TENTERA Rusia merampas loji nuklear Zaporizhzhia, Ukraine iaitu yang terbesar di Eropah kira-kira seminggu selepas menyerang negara tersebut pada 24 Februari lalu. Serangan itu menandakan kali pertama dalam sejarah perang meletus di negara... Klik di sini untuk terus membaca

TENTERA Rusia merampas loji nuklear Zaporizhzhia, Ukraine iaitu yang terbesar di Eropah kira-kira seminggu selepas menyerang negara tersebut pada 24 Februari lalu.

Serangan itu menandakan kali pertama dalam sejarah perang meletus di negara yang mempunyai infrastruktur tenaga nuklear besar dan canggih, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), berpangkalan di Vienna, Austria.

Bagaimanapun, situasi panik berlaku pada awal minggu ini apabila pada 5 Ogos lalu, beberapa letupan berlaku berhampiran papan suis elektrik sehingga menyebabkan penutupan kuasa loji tersebut.

Satu unit reaktor telah memutuskan sambungan daripada grid elektrik sehingga menyebabkan 'butang' sistem perlindungan kecemasan ditekan bagi memastikan bekalan kuasa terus beroperasi.

Terdapat juga tembakan di stesen nitrogen-oksigen di loji tersebut.

Menurut agensi nuklear Ukraine, Enerhoatom, roket Rusia telah merosakkan sebahagian daripada loji kuasa nuklear tetapi tiada kebocoran radiasi berlaku di loji yang dibina pada tahun 1980-an oleh Kesatuan Soviet tetapi telah dibubarkan pada 1991.

Di loji itu terdapat enam reaktor air ringan, sekali gus menjadikannya antara 10 stesen janakuasa nuklear paling berkuasa di dunia.

Rusia tidak menafikan bahawa ia menempatkan askar-askarnya di loji tersebut tetapi mempertikaikan dakwaan telah melepaskan bedilan di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, Moscow menyalahkan tentera Ukraine kerana melepaskan bedilan meriam di kawasan itu tetapi dinafikan oleh Kiev.

Tidak diketahui berapa ramai daripada 11,000 kakitangan loji itu yang masih bekerja tetapi seorang bekas pekerja memberitahu stesen penyiaran Amerika Syarikat (AS), NBC News bahawa keadaan di sana sangat menakutkan bagi mereka untuk bekerja di bawah kawalan Rusia berikutan terdapat laporan bahawa sebahagian daripadanya telah dijadikan tebusan.

KEBOCORAN RADIOAKTIF

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pernah berkata pada 8 Ogos lalu bahawa serangan itu adalah satu tindakan membunuh diri dan beliau berharap ia akan berakhir, selain menaruh harapan supaya IAEA akan dapat membuat kerja-kerja penilaian di loji tersebut.

Susulan situasi panik itu, pada 18 Ogos lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran supaya kejadian seperti kebocoran radioaktif di loji nuklear Chernobyl pada April 1986, juga terletak di Ukraine tidak berulang lagi.

Dalam kejadian itu, seramai 31 orang terbunuh tetapi PBB menyatakan 50 orang maut, namun angka kematian sebenar bencana Chernobyl sukar dinilai kerana kesan kesihatannya yang berpanjangan akibat pencemaran radioaktif.

Berikutan itu, Erdogan memainkan peranannya berbincang dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bersama Gutteres tentang situasi di loji nuklear Zaporizhzhia di negara berperang tersebut pada 18 Ogos lalu.

Erdogan juga menyuarakan kebimbangannya tentang konflik di kawasan sekitar loji nuklear tersebut dan memberi amaran tentang bahaya baharu Chernobyl yang mungkin akan berlaku.

Dalam pertemuan tiga pihak itu, Zelenskyy turut menggesa Rusia untuk membuang semua periuk api yang terdapat di kawasan loji berkenaan.

Rusia juga harus segera dan tanpa syarat menarik balik tenteranya dari loji kuasa nuklear Zaporizhzhia serta menghentikan sebarang provokasi dan tembakan, kata Presiden Ukraine itu selepas menuduh Rusia melakukan ugutan nuklear.

Recep Tayyip Erdogan (kiri) kerap bertemu Vladimir Putin sejak akhir-akhir ini. - AFP

ISU MATA WANG

Gutteres juga menyeru untuk menjadikan kawasan tersebut bebas tentera, selain menegaskan bahawa perjanjian diperlukan dalam tempoh segera untuk mewujudkan Zaporozhye sebagai infrastruktur awam semata-mata bagi memastikan keselamatan loji itu.

Usaha Erdogan tidak terhenti setakat itu sahaja. Presiden Turkiye itu turut menyatakan bahawa beliau akan membawa isu perbincangan tentang isu loji nuklear Zaporizhzhia dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin selepas mengadakan perbincangan bersama Zelenskyy.

Adakah usaha Erdogan akan membuahkan kejayaan?

Presiden Turkiye itu kerap menemui Putin sejak kebelakangan ini dan paling terbaharu adalah pertemuan mereka di Sochi, Rusia yang juga membincangkan pelbagai isu termasuk penggunaan mata wang ruble berbanding dolar semasa negara tersebut mahu membeli sebahagian produk Rusia.

Erdogan kelihatan amat serius dalam meredakan konflik di loji nuklear tersebut. Beliau akan meminta Putin mengambil langkah penting untuk keamanan dunia.

Setelah Turkiye terlibat bagi memastikan kapal-kapal membawa bijirin tidak lagi disekat di Laut Hitam oleh Rusia dalam Perang Ukraine dengan penglibatan PBB, adakah Erdogan akan sekali lagi berjaya menjadikan loji nuklear di Zaporozhye tidak berada dalam kawalan tentera seperti dimahukan badan dunia? - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca