SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bersetuju bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan pada tahun ini bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) ketika ini dilihat menunjukkan prestasi yang kurang stabil.
"Hari ini kita lihat parti yang tidak stabil sebenarnya adalah PH dan PN, manakala BN telah bersiap siaga untuk terus ke arah PRU15. Lihat macam mana sebelum ini kita turun Konvensyen BN dan beritahu akar umbi supaya sentiasa bersedia untuk PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya PRU15 disegerakan kerana tindakan melengahkannya bermakna memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang sekali gus melemahkan BN dan UMNO.
Beliau turut menegaskan BN dan UMNO berkemungkinan tewas sekiranya PRU15 tidak diadakan segera dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi parti.
Dalam pada itu, Armand Azha memaklumkan, kadar kesiapsiagaan jentera BN untuk menghadapi PRU15 kini sudah berada pada tahap 80 peratus.
"Bagi UMNO, sudah pasti masa terbaik untuk melaksanakan pilihan raya adalah dalam masa terdekat ini.
"Jika dalam tempoh Oktober atau November ini kita berjaya mendapatkan keyakinan dan feel good factor daripada rakyat, tidak salah untuk buat PRU15 pada tahun ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca