KUALA LUMPUR - Kegiatan perjudian dalam talian kini kembali aktif di beberapa lokasi di sekitar ibu negara biar pun operasi besar-besaran telah dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) awal tahun ini.
Maklumat kewujudan semula pusat-pusat judi itu diperoleh daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat yang mendiami kawasan berhampiran.
Berpandukan informasi berkenaan, wartawan Sinar Harian bertindak melakukan siasatan ke lokasi yang dimaksudkan.
Melalui penyamaran dilakukan wartawan Sinar Harian, didapati premis yang beroperasi ala kasino itu menjadikan lot kedai dan pusat snuker sebagai tempat perjudian, manakala di sesetengah premis hanya pelanggan tetap dibenarkan memasuki pusat itu.
Menerusi pemerhatian, bahagian luar dan dalam premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu pagar yang bergril serta suasana dalam premis yang gelap.
Pemilik premis menyediakan komputer dan tablet yang mengandungi perisian perjudian seperti jackpot untuk kegunaan pelanggan dan bermula serendah 25 sen sehingga RM2.
Kebanyakan premis perjudian ini didapati mempunyai sekurang-kurangnya 30 set tablet dan komputer riba yang mana boleh memuatkan 30 pelanggan dalam satu-satu masa.
Terdapat kira-kira 17 lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang dipercayai kembali menawarkan kegiatan haram itu iaitu di Taman Sri Rampai, Danau Kota, Taman Setapak, Desa Pandan, Jalan Genting Klang dan Desa Melawati.
Ia turut dikesan dibuka di dalam premis pusat snuker di Kuchai Avenue, Jalan Kuchai Lama, Kuchai Entrepreneurs Park, Taman Sri Endah, Jalan Radin Anum, Sri Petaling dan Bandar Baru Sri Petaling.
Selain itu, terdapat premis perjudian dalam talian ini yang menjadi tumpuan warga asing iaitu di Taman Lucky, Bangsar Utama, Jalan Thambipillay dan Jalan Belia di pekan Brickfields.
Ketika penyamaran juga, wartawan yang menyamar sentiasa dipantau penjaga pusat judi yang rata-ratanya dalam kalangan warga asing.
Mereka sentiasa memerhatikan tingkah laku pengunjung bagi memastikan individu yang memasuki premis itu bukan daripada kalangan pihak berkuasa seperti polis.
Wang pertaruhan 'hangus'
Sepanjang beberapa hari penyamaran dijalankan di beberapa pusat judi yang berlainan kawasan, wartawan Sinar Harian 'membelanjakan' lebih RM50 untuk setiap satu premis yang dimasuki.
Kaedah berjudi amat mudah dan setelah menekan butang spin melalui tetikus untuk tablet dan komputer riba yang disediakan, semua wang yang diperuntukkan untuk penyamaran 'lebur'.
Aplikasi perjudian yang memancing pelanggan untuk menghabiskan lebih banyak wang antara punca ramai yang terjerat dengan judi online ini. Wartawan Sinar Harian turut mengesan taktik licik sindiket menyembunyikan aktiviti perjudian dalam talian di sebalik operasi pusat snuker di Kuchai Avenue.
Setelah memasuki premis berkenaan, seorang lelaki warga asing yang juga pembantu penjaga premis telah membawa wartawan ke sebuah bilik tertutup yang dipenuhi komputer riba.
Seorang wanita warga asing berperanan sebagai penjaga kaunter di dalam bilik berkenaan, manakala seorang lelaki warga asing ditugaskan untuk memantau pengunjung ketika bermain judi.
Lelaki itu turut memantau pergerakan wartawan kerana mengetahui perbezaan pelanggan tetap ataupun tidak.
Seorang lagi pekerja wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Dewi memaklumkan premis tersebut beroperasi 24 jam jika ada pelanggan, tetapi akan ditutup pada jam 2 pagi apabila tiada kaki judi.
"Setiap hari boleh dikatakan ramai juga yang datang. Ada warga asing... ada juga orang tempatan. Kebiasaannya memang mereka ini akan duduk lama dalam tempat ini," katanya.
Sementara itu, seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Joe berkata, dia mula ketagih dengan perbuatan itu selepas terjerat dengan ajakan rakannya yang menghabiskan masa di premis perjudian dalam talian di Kuala Lumpur.
Kata lelaki berusia lingkungan 20-an itu, dia pernah menghabiskan RM1,000 dengan bermain judi online.
"Judi ini memang ‘berhantu’, kita akan terus main sampai kita menang, bila menang, kita nak menang lagi banyak. Saya akan duduk berjam-jam dalam kedai ini.
"Memang jadi gelap mata bila permainan judi online itu boleh bagi wang dalam sekelip mata, namun kemenangan itu tak bertahan lama, esok atau lusa bila saya main sekali lagi pasti duit itu akan habis,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca