BELALANG dapat perhatikan sejak dua menjak ini, semua orang ghairah untuk bercakap tentang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) sehinggalah kepada Perikatan Nasional (PN), semuanya merasakan... Klik di sini untuk terus membaca

BELALANG dapat perhatikan sejak dua menjak ini, semua orang ghairah untuk bercakap tentang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) sehinggalah kepada Perikatan Nasional (PN), semuanya merasakan yang PRU15 dah tak lama lagi dah.

Pendek kata, tahun inilah. Apatah lagi baru-baru ini konon tular gambar sekumpulan kakitangan dikatakan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sedang mengikuti satu simulasi pilihan raya siap dengan tarikh bila Dewan Rakyat akan dibubarkan dan tarikh PRU15 akan diadakan.

Semua orang lupa hanya ada satu manusia sahaja di bumi Malaysia ini yang benar-benar tahu tarikh sebenar PRU15 iaitu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dan dalam pertemuan dengan ketua-ketua pengarang dan pengarang kanan media tempatan baru-baru ini, sempena setahun pemerintahan beliau, jawapan PM mudah sahaja: "Jika tidak tahun ini, tahun hadapan..."

Beliau kelihatan relaks sahaja dan kata-katanya itu, mencetuskan ketawa besar dalam kalangan pengarang-pengarang yang sejak dari awal mengasak beliau dengan pelbagai percubaan untuk mendapatkan reaksinya tentang waktu yang sesuai untuk diadakan PRU15.

Kadang-kadang beliau berseloroh; "Belum dapat ilham lagi..." dan sekali lagi semua orang ketawa besar dengan reaksi bersahaja beliau itu.

Namun begitu, selepas selesai temu ramah tersebut dan ketika beliau duduk makan semeja dengan semua pengarang kanan, beliau memberikan beberapa indikasi tidak langsung kepada semua.

Antara lain beliau memaklumkan masih belum melawat ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina lagi.

Beliau juga cenderung untuk mengadakan terlebih dahulu kaji selidik populariti dalam kalangan rakyat tentang kepimpinannya dan juga pemimpin-pemimpin yang lain.

Malah beliau juga terlebih dahulu ingin membantu semua lapisan masyarakat daripada B40 sehingga kepada M40 menerusi perancangan bajet yang mungkin menurutnya, diperawalkan sedikit daripada tarikh asal yang ditetapkan pada pertengahan Oktober nanti.

Dan yang terakhir, PM juga mahu mendapat maklum balas daripada reaksi orang ramai terhadap isu kontroversi kapal LCS.

Ini semua katanya, sangat penting kerana beliau enggan mengadakan pilihan raya dalam keadaan partinya sendiri berhadapan dengan potensi kekalahan.

"Nak buat pilihan raya mestilah untuk menang...siapa yang nak buat pilihan raya untuk kalah," kata beliau lagi.

Dan pada masa yang sama, beliau sedia maklum akan keperluan partinya sendiri untuk diadakan pilihan raya dalam kadar yang segera.

Apa sekali pun yang berlaku, orang boleh bercakap apa sahaja tapi keputusan di tangan beliau kerana yang akan pergi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah presiden parti atau ketua pembangkang tapi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Belalang - Jangka Parlimen akan dibubarkan selepas Tahun Baharu Cina dan sebelum umat Islam berpuasa.

Klik di sini untuk terus membaca