SABAN tahun rakyat Malaysia berganding bahu berusaha memajukan negara mengikut acuan yang telah dipersetujui. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! sudah pasti tidak akan terpadam daripada lipatan sejarah negara dan sentiasa diingatkan setiap... Klik di sini untuk terus membaca

SABAN tahun rakyat Malaysia berganding bahu berusaha memajukan negara mengikut acuan yang telah dipersetujui.

Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! sudah pasti tidak akan terpadam daripada lipatan sejarah negara dan sentiasa diingatkan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan.

65 tahun bebas daripada pentadbiran asing adalah tempoh singkat, berbanding 446 tahun negara ditadbir beberapa pemerintah. Mengikut sejarah, negara kita pernah ditadbir oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Kemajuan negara berbanding zaman pramerdeka amat ketara. Tahniah kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, begitu juga pihak kerajaan yang memacu kemajuan negara sehingga disegani di setiap pelusuk dunia.

Namun, dalam kita menikmati kebebasan ini, ada beberapa aspek kita masih terus ‘dijajah’ khususnya perundangan.

Misalnya, kebergantungan Mahkamah Sivil di Malaysia terhadap undang-undang lazim (common law) Inggeris melalui Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 masih lagi aspek penting dalam penghakiman di mahkamah walaupun kita telah merdeka.

Kita masih meminggirkan budaya, adat resam, norma dan agama kita dengan mengimport budaya serta norma yang begitu asing dalam undang-undang kita iaitu undang-undang lazim Inggeris.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz pernah menyarankan undang-undang lazim Malaysia digarap dan menyuntik elemen undang-undang serta jurisprudens Islam.

Ia ditambah pula dengan kenyataan tegas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa undang-undang syariah adalah undang-undang terbaik.

Kenyataan dua tokoh kehakiman dan perundangan itu adalah manifestasi perlunya undang-undang Islam dilaksanakan di Malaysia.

Tambatan kepada undang-undang Inggeris perlulah dihentikan dan keutamaan kepada prinsip undang-undang Islam yang lebih mencerminkan kehendak majoriti rakyat Malaysia direalisasikan.

Namun, golongan ultra sekular yang tidak menelusuri hakikat sejarah menentang proposisi dinyatakan itu. Begitu juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang mendakwa undang-undang lazim Inggeris telah berperanan baik selama ini.

Tentangan sebegini seolah-olah mahu kembali ke era prakemerdekaan. Mereka masih mengutamakan norma dan budaya penjajah, berbanding norma serta budaya masyarakat di Malaysia sendiri.

Sikap itu sebenarnya timbul akibat kedangkalan ilmu undang-undang Islam yang adil tanpa mengira bangsa dan agama. Undang-undang Islam adil bukan hanya kepada manusia, malah kepada sekalian alam semesta.

Tanggungjawab

Perkara tersebut dapat dilihat, misalnya dalam undang-undang Islam yang begitu mengambil berat tentang pemeliharaan alam sekitar dan tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar.

Undang-undang Islam lebih mementingkan aspek tanggungjawab manusia, manakala undang-undang Barat seperti undang-undang Inggeris pula lebih mengutamakan hak.

Natijahnya, masyarakat menjadi terlalu mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab bersama. Masyarakat juga menjadi terlalu individual.

Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka secara sepenuhnya adalah berpaksikan kepada ketidakfahaman tentang ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

KEDUDUKAN ISTIMEWA

Tiada siapa pun boleh mempertikai kedudukan istimewa Islam dalam perlembagaan. Apa yang diusahakan oleh orang Islam sekarang hanyalah untuk mengembalikan Islam kepada kedudukannya yang sebenar sebagaimana sebelum penjajahan.

Tiada alasan pula bagi orang bukan Islam untuk gusar sekiranya orang Islam melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya kerana Islam menjamin kebebasan beragama.

Sejarah juga telah menunjukkan bahawa Islam tidak pernah disebarkan secara paksaan. Malah, jaminan kebebasan beragama dalam Islam adalah lebih luas aspeknya, berbanding dengan apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, sudah tiba masanya kita mengakui hakikat bahawa Islam adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia. Islam telah sebati dalam diri dan jiwa rakyat Malaysia.

Rakyat bukan Islam juga mengakui hakikat tersebut. Marilah sama-sama kita menganjak paradigma ke arah melaksanakan undang-undang lazim Islam yang lebih sesuai dan adil kepada masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa serta agama.

Mencintai agama Islam adalah fardu bagi orang Islam. Mencintai watan pula adalah sebahagian daripada iman.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca