KUALA LUMPUR - Polis akan terus mempergiatkan serbuan ke atas pusat-pusat judi yang dipercayai kembali beroperasi di beberapa kawasan di ibu kota. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, usaha membanteras kegiatan haram itu... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Polis akan terus mempergiatkan serbuan ke atas pusat-pusat judi yang dipercayai kembali beroperasi di beberapa kawasan di ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, usaha membanteras kegiatan haram itu sememangnya sentiasa dilakukan.

"Polis Kuala Lumpur sentiasa mengambil tindakan serbuan dan tangkapan ke atas mana-mana premis yang menjalankan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Apabila kita ada menerima maklumat, kita akan terus menggempur pusat-pusat judi dalam talian tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Azmi berkata, Polis Kuala Lumpur juga akan memohon kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik di premis berkenaan.

"Kita juga memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membatalkan lesen perniagaan kerana menyalah guna lesen untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian," katanya.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai untuk memberikan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Pada 3 Februari lalu, media melaporkan Polis Bukit Aman bersama kontinjen seluruh negara telah melancarkan Ops Dadu bermula 15 Januari hingga 2 Februari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, seramai 1,355 orang termasuk penjaga premis ditahan, 2,558 unit komputer, tablet, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM189,196 dirampas dalam 826 serbuan Ops Dadu.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi pusat judi online yang kembali aktif, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai berkenaan masalah perjudian dalam talian yang semakin aktif terutama di sekitar ibu negara.

"Benda ini kita kesan semakin meningkat sejak setahun lalu dan semakin banyak bermula fasa peralihan endemik baru-baru ini.

"Kita banyak terima aduan daripada orang awam jadi saya minta pihak berkuasa untuk ambil tindakan lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca