MENJELANG 'masa kecederaan' prosiding rayuan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, timbulnya pelbagai episod drama mengejutkan. Berikutan itu, 'perang... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG 'masa kecederaan' prosiding rayuan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, timbulnya pelbagai episod drama mengejutkan.

Berikutan itu, 'perang persepsi' mengenai hak Ahli Parlimen Pekan itu mendapatkan proses perbicaraan adil, selain dakwaan konspirasi membunuh karektor Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Tengku Maimun Tengku Mat dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kini dilihat semakin memuncak.

Susulan prosiding rayuan akhir kes Najib ini dijangka diputuskan 26 Ogos ini, ramai pemerhati politik cuba membandingkan situasi kes beliau dengan kes sabitan bersalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999.

Pada tahun berkenaan, Anwar yang baru dipecat jawatan Timbalan Perdana Menteri, dijatuhkan hukuman enam tahun penjara atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa.

Tunjuk perasaan dan pelbagai demonstrasi memprotes keputusan Istana Kehakiman berlaku di mana-mana termasuk hadapan kompleks membeli-belah Sogo dan bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya hampir setiap minggu, sehingga mendapat liputan meluas seluruh dunia.

Ada pihak yang membuat perbandingan perang persepsi perbicaraan Najib dengan kes Anwar 1998.

Bahkan gerakan itu mewujudkan gelombang awal semangat Reformasi 98 yang akhirnya membawa kepada penubuhan Parti Keadilan Nasional (sekarang Parti Keadilan Rakyat).

Implikasinya juga sangat besar terhadap kerajaan BN sewaktu Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10).

Buat pertama kali dalam sejarah, tsunami pengundi Melayu tercetus dengan koalisi gabungan pembangkang, Barisan Alternatif (BA) berjaya merebut 42 kerusi Parlimen selain merampas dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

FENOMENA PROSIDING TERAKHIR

Kini, fenomena hampir sama membayangi prosiding rayuan akhir kes Najib.

Bermula dengan kenyataan beberapa pemimpin utama UMNO-BN diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan dalam kes beliau.

Ia disusuli dengan timbulnya pelbagai serangan media sosial dilakukan sebilangan penyokong Najib terhadap Tengku Maimun, ahli keluarganya dan institusi kehakiman, termasuk ugutan ancaman keselamatan.

Najib sendiri dalam satu kenyataan Facebooknya turut mendakwa 'nyawa, kebebasan dan hak beliau untuk mendapat perbicaraan yang adil, kini terancam.'

Najib turut memuatkan luahan hatinya menerusi Facebook kepada penyokong-penyokongnya dengan mendakwa perbicaraan yang adil cuma ilusi.

Hal ini rentetan Mahkamah Persekutuan menolak dua permohonan peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan perbicaraan kes bagi tempoh tiga hingga empat bulan, disusuli permohonan menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes berkenaan.

Terbaru, peguam, Datuk Zaid Ibrahim yang hanya mewakili Najib selama 25 hari, kesal dengan panel hakim Mahkamah Persekutuan yang didakwa memberi persepsi salah.

Ini kerana Najib percaya hakim sudah menganggap penyusunan semula pasukan peguamnya pada akhir Julai lalu, adalah cubaan menangguhkan prosiding.

PERBANDINGAN DENGAN REFORMASI 1998

Bagi pandangan sebilangan pakar perundangan tempatan, kritikan Najib, pemimpin UMNO dan sebahagian besar penyokong fanatik beliau seolah-olah cuba menimbulkan keraguan kononnya institusi kehakiman gagal memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan.

Ini kerana apabila Najib berkemungkinan menjadi Perdana Menteri pertama dari Malaysia dihumban ke dalam tirai besi, sudah pasti UMNO-BN akan cuba mewujudkan fenomena tsunami Melayu dengan membingkaikan nasib bekas Presiden UMNO itu sebagai 'mangsa kezaliman politik'.

Bagaimanapun, ada pandangan berbeza yang melihat perkembangan terkini kes Najib mungkin membawa kepada kempen penyokong UMNO-BN memboikot PRU15.

Hal ini kerana sebilangan ahli UMNO yang pro Najib berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah-olah gagal berperanan membantu menyelamatkan pemimpin mereka walaupun beliau merupakan Naib Presiden UMNO.

Bahkan, sudah berleluasa 'serangan' pemimpin tertentu UMNO terhadap Ismail Sabri di media sosial apabila mereka cuba mempersoalkan tindakan ketua kerajaan itu tidak mencampuri bidang kuasa institusi kehakiman.

Najib (tengah) ketika sidang media di Mahkamah Persekutuan. - Foto Bernama

IMPLIKASI

Dari sudut pandang berbeza, saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat dalam satu hantaran Facebook turut mengunjurkan implikasi keputusan rayuan akhir kes Najib, sekiranya tidak memihak kepada pemimpin UMNO itu, akan memberi impak positif kepada blok pembangkang.

Hal ini kerana beliau berpandangan implikasi kegagalan Najib memenangi kes rayuan, sekiranya menjadi realiti, akan membantu meningkatkan kadar pengundi tegar PH untuk keluar mengundi pada PRU15, sekurang-kurangnya lima peratus.

Walaupun apa pun implikasi keputusan rayuan akhir kes Najib, semoga kedaulatan institusi kehakiman sebagai salah satu daripada tiga badan pengasingan kuasa penting negara, akan terus terpelihara.

Paling penting, pengakhiran kes Najib tidak seharusnya mengulangi episod fitnah dan kekecohan sewaktu perbicaraan kes Anwar yang akhirnya memberi imej buruk kepada negara.

Klik di sini untuk terus membaca