SHAH ALAM - Prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan terjejas sekiranya pihak pembelaan terus enggan berhujah pada Selasa ini. Setiausaha Agung Organisasi Kemanusiaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan terjejas sekiranya pihak pembelaan terus enggan berhujah pada Selasa ini.

Setiausaha Agung Organisasi Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan mengecualikan diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu, selain tidak melakukan sebarang hujahan semasa prosiding akan menyebabkan sesi pendengaran rayuan akhir kes menjadi tidak lengkap.

"Sekiranya tiada hujahan, ia akan membawa kesan kurang baik pada rayuan anak guam. Sepatutnya peguam hadir adalah untuk mengemukakan hujahan fakta dan undang-undang untuk menyokong rayuan anak guam.

"Saya bimbang sekiranya anak guam yang tidak diwakili secara profesional, keputusan rayuannya mungkin tidak memihak kepadanya pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Najib (tengah) keluar selepas Mahkamah Persekutuan untuk berhenti rehat pada prosiding pendengaran rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd yang berlangsung pada Jumaat lepas.

Hishamuddin mengulas mengenai peguam Hisyam Teh Poh Teik yang memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang hujahan dalam prosiding rayuan akhir kes melibatkan Najib, pada Selasa ini.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan bahawa pihak pembelaan mempunyai tiga hari untuk membuat persediaan bagi hujahan.

Hishamuddin yang juga merupakan seorang peguam menjelaskan, meskipun tiada hujahan, mahkamah akan meneruskan prosiding rayuan tersebut dan masih boleh membuat keputusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pembelaan sewajarnya membuat persediaan dan bukannya mengundurkan diri daripada prosiding rayuan akhir kes tersebut.

"Sebagai seorang peguam, kita buat apa yang termampu semasa berhujah dan itu lagi baik daripada tidak hadir atau langsung tidak membuat hujahan dengan alasan tidak bersedia dan sebagainya," jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca