LAGI cepat kita selesaikan kes-kes rasuah dan jenayah kolar putih yang lain, lebih cepat serta mudahlah kita memulihkan keyakinan umum terhadap pentadbiran negara kita. Semua negara dan kerajaan memerlukan keyakinan orang ramai bagi... Klik di sini untuk terus membaca

LAGI cepat kita selesaikan kes-kes rasuah dan jenayah kolar putih yang lain, lebih cepat serta mudahlah kita memulihkan keyakinan umum terhadap pentadbiran negara kita.

Semua negara dan kerajaan memerlukan keyakinan orang ramai bagi mentadbir serta membangunkan ekonomi tanpa gangguan. Malaysia pernah mempunyai persekitaran ekonomi terbaik dalam kalangan negara-negara membangun sehingga hampir berjaya mencapai status negara maju kalau tidak kerana masalah ekonomi global, khususnya disebabkan pandemik.

Alhamdulillah, ekonomi Malaysia semakin pulih selaras dengan pemulihan ekonomi dunia susulan kejayaan mengawal Covid-19 yang membolehkan kawalan pergerakan ditarik balik.

Seperti yang telah saya sebut berulang kali, penjanaan ekonomi bergantung kepada pergerakan (mobiliti) faktor-faktor pengeluaran seperti modal, pengurusan, buruh, bahan mentah dan pengangkutan.

Namun, sebagaimana diingatkan oleh ahli ekonomi termasuk daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), masih terdapat ancaman besar dan nyata dalam bentuk inflasi hyper atau lebih teruk, stagflasi.

Malaysia sudah mula merasai kesan kenaikan harga luar biasa walaupun ekonomi kita baru sahaja merangkak keluar daripada kemelesetan tahun 2020.

Ancaman stagflasi tidak boleh dipandang ringan kerana ia menggabungkan faktor-faktor yang boleh membawa penderitaan teruk kepada masyarakat seperti pertumbuhan ekonomi lembap, kadar pengangguran tinggi dan harga barang serta perkhidmatan melambung.

Sejak berlaku ‘rampasan kuasa’, kita sudah ada dua Perdana Menteri dan dua kumpulan parti memerintah. Ia tidak baik kepada negara kerana memberi kesan negatif terhadap keyakinan dan kemampuan pelabur tempatan serta asing.

Tanpa input dan panduan yang bernas daripada kabinet, kakitangan awam dan pengurusan syarikat serta tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) mungkin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna.

Misalnya, saya mula ragu dengan komitmen dan fokus Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjalankan tugas sebagai ketua turus kewangan negara kerana beliau lebih berminat menjadi pemimpin politik.

Dahulu ramai orang menerima dan memberi peluang kepada beliau memegang jawatan penting itu atas dasar beliau seorang eksekutif perbankan tersohor dan orang luar politik.

Orang profesional seperti beliau sepatutnya menumpukan sepenuh tenaga memperbetulkan ekonomi dan kewangan negara yang teruk dihempap pandemik serta ketidaktentuan ekonomi global.

TABUNGAN MERUDUM

Bantu bangunkan semula tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang jatuh merudum akibat dasar beliau dan kerajaan yang beliau sendiri nasihati. Penguncupan besar tabungan KWSP memberi kesan negatif kepada kemampuannya menjana pulangan baik untuk pencarum.

Tahun lalu, buat kali pertama dalam masa 20 tahun, KWSP mencatat caruman bersih negatif sebanyak RM58.2 bilion. Maksudnya, pencarum mengeluarkan lebih banyak simpanan daripada memasukkannya.

Pada 21 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, pulangan pelaburan bagi suku pertama 2022 jatuh 17.83 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM15.85 bilion daripada RM19.29 bilion.

Serentak itu, kerajaan sendiri bergantung besar kepada KWSP sebagai sumber hutang. Hampir separuh peruntukan aset KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon.

Saya pernah menulis mengenai satu hutang raksasa yang diambil kerajaan daripada KWSP zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membiayai sebuah agensi luar belanjawan yang dikenali sebagai Pembangunan PFI Sdn Bhd sebanyak RM25.29 bilion.

Banyak lagi isu besar perlu ditangani sebelum kerajaan boleh meyakinkan rakyat dan pelabur bahawa zaman projek besar, hutang besar dan rasuah besar telah berlalu. Ulat bangkai seperti skandal kapal tempur pesisir (LCS) masih keluar satu demi satu.

Maka, sebab itulah kita wajib memberi peluang dan keyakinan kepada kehakiman untuk selesaikan secepat mungkin kes rasuah, khususnya melibatkan pemimpin politik, agensi kerajaan, GLC/GLIC dan tauke-tauke besar. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca