MENERUSI ledakan media baharu, pelbagai nasihat, bimbingan dan motivasi tidak putus-putus membanjiri pelbagai platform media agar kita sentiasa yakin kepada diri sendiri.
Paling ketara, sewaktu pandemik Covid-19. Maklumlah, ramai yang resah, kecewa, takut dan putus harapan tatkala pelbagai ujian yang bertimpa-timpa ke atas mereka.
Namun begitu, tidak semua mengambil iktibar daripada saranan tersebut. Masih ramai tidak endahkan nasihat, bimbingan dan panduan yang disampaikan.
Pada masa sama, pengaruh negatif dalam masyarakat melemahkan lagi keyakinan diri dan secara langsung mempengaruhi pembentukan kualiti peribadi.
Sebetulnya, kita tidak boleh mengelak untuk hidup bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat sangat penting bagi perkembangan dan kemajuan manusia. Selaras dengan itu, daripada Yahya bin Watsab, daripada seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah, bahawa Nabi SAW bersabda: "Jika seseorang Muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang Muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka."
Ibn Abi Adi berkata, Syu’bah berpendapat syeikh itu ialah Ibn Umar (Hadis Riwayat Tirmizi). Justeru, interaksi sosial sangat dituntut dalam kehidupan dan perlu bersabar serta bijak menangani gangguan dalam masyarakat.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Pribadi Hebat - " Perbedaan kita dengan makhluk lain adalah kita hidup bermasyarakat. Meskipun demikian, kemajuan masyarakat tidak akan tercapai jika setiap orang tidak melakukan kewajibannya dengan baik. Orang yang hanya membebani orang lain, yang bergantung pada temannya akan berbahaya kepada diri sendiri dan tempat bergantungnya.”
Tambah beliau lagi: "Pembentukan masyarakat yang baik tidak akan berjaya sekiranya tidak ramai mempunyai peribadi yang percaya kepada kekuatan diri sendiri. Kekuatan, akal, perasaan dan kemahuan sudah tersedia dalam jiwa sejak dalam kandungan.
"Percaya kepada diri sendiri adalah tiang kemerdekaan peribadi yang memunculkan kekuatan, tabiat, akhlak dan budi. Semua itu muncul dengan pendidikan, pergaulan dan lingkungan.”
Persoalannya, sejauh manakah pendidikan, pergaulan dan lingkungan masyarakat menjadi pemangkin pembentukan peribadi berkualiti?
Pada hemat saya, mereka yang yakin kepada diri sendiri sentiasa mempercayai bahawa segala impak baik dan buruk dilakukan di dunia ini akan dihitung pada neraca keadilan akhirat nanti.
Mereka juga percaya bahawa sifat suka bergantung dan berharap kepada orang lain akan menjatuhkan maruah mereka.
Selain itu, yakin kepada diri sendiri bermakna membenci segala perilaku yang merosakkan pemikiran dan jiwa manusia dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, keyakinan kepada diri sendiri akan memacu kualiti kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
Namun, lihatlah apa yang berlaku pada hari ini. Betapa ramai yang telah hilang pimpinan dalam hidup bagi meningkatkan kualiti peribadi.
Mereka hanya layak sebagai ‘pak turut’ semata-mata. Pendek kata, jauh sama sekali untuk menjadi pendesak kepada kemungkaran. Sebaliknya, kandungan video-video sampah menjadi ikutan dan pedoman.
Tidak cukup dengan itu, semakin ramai yang berlumba-lumba untuk menghasilkan kandungan video-video sampah kerana ada peminat tersendiri. Kita sepatutnya mendidik masyarakat, bukannya terpengaruh dengan hal yang bukan-bukan.
Ingatlah Rasulullah SAW bersabda: " Tiada satu kaum yang melakukan maksiat sedangkan ada dalam kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya." (Hadis Riwayat Abu Daud).
Justeru, selagi kita tidak bangkit membina keyakinan diri dan masih berharap kepada orang lain mempengaruhi pemikiran serta tindakan kita, kita hanya layak sebagai pencacai sampai bila-bila.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca