ADA kumpulan pengkaji psikologi menonton filem dan perfileman mengenal pasti empat jenis genre yang asas serta lebih mudah untuk dikaji secara saintifik – aksi, drama, komedi dan non-fiksi. Namun, senarai genre filem yang lebih panjang... Klik di sini untuk terus membaca

ADA kumpulan pengkaji psikologi menonton filem dan perfileman mengenal pasti empat jenis genre yang asas serta lebih mudah untuk dikaji secara saintifik – aksi, drama, komedi dan non-fiksi.

Namun, senarai genre filem yang lebih panjang adalah lebih realistik dan ia melibatkan sekitar 40 genre filem. Misalnya, filem sejarah, biografi, agama, animasi, perang, komedi, perisik, epik, aksi, fiksi sains dan kepetualangan (adventure).

Pertindihan antara mana-mana dua atau tiga genre filem boleh berlaku dan ia menjadikan filem tersebut lebih canggih serta menarik.

Apabila pameran kinetoskop dan sinema pertama dianjurkan pada 1894-1895, bermulalah sejarah sinematografi dalam dunia moden. Dengan terbitnya The Photoplay pada 1916 tulisan Hugo Münsterberg, seorang psikologis Jerman-Amerika, bermulalah juga bidang teori filem dan psikologi filem.

Setelah sekurun alam perfileman maju pada zaman pascamoden, seluruh cakerawala perfileman (sutradara, penerbit dan bintang filem) sudah mengetahui bagaimana caranya menawan perasaan serta pemikiran penonton.

POPULARITI

Selain, sejauh mana reaksi penonton dapat melonjakkan populariti seluruh cakerawala filem yang diterbitkan. Terhibur dan berasa puas? Berasa sayang atau benci, empati atau apati? Berlakukah internalisasi mesej filem dalam kalangan penonton?

Apabila kita menonton filem di rumah atau di pawagam, kesemua empat ranah hayat terlibat dan dipengaruhi.

(i) Psikologi - kognisi yang rasional dan emosi yang terkawal.

(ii) Ekofizikal - suasana tempat tayangan yang selesa.

(iii) Sosial - keadaan masyarakat yang kondusif.

(iv) Spiritual - pengayaan atau pemiskinan kerohanian.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, filem biografi–sejarah–aksi meledakkan perdebatan sinematografi, mesej, kesensitifan kaum Melayu serta bukan Melayu yang perlu diurus dan kekejaman kolonialisme. Semakin kontroversial filem tersebut, semakin memuncak tarikannya.

Dalam barisan pejuang tanah air dan Nusantara, Mat Kilau ialah pembakar api revolusi dari suatu zaman.

Dalam kumpulan pengkritik ‘Mat Kilau’, peranan seorang sahabat lama saya dan pengkaji serta penulis sejarah tidaklah kecil.

Beliau ialah Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor yang 10 tahun lebih muda daripada saya. Kepakarannya di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) ialah perosak vertebrat.

Sejak meletusnya filem Mat Kilau pada hujung Jun lalu, beliau telah menulis satu siri empat makalah di akaun Facebooknya dan menjadi seorang panelis dalam sebuah panel forum pelbagai kaum (tiga ahli panel dan seorang pengerusi).

TOHMAH DAN FITNAH

Di media sosial, Dr Hafidzi terus menangkis tohmah dan fitnah memburukkan peranan para pejuang tanah air Tanah Melayu serta menepis usaha untuk memutar elit kenyataannya sendiri tentang Mat Kilau.

Filem Mat Kilau yang tidak mempunyai adegan melanggar syarak boleh dijadikan bahan tafakur dan penggalak umat Islam serta orang Melayu mempertahankan negara menurut pendekatan Islam dalam Malaysia pelbagai kaum, bukan monoetnik.

Mat Kilau boleh menandingi Lion of the Desert, filem 1980 dengan watak Omar Mokhtar (lakonan Anthony Quinn) dan Jeneral Rodolfo Graziani (lakonan Oliver Reed).

Sutradara dan penerbit filem epik tersebut seperti filem The Message (1976) sebelumnya ialah Moustapha Akkad.

Adegan persiapan dalam gua dan serangan balas kumpulan Melayu-Islam Mat Kilau ke atas askar British semacam dejavu (sebutan: day-zha-vu) bagi saya. Teringat adegan dalam gua dan serangan balas pejuang Baduwi–Islam–Libya Omar Mukhtar ke atas tentera kolonial Itali hujung dasawarsa 1920-an.

Kami suami isteri menonton Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dengan anak menantu dan sekumpulan cucu. Isteri saya, doktor swasta yang baru bersara tahun lalu bersungut tentang satu perkara (selain orang kampung berjuang mati-matian dengan memakai baju baharu berwarna-warni) – "Perut wanita hamil dalam filem itu terlalu besar! Dia hamil anak pertama dan sepatutnya tidak mempunyai pendulous abdomen.”Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berada di liganya sendiri dan memecut jauh di hadapan mendahului semua filem pelbagai genre.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Penulis, Psikiatris dan Aktivis Masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca