TANGGAL 21 Ogos 2022, genap setahun DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan. Mengimbas 365 hari lalu, Ismail Sabri menaiki kerusi nombor satu di Putrajaya dalam ranjau yang bukan sedikit... Klik di sini untuk terus membaca

TANGGAL 21 Ogos 2022, genap setahun DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Mengimbas 365 hari lalu, Ismail Sabri menaiki kerusi nombor satu di Putrajaya dalam ranjau yang bukan sedikit apabila Perdana Menteri sebelumnya hilang majoriti sokongan.

Ironinya, kumpulan ahli Parlimen yang menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah dalam kalangan pemimpin parti Ismail Sabri sendiri.

Mengakui menjadi ketua kerajaan tidak pernah terlintas di fikirannya tetapi Ismail Sabri melangkah setapak demi setapak menggagahi jawatan penuh pancaroba itu.

Ikuti wawancara khas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, ROZAID RAHMAN; Pengarang Berita Sinar Harian, JUNHAIRI ALYASA dan barisan pengarang media tempatan bersama Ahli Parlimen Bera itu bagi menyelami suka duka beliau sejak bergelar Perdana Menteri yang kesembilan.

MEDIA: Berbalik kepada permulaan Datuk Seri menjadi Perdana Menteri apabila melancarkan gagasan Keluarga Malaysia. Bagaimana Datuk Seri melihat penerimaan dan penghayatan gagasan berkenaan daripada rakyat?

ISMAIL SABRI: Dari segi pengamatan saya, rakyat semakin menerima dan warga Malaysia mudah difahami. Mereka bukan entiti yang terlalu sukar difahami. Ini sebab konsep keluarga itu sudah ada dalam kehidupan harian kita. Setiap daripada kalangan kita adalah keluarga.

Bagaimana keluarga menjaga ahli keluarga lain, begitulah konsepnya dalam kerajaan ini iaitu semuanya kita bersama sebagai satu keluarga.

Saya percaya ada dalam kalangan keluarga kita yang ditimpa kesusahan, pasti kita akan memberi keutamaan untuk membantu. Sebab itu dari segi kakitangan kerajaan pun, saya tekankan kalau dahulu kerja sebagai satu pasukan, sekarang amalkan kerja sebagai satu keluarga.

Apa yang hendak saya bawa melalui gagasan Keluarga Malaysia ini adalah perkara biasa bagi semua rakyat Malaysia. Tujuan saya adalah bagi mengeratkan hubungan kaum, keharmonian agama dan sebagainya. Konsep itu merupakan konsep yang sudah berada dalam diri kita, cuma diperbesarkan bukan sahaja untuk keluarga kita tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Apabila kita mengadakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, dari segi penerimaan termasuk maklum balas terhadap konsep Keluarga Malaysia, ramai yang menerimanya dengan baik.

Ini kerana tiga prinsip diterapkan dalam gagasan itu iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

- Selain daripada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, apa lagi tanda aras untuk menunjukkan gagasan ini diterima rakyat?

Ya, paling penting saya lihat - cuma saya tidak ada buat kajian - adalah kita tengok dari segi keharmonian kaum dan agama itu agak tenang. Saya tidak mahu kata keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Tetapi kebelakangan ini kita agak kurang mendengar sebagaimana suatu ketika dahulu apabila isu perkauman dan agama, boleh kata hari-hari dilaporkan dalam media dan media sosial, kini tampak ia semakin berkurangan.

Saya anggap itu sebahagian daripada kejayaan gagasan itu kerana bagi kita, Keluarga Malaysia bermakna setiap individu, kaum dan agama di negara ini sebagai satu keluarga. Bila kita menerima konsep ini, maka keharmonian itu dapat dicapai dengan cepat.

- Selepas setahun menerajui kerajaan, apa cabaran paling getir yang Datuk Seri hadapi sebagai Perdana Menteri?

Yang pertama dari segi menstabilkan politik. Ini kerana kepentingan kestabilan politik ada kaitan dengan kestabilan ekonomi. Politik tidak stabil akan menjurus kepada ketidakstabilan ekonomi. Tentulah rakyat akan terkesan.

Jadi, apabila saya ambil alih kerajaan, ketika itu keadaan tidak stabil dari segi politik. Sebab sebelum saya, sudah ada dua Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, satu tempoh pentadbiran kerajaan ada tiga Perdana Menteri.

Sewaktu saya mengangkat sumpah pelantikan jawatan sebagai Perdana Menteri, sebelum akhir penggal pentadbiran, sudah tiga kali majlis angkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan.

Sebab itu saya berkata sewaktu berjumpa dengan (Presiden Indonesia) Joko Widodo. Saya lihat mereka juga keliru sewaktu sambut kedatangan Perdana Menteri Malaysia. Dahulu mereka lihat orang lain, tidak lama setahun selepas itu, orang lain pula datang. Kini orang lain pula datang ke negara itu.

Jadi, Jokowi kata cukuplah, tidak saran Malaysia ada Perdana Menteri keempat. Maknanya nampak jelas dari segi ketidakstabilan politik. Cabarannya apabila Majlis Raja-Raja Melayu bersidang, membuat keputusan dan mengeluarkan titah supaya sebuah kerajaan stabil dibentuk.

Sebab itu tidak pernah berlaku dalam sejarah, pada hari kedua saya masuk ke pejabat Perdana Menteri, tiga pemimpin pembangkang datang ke pejabat bagi menyambut saya dan bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kestabilan Politik dan Transformasi Parlimen dengan kerajaan. Jadi, MoU seolah-olah gencatan diwujudkan supaya keadaan politik negara dapat distabilkan.

Tetapi perkara itu bukan mudah. Ini kerana saya kena menjawab kepada parti (UMNO). Di Malaysia, kita sudah dilatih memahami konsep pembangkang adalah pembangkang manakala kerajaan adalah kerajaan. Jadi asasnya sukar untuk pembangkang dan kerajaan bersama.

Jadi, saya perlu memberikan penjelasan kepada parti untuk memberitahu alasan kerajaan menandatangani MoU dengan pembangkang. Cabaran ketika itu adalah untuk menstabilkan politik.

Sebenarnya penerimaan parti dan penyokong kita, peringkat awal agak sukar kerana tiba-tiba kita berkawan dengan pembangkang.

Seterusnya, cabaran pemulihan ekonomi. Ini sebab kita sudah tutup semua sektor ekonomi selama dua tahun. Bila kita buka semula, ia bukan satu perkara mudah terutamanya melibatkan peniaga kecil dan sebagainya. Bursa Malaysia juga menghadapi masalah.

Bila kita sudah melancarkan pelbagai insentif kepada mereka, tiba-tiba berlaku pula konflik Rusia-Ukraine yang memberi kesan kepada agenda perancangan kita dari segi pemulihan ekonomi.

Tetapi syukur, kalau kita tengok pengumuman dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia mencatatkan pertumbuhan terbaik berbanding negara-negara rantau Asia Tenggara lain.

Berbanding dengan kuasa-kuasa besar lain termasuk kuasa ekonomi dunia seperti China, Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), kita jauh lebih tinggi dari segi pertumbuhan KDNK.

Isu pengangguran merupakan satu perkara yang sangat besar. Tanggungan untuk kita pulihkan balik (ekonomi). Alhamdulillah, kita dapat capai kepada pertumbuhan (guna tenaga kerja) zaman sebelum pandemik Covid-19 iaitu 3.8 peratus, hanya sedikit kurang daripada empat peratus. Empat peratus dianggap sebagai guna tenaga penuh dari segi atas kertas kita berjaya, walaupun ramai lagi yang tidak mendapat pekerjaan.

Ini satu pencapaian baik. Begitu juga dari segi perdagangan, pelaburan langsung asing (FDI) dan sebagainya. Nilai perdagangan kita sudah melepasi jumlah RM2 trilion, yang tertinggi setakat ini. Walaupun keadaan ekonomi dunia tidak pulih, kita juga tidak boleh dikatakan pulih sepenuhnya tetapi kita sudah boleh nampak perkembangan ekonomi yang baik.

Dari segi pertumbuhan ekonomi pun, kita jangkakan pertumbuhan 5.3 hingga 6.3 peratus. Walaupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan seluruh dunia bakal mengalami pertumbuhan 3.2 peratus, kita adalah lebih baik daripada tempat lain.

Itu dari segi teori angka dan data. Tetapi hakikat sebenar di lapangan, kita tahu orang miskin masih lagi hidup sukar. Ramai orang kata tidak mampu. Namun dari segi peruncitan, tahun ini mencatatkan angka jualan tertinggi. Ini menunjukkan orang Malaysia masih lagi (mampu) berbelanja dengan baik. Lebih daripada dulu.

Tetapi itu tidak menjadikan kita menganggap semua rakyat senang. Sebab itu saya kata, pertumbuhan kadar guna tenaga kerja mencapai 3.8 peratus hampir mencapai tahap guna tenaga penuh, tetapi kita tahu ramai yang masih menganggur.

Lebih penting, bukan setakat pengangguran, tetapi pendapatan diterima mungkin tidak setimpal daripada kerja dilakukan. Jadi, banyak lagi yang perlu kita usahakan.

Setahun yang lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan watikah pelantikan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

- Ada lebih kurang setahun sahaja lagi baki untuk penggal pentadbiran kerajaan berakhir. Jadi pandangan Datuk Seri, adakah perlu untuk tempoh pentadbiran itu diselesaikan atau perlu dapat mandat baharu rakyat lebih awal?

Ini satu soalan yang sukar. Kalau saya kata lama lagi, marah parti saya. Parti saya hendak cepat. Cuma saya sudah sebut beberapa kali. Banyak pertimbangan penting perlu dibuat sebelum kita buat keputusan.

Ya, rakyat perlu diberikan ruang untuk memilih kerajaan baharu kerana kerajaan sudah berubah tiga kali. Ada yang mengiktirafnya, ada juga yang tidak. Jadi adalah lebih baik kita pulangkan balik mandat kepada rakyat.

Tetapi, isu pun banyak dan saya jelaskan sebelum ini ia perlu diselesaikan. Isu yang saya sebutkan tadi adalah dari segi ekonomi, pendapatan rakyat dan pekerjaan. Tempoh daripada Januari hingga Ogos 2022, kita sudah menyediakan lebih 400,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Tetapi dari segi kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan itu, adakah sesuai atau tidak? Mungkin perlu dipertingkatkan lagi kadarnya.

- ‘Top 5’ pucuk kepimpinan UMNO dilihat lebih mahukan PRU15 diadakan pada tahun ini. Bagaimana Datuk Seri mendepani tekanan mereka?Bagaimana anda kata saya terima tekanan?

Mereka memberi pandangan sebagai pemimpin Top 5, memang setiap isu pun kita bincang bersama secara tertutup.

Jadi semua orang boleh kemukakan pandangan. Tetapi akhirnya semua faham, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen. Itu kuasa prerogatif Perdana Menteri.

Tetapi kuasa Agong adalah membenarkan atau tidak permohonan pembubaran.

Ramai orang lupa, seolah-olah kuasa itu merupakan kuasa saya. Kuasa pembubaran Parlimen adalah kuasa Agong.

Jadi, Top 5 (pemimpin UMNO) boleh bincang perkara itu sahaja. Kemudiannya, saya bawa ke dalam mesyuarat kabinet, (kena) kabinet setuju untuk bubarkan tarikh tertentu diadakan pilihan raya. Namun kalau tarikh itu Agong tidak bersetuju pun tidak boleh.

Orang selalu terlupa perkara ini sebab dahulu tidak payah bincang pun dalam kabinet. Ini kerana kerajaan dahulu 100 peratus daripada parti sama. Sekarang ini kerajaan diwujudkan adalah campuran.

- Adakah berlaku perbuatan sabotaj kerana kerajaan hari ini terdiri daripada parti berlainan?

Tiada. Kita sangat profesional. Semua perkara dibincang dan diluluskan secara bersama dalam mesyuarat kabinet. Sebab isu yang kita bincangkan bukan soal parti politik tetapi soal rakyat, negara dan ekonomi. Jadi apa yang kita buat adalah demi negara dan parti kena bekerja.

Saya tidak menghadapi masalah besar sebenarnya kerana kebanyakan individu berada dalam kabinet adalah mereka yang pernah bekerja bersama-sama sebelum ini, misalnya sebahagian menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah mereka yang pernah berjuang bersama dalam BN dulu.

Wakil Pas biarpun tidak pernah bersama saya dalam kerajaan terdahulu tetapi sewaktu saya jadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, mereka di bawah saya selama 22 bulan kerajaan PH memerintah sebelum ini. Jadi kita sudah ada chemistry.

- Ada dakwaan mengatakan bahawa Datuk Seri sememangnya merancang untuk menjadi Perdana Menteri lebih awal sehingga berjaya sekarang?

Saya tidak pernah terlintas dan rancang pun untuk menjadi Perdana Menteri. Macam mana nak rancang? Saya ketika itu adalah ketua pembangkang, macam mana saya boleh rancang untuk menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal pentadbiran kerajaan?

Tujuan pembentukan gabungan ketika itu adalah untuk menjatuhkan dan menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP sehingga menyebabkan banyak kerosakan berlaku. Sebab itu, BN cakap kita sertailah kerajaan ini walaupun Bersatu sebelum itu adalah sebahagian daripada kerajaan PH.

Kita sebelah sini (pembangkang) dan Bersatu sana tetapi akhirnya kita bergabung membentuk kerajaan campuran bersama-sama. Jadi apabila membentuk gabungan baharu, saya tidak pernah terfikir pun untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri apatah lagi Perdana Menteri.

Ismail Sabri (tengah) dalam satu wawancara khas bersama ketua pengarang media utama Malaysia di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini. Turut hadir dalam sesi temu bual itu, Rozaid (lima dari kanan).

'SAYA DARI KELUARGA MISKIN, TAHU ERTI HIDUP KAIS PAGI MAKAN PAGI'

- Sepanjang tempoh setahun menjadi Perdana Menteri, apakah keputusan paling sukar dibuat Datuk Seri?

Saat paling sukar dan mencabar bagi saya adalah semasa negara dilanda Covid-19. Ini kerana antara dua kepentingan yang perlu saya jaga dan pilih iaitu nyawa dan kelangsungan hidup. Saya (berasal) dari keluarga miskin, jadi saya tahu apa keperluan rakyat dan boleh bayangkan bagaimana orang hidup kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang.

Saya terpaksa tutup ekonomi sepenuhnya untuk menjaga nyawa ketika itu. Jadi keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah perkara amat sukar.

Jadi kita boleh bayangkan macam mana makcik bergantung hidup dengan pendapatan menjual kuih atau goreng pisang apabila kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP penuh. Memang waktu itu, saya rasakan keputusan dibuat amat sukar.

Saya amat takut orang akan hilang kerja apabila kilang ditutup. Jika kena buang kerja macam mana mereka mahu meneruskan kehidupan. Sebab itulah kerajaan perkenalkan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), program bakul makanan, program subsidi upah supaya majikan tidak memecat pekerja dan sebagainya.

'TIDAK BETUL SAYA LENGAHKAN MASA BUBAR PARLIMEN HINGGA ZAHID DIJATUHI HUKUMAN'

- Apa pandangan Datuk Seri bahawa tempoh menjadi Perdana Menteri adalah bergantung kepada situasi tertentu kerana ada pergolakan dalaman parti Datuk Seri? Ini kerana ada berpendapat Datuk Seri akan melambatkan pembubaran Parlimen bagi memastikan beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk kluster mahkamah akan dipenjarakan.

Saya tiada isu dengan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kerana mengenalinya secara peribadi sudah lama. Semasa saya belajar termasuk di Universiti Malaya (UM), kami teman sebilik. Kalau saya ponteng sekolah. saya tumpang tidur bilik dialah. Jadi saya kenal beliau dan isterinya sudah lama, malah sampai sekarang kami rapat.

Tidak timbul isu langsung, tiada perpecahan dalam UMNO, cuma orang luar sahaja bercakap. Saya dan pemimpin Top 5 akan sentiasa bertemu dan kalau saya ada masa, saya akan pergi ke rumah Presiden UMNO biarpun seorang diri untuk bertemu dengannya.

Tetapi saya bukan jenis cerita di luar. Malah, pertemuan antara Top 5 pun biasanya berlangsung dalam keadaan amat baik dan harmoni. Jadi kalau orang kata saya sengaja lengahkan masa sehingga dia dijatuhkan hukuman, itu adalah tidak betul. Itu adalah keputusan mahkamah.

Klik di sini untuk terus membaca