehingga mengakibatkan pihak kerajaan terpaksa mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesannya terhadap penduduk di negara berkenaan.

Sebelum ini, Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC) di negara itu dilaporkan mengeluarkan amaran tertingginya yang pertama berhubung suhu tinggi pada 12 Ogos lepas iaitu yang pertama untuk tahun ini dan memperbaharuinya dalam tempoh enam hari berturut-turut.

Menurut Chen Tao yang merupakan ketua pegawai ramalan kaji cuaca di Balai Cerap Meteorologi Kebangsaan China, cuaca panas terik terus berlaku di kebanyakan kawasan selatan negara berkenaan sejak Jun lalu, katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita Xinhua.

Menurut Pusat Iklim Kebangsaan China, intensiti komprehensif gelombang haba serantau yang melanda negara berkenaan sejak 13 Jun lepas adalah yang paling kuat sejak tahun 1961 ketika ia mula menyimpan rekod-rekod meteorologi yang lengkap.

Beberapa wilayah di China mengalami kemarau baru-baru ini disebabkan oleh cuaca panas yang berterusan dan mungkin berlarutan sehingga akhir Ogos ini iaitu tempoh kritikal untuk penanaman bijirin.

Tanaman komersial di selatan negara berkenaan seperti pokok teh, buah sitrus dan mangga pula mudah terdedah kepada cuaca panas di negara tetsebut.

Di Wilayah Hubei, tengah China, kawasan seluas kira-kira 397,200 hektar tanaman telah terjejas akibat kekurangan air baru-baru ini.

Bekalan air untuk penduduk bandar dan luar bandar di wilayah itu juga terjejas kerana beberapa sungai kecil termasuk yang sederhana pula terlalu kering.

Terdapat beberapa buah kampung di Chongqing, barat daya China dilaporkan telah mengalami masalah kekurangan air.

Paras air di Sungai Yangtze iaitu yang terbesar di negara itu dan dua tasik air tawar terbesarnya berada pada paras terendah kerana bahagian selatan negara tersebut mengalami gelombang panas dan kemarau yang bersejarah baru-baru ini.

Di Hankou yang merupakan tempat pemantauan utama di Sungai Yangtze di pusat bandar Wuhan, paras air telah menurun kepada 17.54 meter pada Sabtu, kira-kira enam meter lebih rendah secara purata dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia juga merupakan paras terendah yang dicatatkan pada tahun ini sejak rekod-rekod tentang paras air di sungai tersebut dimulakan pada tahun 1865, menurut laporan akhbar rasmi Sains dan Teknologi, Daily pada Ahad dengan memetik kenyataan pihak berkuasa tindak balas bencana.

Sungai Yangtze juga adalah sungai terpanjang di Asia yang merentangi kira-kira 6,300 kilometer di negara tersebut.

Pusat Iklim Kebangsaan China juga melaporkan bahawa beberapa kawasan di negara itu telah mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius dengan suhu tertinggi ialah 44.5 darjah Celsius di Chongqing baru-baru ini

GELOMBANG HABA BERPANJANGAN

Chen Lijuan yang juga ketua pegawai kaji cuaca dari Pusat Iklim China sebelum ini memberitahu media bahawa gelombang haba berpanjangan pada tahun ini boleh menjadi yang paling kuat sejak rekod-rekod tentang suhu di negara itu pertama kali disimpan.

Zheng Fei iaitu seorang felo penyelidik di Institut Fizik Atmosfera Akademi Sains China menjelaskan punca utama cuaca panas melampau adalah disebabkan oleh antisiklon subtropika yang meluas yang tidak berada dalam keadaan normal.

Pendingin hawa ditutup di tempat kerja semasa krisis kuasa akibat cuaca terlampau panas di wilayah Sichuan baru-baru ini. - Foto Weibo

Keadaan tidak normal itu juga menyebabkan cuaca cerah dengan litupan awan yang kurang sehingga meningkatkan radiasi solar dan menyebabkan suhu menjadi lebih tinggi di atas daratan, jelas Zheng kepada akhbar Global Times.

Masalah itu bukan sahaja menjejaskan China tetapi juga negara-negara Eropah dan negeri-negeri di Amerika Syarikat (AS) di sepanjang latitud yang sama dan ia adalah sebahagian daripada fenomena La Nina.

Pakar-pakar menyatakan bahawa dengan perubahan iklim yang semakin pantas, cuaca ekstrem dan sistem cuaca yang tidak normal akan lebih kerap terjadi.

Berikutan cuaca yang terlalu panas itu, sejumlah besar sektor perindustrian di Wilayah Sichuan, barat daya China diberitahu oleh pihak berkuasa supaya menangguhkan operasi pengeluaran selama enam hari bagi menjamin kehidupan rakyat kerana suhu tinggi telah melampaui grid kuasa tempatan.

Dalam pengumuman bersama yang dikeluarkan oleh Jabatan Ekonomi dan Penerangan Wilayah Sichuan dan Syarikat Kuasa Elektrik Sichuan, wilayah itu akan memperluaskan pemotongan bekalan kuasa ke 19 buah bandar dan wilayah itu bermula dari Isnin hingga Sabtu, lapor Securities Times pada Isnin lepas.

Keputusan itu dibuat berikutan situasi bekalan elektrik yang sangat genting menyebabkan keutamaan yang perlu diberikan adalah memastikan bekalan elektrik untuk kegunaan kediaman terjami terlebih dahulu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca