SELAIN mengamalkan pemakanan yang sihat, penduduk di China juga kerap menggunakan basikal atau hanya berjalan kaki untuk ke tempat kerja mahupun ke sesuatu destinasi. Menurut pemerhatian penulis, tidak kira sama ada pada waktu pagi, tengah... Klik di sini untuk terus membaca

SELAIN mengamalkan pemakanan yang sihat, penduduk di China juga kerap menggunakan basikal atau hanya berjalan kaki untuk ke tempat kerja mahupun ke sesuatu destinasi.

Menurut pemerhatian penulis, tidak kira sama ada pada waktu pagi, tengah hari dan petang, aktiviti sihat tersebut tetap dilakukan meskipun pada musim panas.

Dalam masa sama, proses yang sangat mudah dan tidak merumitkan itu juga antara penyebab penduduk dan pelancong memilih untuk berbasikal daripada mengambil teksi.

Pengguna hanya perlu mengimbas kod melalui aplikasi yang selalu digunakan iaitu Alipay atau WeChat dan wang akan ditolak setelah selesai digunakan.

Basikal juga mudah untuk didapati kerana ia boleh diletakkan di mana-mana sahaja yang mudah ditemui. Tiada tempat khusus untuk meletakkan basikal tersebut.

Dengan harga serendah RMB1.50 (RM1) sahaja, orang ramai dapat menggunakan basikal yang disediakan untuk tempoh sehingga 30 minit.

Selain itu, pengalaman penulis dalam menggunakan basikal berbayar di China ini, keselamatan adalah terjamin kerana terdapat lorong khas yang disediakan.

Selain itu, terdapat kamera keselamatan turut diletakkan di merata tempat bagi memastikan pengguna jalan raya dalam keadaan yang selamat.

Berdasarkan sejarah, China telah mula membudayakan aktiviti berbasikal bermula pada tahun 1970.

Namun, ia terhenti apabila negara itu mula berkembang maju.

Kuasa membeli menjadi lebih tinggi daripada sebelumnya.

Oleh itu, daripada membeli basikal, kereta mewah menjadi pilihan rakyat tempatan. Disebabkan itu, industri basikal merosot kerana tiada pengguna.

Namun demikian, sekitar tahun 2015, penduduk China mula sedar tentang kepentingan dan kesan kepada alam sekitar sekiranya terlalu banyak kenderaan yang digunakan.

Dalam masa sama, penggunaan basikal juga mampu mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Tambahan, ia boleh menyihatkan tubuh badan. Akhirnya, budaya itu menjadi popular semula pada tahun 2017.

Ia merupakan inisiatif yang baik dan berkesan kerana berdasarkan pemerhatian, lalu lintas di ibu negara iaitu Beijing hanya berlaku kesesakan pada waktu puncak.

Berbeza pula dengan keadaannya dengan Malaysia iaitu di Kuala Lumpur, lalu lintas mengalami kesesakan tidak kira masa. Ini kerana, penduduk lebih menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam.

Penggunaan basikal juga mampu mengelakkan kesesakan lalu lintas.

KADAR OBESITI RENDAH

Selain itu, berbasikal dan berjalan kaki juga menjadi antara faktor penyumbang terhadap peratusan obesiti yang rendah di China.

Hanya sekitar lima hingga enam peratus daripada seluruh penduduknya iaitu 1.4 bilion sahaja yang dikategorikan sebagai terlalu gemuk.

Mengapa ia boleh terjadi? Ia adalah disebabkan gaya hidup selain pemakanan tidak sihat yang diamalkan oleh warga tempatan.

Seingat penulis, ketika waktu menjadi pelajar di universiti sekitar tahun 2017 dahulu, basikal berbayar ini pernah menjadi fenomena di Malaysia.

Penulis turut berpeluang melakukan aktiviti berbasikal dengan meronda-ronda sekitar Beijing.

Namun begitu, ia tidak kekal lama. Fenomena hanya sementara dan tidak dapat dijadikan budaya yang berpanjangan.

Ini kerana disebabkan terdapat segelintir masyarakat yang melakukan vandalisme terhadap kemudahan itu sehingga perkhidmatan tersebut terpaksa dihentikan.

Melihat situasi di China ini, penulis berpendapat mungkin Malaysia perlu membangunkan semula budaya berbasikal dalam kalangan rakyat.

Meskipun berbasikal dengan jarak dekat, ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan masyarakat Malaysia.

* Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.

Klik di sini untuk terus membaca