SHAH ALAM - Kebanyakan selebriti mahupun individu berpengaruh mengakui mengelak untuk membaca komen terutamanya yang berunsur negatif di media sosial untuk mengurangkan rasa sakit hati.
Selebriti versatil, Shiha Zikir yang turut tidak terlepas dengan kritikan negatif netizen berkata, beliau seboleh-bolehnya tidak akan menjebakkan diri dalam situasi yang akan membuat dirinya berasa tertekan.
"Tetapi jika berikan komen terutamanya di luar akaun media sosial rasmi, saya elakkan untuk baca sebab kita ini manusia, bukan robot.
"Kalau baca kata-kata negatif orang terhadap kita, tipulah kalau saya katakan tidak terasa langsung. Mesti akan ada rasa sikit sama ada sedih atau geram,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Amira Othman mengakui beliau cenderung mengambil pendekatan menyekat akaun Instagram individu yang melemparkan komen negatif di ruangan komen di media sosialnya.
Ujarnya, tindakan itu dilakukan ekoran tidak mahu mewujudkan persekitaran negatif yang sekali gus boleh menyebabkannya tertekan gara-gara asyik memikirkan perkara tersebut.
"Saya lebih mementingkan privasi kerana apabila kita memilih untuk berkongsi sesuatu, pasti ada yang suka dan akan ada juga yang tidak suka.
"Tetapi itu tidak bermaksud saya boleh elak (komen negatif), namun saya memilih untuk tidak melayan dengan menyekat akaun mereka yang memberikan komen keterlaluan dan tidak masuk akal,” katanya.
Kongsi pelantun lagu Jaga-Jaga itu, beliau dikecam oleh segelintir netizen sewaktu berkongsi kisah dirinya dimasukkan ke wad gara-gara bersenam secara berlebihan dalam laman Instagram pada tahun lalu.
"Saya ada kongsi kisah ini kerana saya nak orang tahu supaya kita tidak boleh bersenam secara keterlaluan.
Sementara itu, pelakon, penyanyi dan pengacara, Zizan Razak menegaskan, orang ramai perlu tahu membezakan antara perbuatan membenci dan menegur dengan beradab.
"Kita diberi akal dan adab untuk melontarkan pandangan. Walaupun banyak ilmu, kita perlu utamakan adab kerana Rasulullah SAW pun ajar kita beradab.
"Ada kalanya saya biarkan saja (komen negatif), tetapi apabila makin ramai pula komen, saya akan padam kerana saya tidak suka komen negatif.
"Mereka seolah-olah sengaja mencipta ruang untuk memberi komen seperti itu untuk menarik perhatian,” katanya.
'LARI' DARI MEDIA SOSIAL
Dalamm pada itu, walaupun sudah lama berlaku, namun seorang mangsa buli menerusi media sosial mendedahkan dia belum menjumpai cara untuk menangani kesan mental dan emosi dihadapinya.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, satu-satunya cara yang dilakukannya ialah menjauhkan diri daripada media sosial.
Menceritakan pengalamannya, Siti mendedahkan, dia pernah dimaki hamun menerusi di platform berkenaan apabila dituduh mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki walaupun tidak pernah berlaku.
Menurutnya, netizen di media sosial tidak peduli atau mengambil tahu sama ada cerita yang didengari oleh mereka benar atau palsu.
"Mereka terus menghentam dan memaki hamun saya di media sosial. Ada yang panggil saya sundal, jalang dan pemusnah rumah tangga orang.
"Sampaikan mereka cari profil media sosial saya dan mula tangkap layar gambar-gambar saya untuk disebarkan di akaun media sosial mereka.
"Ramai rakan-rakan saya dan ahli keluarga yang terkesan dengan fitnah ini serta ada juga yang pada awalnya percaya sahaja dengan fitnah ini. Tak kisah apa saja yang saya kata, mereka tak percaya kerana mereka lebih percayakan apa yang tertulis di media sosial,” katanya.
Dia turut memaklumkan telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan perkara ini.
"Saya ada membuat laporan dengan SKMM bagi memohon memadam posting-posting di internet yang telah menfitnah saya,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca