PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui barisan anggota kabinet ‘Keluarga Malaysia’ yang diterajui beliau ada yang menunjukkan prestasi yang bagus dan ada juga sebaliknya.
Jelasnya, prestasi setiap barisan jemaah menteri itu diukur dari pelbagai aspek termasuklah usaha mereka menangani pelbagai isu berbangkit khususnya membabitkan kementerian masing-masing.
"Kita sepatutnya membuat penilaian berkenaan pada minggu lepas tetapi terpaksa ditangguhkan kerana sidang Parlimen. "Secara umumnya saya melihat pencapaian kementerian dan menteri bukan sempurna walaupun ada menunjukkan prestasi yang bagus, (ada) yang kurang baik,” katanya.Bagaimanapun ujarnya, secara keseluruhan banyak isu membabitkan rakyat dapat ditangani dengan segera, meskipun berdepan banyak kekangan.
Justeru katanya, prestasi setiap anggota kabinet bukan hanya dinilai berdasarkan kejayaan atau kegagalan mereka, sebaliknya banyak aspek yang diambil kira.
"Sebagai contoh, dulu kecoh harga ayam sampai RM13 sekilogram tetapi sekarang harga sudah turun.
"Begitu juga harga minyak dan besi pun semakin turun. Jadi kita tengok kejayaan secara menyeluruh, bukan setakat perkara tertentu sahaja,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, ditanya sama ada wujud perbuatan sabotaj memandangkan kerajaan hari ini terdiri daripada parti berlainan, Ismail Sabri menjelaskan perkara seumpama itu tidak berlaku.
Ini kerana Naib Presiden UMNO itu berkata, semua pihak sangat profesional, di samping setiap perkara dibincang dan diluluskan secara bersama dalam mesyuarat kabinet.
Tambahnya, isu yang dibincangkan dalam kabinet juga bukan membabitkan soal parti politik tetapi soal rakyat, negara dan ekonomi kerana fokus kerajaan adalah untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.
"Saya tidak menghadapi masalah besar sebenarnya kerana kebanyakan individu berada dalam kabinet adalah mereka yang pernah bekerja sama-sama sebelum ini.
"Misalnya, sebahagian menteri daripada Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah mereka yang pernah berjuang bersama dalam Barisan Nasional dulu,” kata Ismail Sabri.
Klik di sini untuk terus membaca