SHAH ALAM - Drama prosiding kes rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak terus memuncak pagi ini apabila bekas Perdana Menteri itu menamatkan khidmat peguamnya daripada Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners (ZIST). Ahli Parlimen Pekan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Drama prosiding kes rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak terus memuncak pagi ini apabila bekas Perdana Menteri itu menamatkan khidmat peguamnya daripada Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners (ZIST).

Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun mengekalkan khidmat peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pengguguran firma guaman Datuk Zaid Ibrahim itu menyaksikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu cuma menjadi peguambela Najib untuk tempoh selama 25 hari.

Sebelum ini, pada 26 Julai lalu bekas Perdana Menteri itu membuat keputusan mengejutkan apabila melantik firma guaman Zaid bagi menggantikan firma Tetuan Shafee & Co milik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Langkah pelantikan firma Zaid itu adalah untuk mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Keputusan mengejut itu menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan rakyat susulan Muhammad Shafie sudah mewakili Najib selama empat tahun untuk mendepani kes pertuduhan berkenaan, sama ada di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Meskipun berdepan keputusan kalah dalam kedua-dua perbicaraan dan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, Najib dalam satu kenyataan menyifatkan peguam beliau telah melakukan tugasan yang cemerlang.

Namun beliau memerlukan pasukan peguam lain untuk mendapatkan perspektif baharu.

Najib ketika sidang media di Mahkamah Persekutuan hari ini.

"Peguam saya sebelum ini telah melakukan tugas yang cemerlang sejak empat tahun lalu mewakili saya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk kes ini, itulah sebabnya mereka kekal sebagai peguam saya dalam perbicaraan lain yang saya hadapi.

"Tetapi walaupun demikian, saya kalah dalam kedua-dua perbicaraan dan rayuan saya kepada Mahkamah Rayuan.

"Dengan latar belakang ini saya merasakan bahawa perspektif baru dalam kes berkenaan untuk membawa idea baru merupakan suatu yang wajar dan perlu dilakukan bagi rayuan terakhir saya di hadapan mahkamah ini.

"Ini melibatkan hidup saya, ia tidak kurang daripada itu.

"Mana-mana pasukan baru yang membawa idea baru memerlukan masa. Saya tidak malu untuk mengatakan, saya terdesak, sebagaimana sesiapa pun litigan yang berada dalam keadaan kesusahan seperti saya," kata Najib dalam satu posting di Facebook malam tadi.

Posting tersebut dilihat sebagai satu lagi usaha terakhir Najib yang mana beliau sendiri mengakui terdesak selepas kalah di dua mahkamah sebelum ini.

TIMBULKAN PERSEPSI

Najib rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan perlu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada tahun 2020 dan dikekalkan keputusan itu oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2021.

Dalam pada itu, terdapat pandangan beberapa peguam kanan yang melihat posting Najib tersebut serta tindakan segelintir penyokong tegarnya cuba menimbulkan persepsi kononnya institusi mahkamah tidak memberi masa mencukupi bagi membolehkan semangat proses mahkamah sewajarnya dapat dilaksanakan.

Dengan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan prosiding rayuan kes Najib yang masuk hari keempat diteruskan, adalah lebih baik fokus tumpuan kes berkenaan kembali kepada usaha kedua-dua pihak penguam cara dan pendakwa raya meneruskan penghujahan lisan masing-masing.

Hakikatnya, peranan kedua-dua entiti itu dalam mengemukakan bukti penghujahan relevan adalah lebih penting bagi menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah, berbanding usaha mencetuskan persepsi terhadap institusi kehakiman mahu pun badan eksekutif.

Biar apa pun sistem dan seribu satu prosedurnya, semoga keadilan akan sentiasa ditegakkan dengan kedaulatan institusi kehakiman sebagai salah satu daripada tiga badan pengasingan kuasa penting negara, akan kekal terpelihara.

Klik di sini untuk terus membaca