PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada keperluan ketika ini untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) memandangkan empat menteri kanan yang dilantik beliau telah memainkan peranan sama seperti jawatan... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada keperluan ketika ini untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) memandangkan empat menteri kanan yang dilantik beliau telah memainkan peranan sama seperti jawatan pemimpin nombor dua negara.

Beliau berkata, kesemua menteri kanan itu turut menikmati pelbagai kemudahan seperti Timbalan Perdana Menteri.

Empat menteri kanan sekarang ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu; Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO); Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin (Bersatu); dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS).

"Perkara itu (pelantikan TPM) biarlah dahulu. Setakat hari ini, saya sudah lantik empat menteri kanan, seolah-olah ada empat Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa membantu saya.

"Mereka menikmati pelbagai kemudahan seperti pasukan pengiring dan pengawal keselamatan sama seperti Timbalan Perdana Menteri.

"Jadi setakat ini, (ketiadaan TPM) tidak membebankan saya kerana sudah ada empat menteri kanan termasuk dua daripada Bersatu, satu GPS dan UMNO,” katanya dalam wawancara khas sempena setahun pentadbirannya yang berlangsung di Seri Perdana di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan pihak tertentu supaya jawatan TPM dilantik dalam kalangan pemimpin Bersatu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dalam masa sama memuji sikap pemimpin Pas apabila tidak sesekali membangkitkan ketiadaan wakil mereka yang diberikan jawatan sebagai menteri kanan, meskipun parti itu turut menganggotai kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang diterajuinya.

"Biarpun tiada menteri kanan dilantik daripada Pas namun mereka tidak pernah membangkitkannya. Saya rasa semua pihak patut menerima sedikit kekurangan dan yang banyak bercakap adalah orang di luar kerajaan. Tetapi anggota kabinet tidak pernah menimbulkan isu,” ujar Perdana Menteri.

Polemik mengenai jawatan TPM tercetus apabila Bersatu mendakwa kerusi bagi jawatan berkenaan sepatutnya milik mereka sehingga mencetuskan ketegangan antara pemimpin UMNO dan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.Susulan itu juga, pemimpin kedua-dua parti saling berbalas hujah sehingga ada yang mendesak supaya Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menarik sokongan terhadap Ismail Sabri.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad baru-baru ini dilapor berkata wujud perjanjian antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dan Ismail Sabri mengenai jawatan TPM.

Marzuki mendakwa perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Bersatu.

Klik di sini untuk terus membaca