SHAH ALAM - Komen negatif, kenyataan menghina atau memperlekehkan individu di laman media sosial boleh menyebabkan mangsa menghadapi pergolakan emosi seterusnya berisiko mengalami masalah kesihatan mental.
Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, ada antara mangsa buli siber juga cenderung untuk berfikir dan merancang membunuh diri.
"Walaupun komen atau kenyataan tidak disasarkan kepada mereka (mangsa), namun sifat pesimis perbualan di media sosial juga boleh mempengaruhi mereka melakukan perkara di luar kawalan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dr Andrew yang juga merupakan Pakar Perunding Psikiatri menjelaskan, terdapat pelbagai jenis keadaan emosi dan gangguan mental yang menjadikan individu lebih sensitif terhadap komen di media sosial.
Namun katanya, keadaan psikologi yang paling ketara adalah kemurungan, iaitu keadaan klinikal yang membuatkan seseorang mudah terjejas dari segi emosi.
"Kemurungan harus dibezakan dengan kesedihan. Ia dilihat dalam kondisi yang mana kemurungan ada unsur rasa bersalah yang tinggi.
"Orang yang lemah emosi sepatutnya lebih berhati-hati apabila menggunakan media sosial. Malah orang yang mempunyai keadaan mental sedia ada juga boleh mengalami kemurungan apabila dihina dan dibuli dalam media sosial,” katanya.
RASA PUTUS ASA
Sementara itu, Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, kenyataan seperti menghina, mengherdik, mengancam dan sebagainya boleh menyebabkan mangsa rasa putus asa dengan kehidupan hingga memberi tekanan kepada mental mereka.
"Kandungan media sosial boleh membentuk persepsi, contohnya apabila ada berita tentang selebriti atau pempengaruh yang self harm, sudah cukup untuk mencetuskan pengikut mereka melakukan benda yang sama. Ia dipanggil copycat suicide.
"Selalunya perbuatan ini datang dengan idea, akan bercambah jadi perancangan dan percubaan. Kadangkala dia akan terhenti di peringkat idea namun apabila dibawa ke media sosial, dipengaruhi pula oleh komen yang mencabar akhirnya dia lakukan perbuatan itu,” katanya.
PEMBULI SIBER BOLEH DIJEL SETAHUN
Dalam pada itu, perbuatan buli siber seperti memberi komen berunsur negatif dalam pelbagai bentuk ucapan bertulis boleh membawa pelaku ke penjara tidak lebih setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pakar Kriminologi daripada Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar Dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, mangsa boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa dan pembuli boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian).
Beliau berkata, kebiasaannya golongan pempengaruh dan pengguna aplikasi TikTok yang memuat naik rakaman video tidak masuk akal, mencemar nilai dan norma masyarakat mudah menerima kecaman daripada netizen.
"Selain itu, golongan usahawan yang kaya raya melakukan aksi tidak bermoral dan menggunakan jalan singkat untuk popular serta mencari publisiti murahan juga seolah-olah bersedia untuk menerima kecaman,” ujarnya.Zalmizy turut menyarankan mangsa untuk membalas komen dengan cara yang positif, tidak kira betapa negatifnya ulasan yang dibuat terhadap mereka.
Jelasnya, ia sekali gus menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang orang lain di halaman media sosial.
"Jangan bersikap defensif, jangan marah dan kekal bergaya. Walau bagaimanapun, jangan hanya menghantar mesej terus kepada mereka. Sebaliknya, tinggalkan komen meminta mereka menghubungi anda untuk berbincang secara peribadi.
"Ini menunjukkan anda bersedia menangani isu tersebut tanpa perlu menjadikannya perbincangan umum untuk tatapan semua orang,” katanya.
Menurutnya, ia meninggalkan kesan yang sama seperti bersikap sopan atau positif.
Klik di sini untuk terus membaca