SHAH ALAM - Menjelang hari penentuan bagi Mahkamah Persekutuan membuat ketetapan berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri itu sekali lagi melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru, pada Ahad malam.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menjelang hari penentuan bagi Mahkamah Persekutuan membuat ketetapan berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri itu sekali lagi melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru, pada Ahad malam.

Najib membacakan teks sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid menjelang prosiding rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Dalam lafaz sumpahnya, Najib antara lain mengulangi penafian beliau terbabit dalam kes SRC dan turut menafikan mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun banknya.

Beliau juga mendakwa tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkum apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluarga.

Pada Selasa lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang minta diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan dan memerintah rayuan diteruskan mengikut jadual.

Khamis lalu, mahkamah turut menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.

Najib menunaikan solat Isyak, solat hajat dan bermunajat sebelum melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru pada malam Ahad.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Sumpah laknat Najib berkaitan SRC itu bukan kali pertama dilakukan di mana pada 28 Julai 2020, Najib melafazkan sumpah laknat di hadapan Mohd Nazlan ketika diberi peluang bercakap selepas penghujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan.

Dalam ucapannya, Najib antara lain menegaskan bahawa dia tidak mengetahui mengenai wang milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta itu.

Pada 8 Disember 2021, Najib sekali lagi mengulangi lafaz sumpah laknat sebagai menyatakan beliau tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC.

Bekas Perdana Menteri keenam negara itu menyatakan rasa kecewa di atas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya.

Pada 20 Disember 2019, Masjid Kampung Baru turut menjadi saksi Ahli Parlimen Pekan itu melafazkan sumpah laknat, menafikan dakwaan mengenai penglibatannya berhubung pembunuhan seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui kenyataan media pada 23 Disember 2019 memaklumkan, tiada istilah sumpah laknat dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara li'an.

Dr Zulkifli berkata, bagaimanapun mubahalah dalam Surah Ali Imran ayat 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya kategori sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar.

"Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah.

"Bahkan proses keadilan di mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim," katanya.

Beliau berkata, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim.

Menurut Zulkifli, ia dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengar.

"Ia disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut di mana pembuktian adalah tanggungjawab pihak pendakwa, manakala sumpah penafian adalah tanggungjawab orang yang didakwa," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca