SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti Melayu Islam yang mempunyai hala tuju sama selagi tidak melibatkan kluster mahkamah.
Ketua Pejuanita Muda, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, kerana itu pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan kerjasama dengan parti atau perikatan lain pada masa akan datang.
"Politik adalah perkara yang dinamik, selagi mana-mana parti politik berpegang pada hala tuju sama dengan Gerakan Tanah Air (GTA), kita tidak menolak kemungkinan atau kita tetapkan tidak akan kerjasama kecuali UMNO.
"Selagi kita tidak ambil kluster mahkamah dan perjuangan, integriti serta hala tujunya sama, parti itu berasaskan Melayu Islam, kita tak menolak sebarang kemungkinan dan sentiasa terbuka. Tetapi, segala keputusan berbalik pada keputusan Majlis Presiden GTA,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah parti itu sudi bekerjasama dengan Pas serta Perikatan Nasional (PN) susulan keterbukaan Pas untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selain Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada Khamis, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama itu penting kerana Pas melihat terdapat sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen berpotensi dimenangi PH jika tidak wujud persefahaman antara PN dan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Nurul Ashikin berkata, pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan (kerjasama) bersama parti yang sealiran sekali gus menolak potensi kerjasama bersama PH.
"Kita ni adalah perikatan Melayu Islam. Dalam PH tu ada parti yang lebih dominan ke arah bangsa lain (DAP).
"Sebab itulah kita pilih (potensi kerjasama) parti-parti yang berasaskan Melayu dan Islam selari dengan kerusi-kerusi yang disasarkan pada PRU15,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca