HARI ini genap setahun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, anak penoreh getah dari Pahang menjadi Perdana Menteri. Detik beliau mengambil alih pentadbiran mungkin detik paling sukar jika dibandingkan dengan mana-mana Perdana Menteri.
Hanya usaha mendapat kemerdekaan dan memulihkan negara akibat tragedi 13 Mei 1969 mungkin melebihi kesukaran yang dihadapi Ismail Sabri.
Pada Ogos 2021, negara telah lebih 17 bulan dilanda pandemik. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) datang dan pergi sebagai alternatif mematikan rantaian jangkitan Covid-19.
Pada masa sama, politik negara bergolak apabila sebahagian ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan pimpinan Muhyiddin hilang sokongan majoriti dan memaksa beliau meletak jawatan.
Muhyiddin pantas memaklumkan Perikatan Nasional (PN) menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Gabungan Parti Sarawak juga menyatakan sokongan, selain MIC, PBRS dan MCA. Halangan Ismail Sabri hanya daripada parti sendiri yang berdepan perpecahan antara sebahagian besar yang menyokong dan dengan segelintir bermain tarik tali.
SOKONGAN MAJORITI
Namun, akhirnya takdir ALLAH SWT, Ismail Sabri melintasi garis 112 sokongan ahli Parlimen yang diperlukan bagi memperoleh majoriti di Dewan Rakyat.
Tidak banyak harapan diberikan kepada Ismail Sabri. Beliau bukan seorang tokoh pemimpin besar dalam UMNO walaupun bertaraf Naib Presiden dan pernah memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO sewaktu percutian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau dilihat pemimpin yang tidak punya kekuatan dalam parti dan personaliti yang menonjol untuk memimpin negara dalam jangka masa panjang. Tidak ramai menjangka Ismail Sabri boleh kekal sehingga melebihi setahun berdepan tekanan politik, ekonomi dan pandemik. Namun beliau membuktikan sebaliknya.
Langkah pertama Ismail Sabri mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) Tansformasi Politik dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga 31 Julai lalu telah menutup sebarang ruang dan peluang untuk musuh-musuh politiknya mencipta ruang pilihan raya umum (PRU) lebih awal.
MoU itu juga telah meredakan kesukaran meluluskan undang-undang dan belanjawan di Dewan Rakyat.
Sehingga setahun ini, kerajaan majoriti tipis pimpinan Ismail Sabri bukan sahaja berjaya meluluskan Bajet 2022, malah pindaan Perlembagaan Malaysia yang memerlukan sokongan majoriti 2/3.
Negara juga dilihat akan menghadapi masalah ekonomi yang teruk di bawah Ismail Sabri. Namun berdepan kemelesetan global akibat pandemik dan tanpa pengalaman luas dalam ekonomi, Ismail Sabri membuktikan komen-komen negatif terhadap kemampuannya adalah salah.
Bermula dengan memberi jaminan tiada lagi PKP pada 2022, Ismail Sabri memulihkan kepercayaan usahawan, pelabur dan rakyat untuk berbelanja bagi memulihkan ekonomi. Pakej Rangsangan Ekonomi, Skim Jaminan Kerja dan dana bantuan usahawan diperkenalkan akhirnya membuahkan hasil.
Mengambil alih negara ketika ekonomi negara menguncup 4.5 peratus, kini ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus bagi suku kedua 2022 (April-Jun). Ia adalah pertumbuhan tertinggi di ASEAN dan mengatasi pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Jepun, China dan Kesatuan Eropah bagi tempoh yang sama.
KEJAYAAN
Mentadbir negara ketika pengangguran pada kadar 4.6 peratus (Ogos 2021), belum sampai setahun negara kembali kepada tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran pada tahap 3.8 peratus (Jun 2022).
Sepanjang setahun ini lebih 400,000 pekerjaan baharu telah diwujudkan melalui pelbagai inisiatif kerajaan.
Bagaimanapun, seperti kata Ismail Sabri dalam wawancara bersama ketua-ketua editor media negara minggu lalu - "Semua ini adalah angka-angka yang baik, namun saya sedar ramai lagi rakyat di luar sana yang memerlukan bantuan.”
Justeru, tidak hairanlah anak penoreh getah dari Pahang ini mengambil langkah drastik membenarkan subsidi negara mencecah RM80 bilion walaupun negara berdepan kekangan kewangan dengan ekonomi yang baru mahu mencatatkan pemulihan. Mengurangkan beban rakyat bawahan terus menjadi iltizam Perdana Menteri.
Kita mendoakan semoga Malaysia terus dilimpahi rahmat-Nya dan pentadbiran Ismail Sabri diberi petunjuk serta hidayah bagi menjaga kebajikan rakyat jelata.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca