PENGANALISIS politik dan pakar ekonomi menyifatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah seorang Perdana Menteri yang kurang bercakap, namun kuat bekerja bagi memulihkan ekonomi negara kepada kehidupan lebih baik dari semasa ke semasa.
Ini terbukti apabila dalam diam Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bera itu mengatur strategik paling tidak disangka apabila mewujudkan perjanjian kerjasama rasmi dengan pembangkang bagi mengekalkan kestabilan politik di Malaysia.
Ismail Sabri sendiri dalam wawancara khas bersama media baru-baru ini menyifatkan gencatan dengan pembangkang sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.
"MoU seolah-olah gencatan diwujudkan supaya keadaan politik negara dapat distabilkan.
"Tetapi perkara itu bukan mudah. Ini kerana saya juga kena menjawab kepada parti (UMNO).
"Di Malaysia, kita sudah dilatih memahami konsep pembangkang adalah pembangkang manakala kerajaan adalah kerajaan. Jadi asasnya sukar untuk pembangkang dan kerajaan bersama," ungkap Ismail Sabri mengenai MoU dengan pembangkang.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani dengan Pakatan Harapan (PH) langkah paling bijak Ismail Sabri dalam mencari jalan damai politik.
Mazlan berkata, tindakan itu menyebabkan Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri kekal stabil sehingga hari ini biarpun menghadapi cabaran dan tekanan sama ada dari luar mahu pun UMNO sendiri.
Beliau berkata, tindakan itu membolehkan banyak Rang Undang-Undang (RUU) baharu dibawa oleh kerajaan seperti RUU Pindaan Perlembagaan (No 3) 2022 dan RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Menukar Parti Politik dibentangan dan diluluskan di Parlimen tanpa tentangan hebat daripada PH.
Dengan prestasi yang baik itu, kata Mazlan, Ismail Sabri wajar diberikan peluang untuk terus memerintah menjadi Perdana Menteri sehingga penggal Parlimen ke-15 tamat atau terbubar sendiri pada Julai 2023.
"Rakyat sekarang sebenarnya mengalami kelesuan politik. Mereka mahu kerajaan benar-benar fokus untuk memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat selepas lebih dua tahun berada dalam keadaan tertekan akibat penularan pendemik Covid-19," katanya.
Dalam pada itu, Mazlan berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan isu termasuk peningkatan kadar inflasi dan kenaikkan harga barang secara keseluruhannya kerajaan pimpinan Ismail Sabri dilihat dapat menanganinya dengan baik.
"Sebagai contoh sebelum ini ramai dalam kalangan rakyat mengeluh kerana berlaku kenaikkan harga ayam dan minyak masak, namun sekarang keadaan sebaliknya dan semakin stabil selepas kerajaan melaksanakan pelbagai langkah berkesan (termasuk menarik semula kuota import ayam dan menubuhkan Pasukan Jihad Tangani Inflasi).
"Sebab itulah kita tidak dengar sangat laungan 'kerajaan gagal' dan sebagainya oleh seterunya," kata Mazlan.
Sementara itu, Felo Kanan Social Welbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya (UM), Dr Zulkiply Omar berkata, kejayaan terbesar Ismail Sabri adalah membawa Malaysia keluar daripada krisis ekonomi dan pendemik Covid-19 seterusnya memasuki fasa endemik.
Beliau yang juga Profesor Adjung di Tun Abdul Razak 'School of Government' berkata, kerajaan pimpinan Ismail Sabri juga menghulurkan banyak bantuan tunai langsung seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi memastikan setiap keluarga mempunyai makanan di atas meja di rumah masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan juga berjaya mengawal kadar hutang negara, harga barang, kos sara hidup dan harga barang daripada naik secara mendadak biarpun kadar inflasi dunia terus meningkat.
Berikutan itu, kerajaan pimpinan Ismail Sabri perlu memperkenalkan reformasi ekonomi dan pasaran serta melaksanakan sistem subsidi secara lebih bersasar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.
"Sebagai contoh ketika ini kita melaksanakan kaedah pemberian subsidi yang membolehkan semua orang tidak mengira golongan B40, M40 mahu pun T20 membeli harga minyak dengan kadar sama bukan secara bersasar.
"Jadi bagi mengelak penyelewengan dan mengurangkan ketirisan kerajaan patut menjual harga minyak mengikut harga pasaran dan orang layak menerima subsidi diberikan bantuan contohnya dalam bentuk baucer tunai setiap bulan. Ini adalah kaedah lebih berkesan daripada kerajaan mahu mengawal atau menurunkan harga minyak.
"Jika kerana terus dengan kaedah pemberian bantuan subsidi seperti sekarang maka negara akan terus menghadapi masalah ketirisan, penyelewengan dan penyeludupan barang bersubsidi sampai bila-bila," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca