SHAH ALAM - Pas dan UMNO perlu menilai kembali matlamat kerjasama kedua-dua parti tersebut menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) sekiranya benar-benar mahu merampas 27 kerusi Parlimen milik pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas dan UMNO perlu menilai kembali matlamat kerjasama kedua-dua parti tersebut menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) sekiranya benar-benar mahu merampas 27 kerusi Parlimen milik pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ini kerana kejayaan merampas kesemua kerusi tersebut tidak menjamin kestabilan politik khususnya dalam aspek penyatuan orang Melayu.

Beliau berkata, kemungkinan itu boleh dilihat menerusi perubahan hubungan politik yang berlaku membabitkan kedua-dua parti tersebut bermula daripada tempoh pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sehingga berlakunya beberapa kali perubahan kerajaan..

"Penubuhan MN pada peringkat awalnya untuk apa? Kalau betul-betul untuk memastikan orang Melayu bersatu di bawah organisasi atau mereka lupakan pergaduhan dan persengketaan lama, itu diterima.

"Tetapi jika hanya untuk mendedahkan atau sekadar mencapai dendam dengan menjatuhkan kerajaan PH, kita lihat akhirnya apabila ada kuasa (selepas kejatuhan PH), MN tidak ke mana ,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk "Kerusi MN Sandiwara Semata-mata?” yang diacarakan Hazwan Mokhtar dan disiar secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada 14 Ogos lalu melaporkan sebuah badan penyelidikan politik tempatan, O2 Research Malaysia menjangkakan terdapat sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen milik blok pembangkang berpotensi dimenangi UMNO-Pas pada PRU15 sekiranya koalisi MN direalisasikan.

Unjuran itu dibuat berdasarkan analisis data undi PRU14 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohammad Tawfik berkata, pimpinan kedua-dua parti itu ketika ini dilihat masih mempunyai perbezaan pendirian politik masing-masing khususnya dalam isu berkaitan kerjasama dengan parti lain.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO dan Pas perlu membetulkan matlamat politik mereka kerana jika tidak, ia berpotensi menyebabkan orang Melayu terus terperangkap dalam politik perpecahan.

"Sudah banyak jenama politik yang sebenarnya bukan membantu orang Melayu untuk bersatu tapi memecahkan perpaduan orang melayu. Itu sebenarnya yang berlaku di negara kita.

"Sebab apa? Sebab pemimpin yang ada di negara kita ini sudah lama berkecimpung dalam politik dan idea-politik mereka itu sudah tidak relevan dengan perkembangan politik negara.

"Jadi saya lihat 27 kerusi ini jika mahu dimenangi, Pas dan UMNO perlu tetapkan semula bila mahu perbincangan yang rasmi kerana PRU15 akan tiba pada bila-bila masa,” jelas beliau.

Untuk memastikan penyatuan tersebut, Mohammad Tawfik menambah, kedua-dua parti perlu memahami kehendak politik masing-masing terutamanya dalam menangani hubungan bersama parti politik lain yang wujud akibat daripada perpecahan dalam UMNO dan Pas.

Pada masa sama, beliau turut berpandangan kedua-dua parti itu juga boleh mengambil alternatif lain dalam kerjasama dilakukan dengan tidak menggunakan jenama MN yang menurutnya sudah tidak sesuai kerana memiliki reputasi tidak baik dalam politik negara.

"Perlu wujudkan satu kerjasama politik baharu antara UMNO dan Pas. Misalnya Pas tidak perlu bertanding di kerusi di mana BN bertanding untuk beri ruang. Jadi kerjasama itu tidak semestinya dalam konteks jenama untuk pilihan raya.

"Tetapi bagaimana untuk kita faham formula antara satu sama lain dengan memberi ruang dan akhirnya apabila menang besar dalam PRU akan datang, baru wujudkan jenama politik baharu. Ini sebenarnya lebih baik dalam politik negara.

Klik di sini untuk terus membaca