PUTRAJAYA - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merancang menjadi Perdana Menteri, apatah lagi turun ke bawah bagi merebut jawatan tertinggi dalam parti. Beliau sebaliknya... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merancang menjadi Perdana Menteri, apatah lagi turun ke bawah bagi merebut jawatan tertinggi dalam parti.

Beliau sebaliknya hanya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang sudah diberikan, kerana sekurang-kurangnya mahu dikenang sebagai seorang Perdana Menteri yang kuat bekerja untuk rakyat.

"Saya ketika itu adalah Ketua Pembangkang, macam mana saya boleh rancang untuk menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal pentadbiran kerajaan?

"Tujuan pembentukan gabungan ketika itu adalah untuk menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP yang dilihat telah menyebabkan banyak kerosakan berlaku.

"Sebab itu, BN (Barisan Nasional) cakap kita sertailah kerajaan ini walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum itu adalah sebahagian daripada kerajaan PH.

"Kita sebelah sini (pembangkang) dan Bersatu sebelah sana, tetapi akhirnya kita bergabung membentuk kerajaan campuran bersama-sama.

"Jadi apabila membentuk gabungan baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri baharu. Saya tidak pernah terfikir pun untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM), apatah lagi Perdana Menteri,” katanya.

PERANCANGAN ALLAH

Ahli Parlimen Bera itu berkata, tumpuannya ketika itu hanyalah kepada tugas sebagai Menteri Pertahanan namun tiba-tiba dilantik menjadi TPM pada 7 Julai 2021.

Bagaimanapun, beliau kemudian menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin meletak jawatan.

"Kalau saya masih menteri kanan, mungkin orang lain akan naik menjadi Perdana Menteri.

"Biarpun saya menjadi TPM paling singkat iaitu hanya 42 hari, namun kerana hierarki dan sokongan parti lain, maka saya akhirnya menjadi Perdana Menteri tanpa perancangan dan tidak disangka,” ujar beliau.

Ismail Sabri menjelaskan, tiada sebarang tekanan dirasai kerana beliau tidak pernah merancangnya tetapi ia adalah ketentuan daripada ALLAH SWT.

"Sebab itu apabila orang tanya sama ada boleh lelap tidur ke malam-malam pasal isu ini, saya cakap biasa sahaja kalau nak tidur, tidur sajalah.

"Kalau adakan PRU esok dan ada peluang lagi, saya akan teruskan tugas sebagai Perdana Menteri. Jadi tidak timbul isu besar.

"Sebab itulah saya tidak berebut-rebut, biarpun ada orang cakap kena lawan dalam parti tetapi saya tidak pernah bercakap mengenainya.

"Saya tidak merancang dan tidak turun ke bawah untuk berebut jawatan tertinggi dalam parti.

"Saya hanya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan, kerana sekurang-kurangnya apabila berhenti nanti orang akan ingat sepanjang setahun menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri seorang yang kuat bekerja untuk rakyat,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca