PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada awal tahun ini pernah kecilkkan kenyataan Amerika Syarikat (AS) bahawa tentera Rusia akan melakukan serangan pada bila-bila masa sahaja di negara tersebut. Ancaman serangan tentera Rusia itu... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada awal tahun ini pernah kecilkkan kenyataan Amerika Syarikat (AS) bahawa tentera Rusia akan melakukan serangan pada bila-bila masa sahaja di negara tersebut.

Ancaman serangan tentera Rusia itu dikeluarkan oleh pegawai-pegawai AS yang berulang kali memberi amaran bahawa Moscow boleh memindahkan tenteranya melintasi sempadan Ukraine pada bila-bila masa tetapi ketika itu Zelenskyy tidak mempedulikannya.

Sebaliknya, Presiden itu menuduh bahawa media Barat menyiarkan laporan berita yang bertujuan mahu menjejaskan kepercayaan rakyat negaranya terhadap kerajaan mereka selain mencetuskan suasana panik ekonomi di Ukraine.

Zelenskyy juga berkata ketika itu bahawa beliau memahami dengan mendalam apa yang berlaku di tanah airnya dan berucap di televisyen dengan menyatakan kerajaannya cukup kuat untuk memastikan semua perkara dalam kawalan.

Sementara Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov juga berusaha untuk meyakinkan rakyat Ukraine dalam ucapan di Parlimen: "Jangan risau, tidur lena. Tidak perlu mengemas beg anda.”

Walaupun Rusia mempunyai kira-kira 100,000 askar Rusia di sempadan Ukraine, Zelenskyy berkata beliau tidak melihat ancaman yang lebih besar akan berlaku walaupun Presiden AS, Joe Biden akhirnya menyatakan bahawa Ukraine akan diserang oleh Moscow.

Bagaimanapun, semua penafian Presiden Ukraine itu dibuat sebelum Rusia menunjukkan 'belangnya' yang sebenar apabila melakukan serangan ke atas negara jirannya itu pada 24 Februari lalu walaupun Moscow menafikan akan berbuat demikian sebelum ini.

Namun, selepas lebih empat bulan, perang di Ukraine masih belum berakhir dan Zelenskyy akhirnya mengaku dalam wawancara dengan akhbar The Washington Post bahawa sebelum tercetusnya permusuhan dengan Rusia, beliau memperkecil amaran AS tentang serangan yang akan berlaku kerana bimbang rakyat Ukraine akan melarikan diri dari negara itu secara beramai-ramai.

Presiden Ukraine itu menyatakan dalam wawancara tersebut bahawa jika pihak kerajaan memberitahu tentang ancaman serangan tersebut, negaranya akan kehilangan sebanyak AS$7 bilion (RM31.34 bilion) sebulan sejak Oktober lalu.

Pada akhir Januari lalu, Zelenskyy menjanjikan tahun yang aman kepada Ukraine dengan menyatakan bahawa orang ramai akan memasak barbeku semasa cuti Mei seperti yang selalu mereka lakukan dan kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas beliau bertemu dengan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns yang dilaporkan telah membentangkan secara terperinci tentang rancangan ketenteraan Rusia.

Tentera Ukraine masih menentang tentera Rusia yang menceroboh negaranya pada Februari lalu. - Foto AFP

Zelenskyy telah diberikan maklumat yang diperoleh daripada perisikan AS mengenai rancangan pencerobohan tentera Rusia apabila Burns secara rahsia bertemu dengannya pada pertengahan Januari lalu dan berkongsi maklumat risikan bahawa Moscow bercadang untuk berpindah dengan segera dari Belarus ke ibu kota Ukraine Kiev, lapor The Wall Street Journal pada April lepas.

Burns dilaporkan memberitahu Presiden Ukraine itu bahawa tentera Rusia merancang untuk mengawal Lapangan Terbang Antonov di Hostomel di luar Kiev dan akan digunakan untuk menjatuhkan kerajaan Ukraine.

MARAH

Sehubungan itu, ramai rakyat Ukraine biasa dan tokoh awam yang berasa marah apabila Presiden negara tersebut seperti tidak mempercayai mereka untuk berdepan dengan kebenaran dan melakukan persediaan awal untuk menghadapi serangan tentera Rusia.

Rakyat negara tersebut boleh melakukan persediaan untuk melakukan pertempuran dengan lebih baik, menyimpan stok makanan dan mengemas kini infrastruktur pertahanan awam sekali gus dapat menyelamatkan banyak nyawa yang terkorban, kata pengkritik.

Berikutan kenyataan terbaharu Zelenskyy menerusi wawancara itu, ada yang mempersoalkan motif beliau tidak memaklumkan kepada orang ramai tentang rancangan serangan tentera Rusia ke atas Ukraine.

Seorang wartawan, Bogdan Butkevich menulis di media sosial seperti yang dipetik The Washington Post bahawa Presiden Ukraine itu tidak mahu menyediakan negaranya dari segi ketenteraan kerana takut akan kehilangan kuasa.

Ekoran kenyataan Zelenskyy itu, terdapat warga Ukraine yang percaya bahawa beliau meletakkan kepentingan ekonomi terlebih dahulu berbanding dengan keselamatan rakyat dengan ramai daripadanya mendakwa bahawa banyak nyawa boleh diselamatkan jika pihak berkuasa Ukraine telah melakukan persediaan awal ke atas penduduknya untuk berperang.

Ketua Pengarang Ukrainska Pravda, Sevgil Musaieva dalam catatan di Facebook bahawa beliau secara peribadinya tersinggung dengan kenyataan Presiden negaranya itu yang dibuat menerusi wawancara dengan akhbat The Washington Post.

Pada masa yang sama, terdapat pula penyokong yang mempertahankan Zelenskyy.

Valery Bikar yang mengajar di Sekolah Perniagaan Kyiv-Mohyla menulis di Facebook bahawa penduduk Ukraine boleh mengetahui tentang amaran AS mengenai serangan tentera Rusia melalui media.

Sesiapa yang tidak mengemas begnya selepas membaca berita daripada perisikan AS tidak berhak untuk mendakwa dia tidak diberi amaran, katanya.

Bagaimanapun, kini jelaslah kenapakah Zelenskyy selalu memperkecil-kecilkan serangan tentera Rusia ke atas negaranya sebelum ia benar-benar terjadi pada Februari lalu. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca