PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, agak sukar untuknya menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana banyak pertimbangan yang perlu dibuat termasuk menyeimbangkan isu ekonomi dan rakyat.... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, agak sukar untuknya menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana banyak pertimbangan yang perlu dibuat termasuk menyeimbangkan isu ekonomi dan rakyat.

Justeru katanya, apabila tiba masa yang sesuai, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.

"Kalau hendak kata tahun ini pilihan raya, terlampau banyak isu dan perkara yang perlu diselesaikan. Jika tahun hadapan pula, tidak boleh tunggu sehingga keadaan ekonomi dunia teruk. Jadi, sebab itu agak sukar untuk membuat penentuan.

"Kalau kata lama lagi, marah parti saya (UMNO) kerana mereka hendak cepat. Cuma saya sudah sebut beberapa kali banyak pertimbangan penting perlu dibuat sebelum kita buat keputusan. Semua orang boleh kemukakan pandangan.

"Tetapi akhirnya semua faham, Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.

"Tetapi kuasa Agong adalah membenarkan atau tidak permohonan pembubaran itu,” katanya dalam wawancara khas sempena setahun pentadbirannya yang berlangsung di Seri Perdana di sini baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, indikator utama dalam menentukan kesediaan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen adalah keseimbangan antara isu ekonomi dan rakyat.

Selain itu katanya, beliau perlu membuat pertimbangan adakah situasi ketika itu boleh menguntungkan Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya.

"Kalau tahun hadapan, ekonomi (dijangka) teruk. Sama ada keadaan rakyat ketika itu teruk atau tidak, kita tidak tahulah. Tetapi selagi konflik Rusia-Ukraine tidak selesai, maka dunia pun tidak akan pulih sepenuhnya dan kita pun akan terjejas.

"Kalau buat (PRU) waktu itu dalam keadaan ekonomi semakin teruk, insentif yang sepatutnya diberikan kepada rakyat akan berkurangan. Jadi, waktu itu tidak sesuai kalau kita adakan pilihan raya. Sebab itu kita kena cari imbangan kesesuaian bagi mengadakan pilihan raya.

"Isu kapal tempur pesisir (LCS) baru timbul. Tidak tahu apa kesannya (kepada kerajaan) dalam tempoh satu atau dua bulan dari sekarang.

"Itu isu terkini tetapi mungkin menyebabkan kita terpaksa melewatkan pilihan raya bagi menyelesaikannya dahulu,” jelas Ismail Sabri.

TEKANAN TOP 5

Pada masa sama, beliau menjelaskan, tidak timbul soal tekanan daripada Top 5 pucuk pimpinan UMNO yang mahukan PRU15 disegerakan kerana setiap isu dibincangkan bersama secara tertutup.

Top 5 yang dimaksudkan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri sendiri serta Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu katanya, rakan-rakan kabinet memahami apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk bertanding secara solo dalam PRU15 nanti.

"Setakat ini, tiada masalah kerana semua pihak memahami, keputusan parti dan kabinet adalah dua perkara berbeza.

"Dari segi hala tuju kabinet ialah kita akan terus bersama dalam kerajaan seperti ini sehingga PRU15. Tetapi dari segi arahan parti, saya tidak (boleh) cakap lebih kerana saya adalah nombor tiga, saya ada bos. Jadi hala tuju parti perlu tanya Presiden UMNO,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca