PUTRAJAYA - Keputusan untuk nyahklasifikasi Laporan Pengauditan Forensik Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dijalankan pada tahun 2019 adalah bagi memastikan kerajaan bersikap telus dan tidak menyembunyikan fakta sebenar daripada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu dibuat kerana percaya laporan audit forensik oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) itu perlu dilihat dan dinilai sendiri oleh rakyat.
Menurutnya, sukar untuk menamatkan isu skandal LCS kerana ia menjadi ujian integriti kepada kerajaan.
"Susah hendak matikan isu ini sebab apa yang dibangkitkan oleh pembangkang adalah integriti, bukan soal siapa kena tahan dan kena tangkap. Bagi mereka, individu ditangkap itu mungkin bukan (pesalah) yang sebenar.
"Kalau kita lihat, setiap malam ada penyebaran video TikTok daripada pemimpin-pemimpin pembangkang. Jadi, sukar jugalah. Sama ada rakyat percaya atau tidak, mesti diberikan penjelasan dan kita tidak boleh berselindung.
"Sebab itu saya terus membuat keputusan dan percaya keperluan laporan audit forensik isu LCS itu mesti dinyahklasifikasikan supaya kita bersikap telus,” katanya.
Laporan JKSTUPKK berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dinyahklasifikasikan kerajaan Rabu lalu.
Menyentuh mengenai impak isu skandal LCS, Ismail Sabri menjelaskan, bukan mudah menanganinya kerana pembangkang akan menggunakan isu ini sepertimana mereka menggunakan isu 1MDB dahulu.
Namun apa yang penting katanya, tindakan sudah dilakukan dan satu kes sudah dibawa ke mahkamah.
"Saya difahamkan ada satu, dua lagi kes akan dibawa ke mahkamah. Penjelasan kepada rakyat tentang isu ini juga penting,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca