SETIAP orang mempunyai pandangan sendiri tentang adil. Ada orang kata, adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ada juga berkata, adil apabila mereka menerima atau memperoleh apa dikehendaki. Ada sesetengah orang pula apabila dia tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP orang mempunyai pandangan sendiri tentang adil. Ada orang kata, adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ada juga berkata, adil apabila mereka menerima atau memperoleh apa dikehendaki.

Ada sesetengah orang pula apabila dia tidak dapat apa yang bagi menurut dirinya sepatutnya dapat, maka dikatakan ketidakadilan berlaku. Dia akan merungut-rungut kenapa dia diperlakukan begitu. Itu tidak adil baginya.

Maka, boleh disimpulkan menentukan adil atau tidak sesuatu itu agak subjektif. Ia bergantung kepada orang yang mengucapnya. Pandangan orang yang mendengar, berasa serta melihat juga akan menerbitkan pemahaman berlainan.

Contohnya, apabila kita makan di sebuah restoran. Restoran yang memang terkenal dan tular di media sosial. Ramai memuji telur dadar yang sedap kerana kembang, tebal dan penuh bawang.

Ada orang mempunyai pandangan berbeza, bergantung kepada mungkin layanan diterima daripada pekerja restoran. Ada orang apabila tidak dilayan dengan baik, maka akan timbullah rasa ketidakpuasan hati.

Makanan yang sedap, mungkin sudah jadi tidak sedap. Telur dadar yang kelihatan tebal, nampaknya sudah nipis, tidak berisi, kosong pada pandangan matanya.

Begitulah pemikiran dan perasaan manusia yang sentiasa dinamik serta mempunyai kepelbagaian. Maka, kita dapat simpulkan akhirnya tiada siapa yang tahu apakah maksud keadilan sebenarnya menurut pandangan manusia.

Sekali imbas boleh kita lihat, ia bergantung kepada makna oleh mereka yang mengalaminya sendiri. Saya suka melihat pepatah Melayu lama. Banyak pepatah berkaitan keadilan.

Contohnya, bagai limau masam sebelah. Susah hendak dicari limau masam sebelah. Mungkin ada tetapi agak jarang. Ada orang suka rasa masam, ada yang tidak. Masam tidak semestinya tidak elok.

Masam ada kelebihannya. Ada orang kata makan limau masam boleh mengawal kolesterol dan ubat kurus. Ada yang kata tidak. Maka, sekali lagi ia bergantung kepada kepentingan orang yang mengatakan tidak atau benar.

Bercakap tentang keadilan, semestinya akan terbahagi kepada dua golongan. Golongan bersetuju apa yang berlaku itu adil dan golongan tidak bersetuju yang mengatakan ia tidak adil.

Akhirnya setiap keputusan yang tercatat tidak dapat memenuhi hati semua orang. Sudah lumrah, begitulah keadaan yang berlaku. Setiap yang bersetuju akan ada yang tidak bersetuju.

Paling penting bagaimana kita menerima keadaan begitu. Walaupun apa sahaja tanggapan kita, keputusan akhirnya adalah daripada mereka yang diberi kuasa membuat keputusan.

Kita sebagai manusia hanya mampu berikhtiar sebanyak mungkin dan akhirnya menerima apa juga keadaan. Pepatah Melayu ada berkata, ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah.

Menyelesaikan sesuatu perkara hendaklah adil sehingga kedua-dua pihak berpuas hati. Masalahnya, siapakah sebenarnya boleh memberi keputusan adil menurut pandangan akal manusia dan dapat memberi kepuasan hati semua pihak.

Manusia tidak sempurna, namun segalanya hendaklah menurut aturan telah dibuat oleh manusia itu sendiri. Hanya Tuhan Yang Maha Adil, maka sudah semestinya manusia tidak akan dapat berlaku adil seperti Tuhan.

Namun, jika berlaku ketidakadilan adalah kerana sifat manusia itu sendiri. Dan jika adil pun adalah daripada sifat manusia itu juga. Apabila berasa ia tidak adil juga oleh sifat manusia dan begitulah sebaliknya.

Akhirnya, kita dapat berasakan apabila sesuatu perkara terkena di atas pundak kita dan menyebabkan kesusahan kepada kita, maka kita akan berkata dunia ini tidak adil. Malah, kita tidak pernah ingin menyalahkan diri sendiri kepada apa yang berlaku.

Saya terkesan dengan satu kata-kata hikmah dalam bahasa Inggeris. Katanya: "Aku tidak berani bertanya Tuhan kenapa apabila aku dihimpit penderitaan kerana apabila dilimpahi kesenangan, aku tidak bertanya pula kenapa Tuhan limpahi aku kesenangan.”

Siapa yang berani kata mereka adil? Yang hanya boleh manusia lakukan bak kata pepatah Melayu lama seperti memalu ular dalam benih, ular biar mati, benih janganlah rosak.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca