SHAH ALAM - Biarpun sumpah laknat atau sumpah mubahalah bukan perkara baharu dan tidak membantu pelakunya bebas daripada salah laku dan tuduhan jenayah mahkamah, namun ia tetap menjadi pilihan ahli politik dan kenamaan untuk membersihkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun sumpah laknat atau sumpah mubahalah bukan perkara baharu dan tidak membantu pelakunya bebas daripada salah laku dan tuduhan jenayah mahkamah, namun ia tetap menjadi pilihan ahli politik dan kenamaan untuk membersihkan imej mereka di mata masyarakat di Malaysia.

Dalam 10 tahun lalu, ramai ahli politik dan kenamaan yang mengambil tindakan berani dengan menyatakan hasrat atau melafazkan sumpah laknat sama ada di masjid atau lokasi lain difikirkan bersesuaian.

Malah, terbaru bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang dalam proses rayuan akhir bagi kesalahan menyeleweng dana RM42 juta SRC International (SRC) juga melakukan sumpah mubahalah di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, Ahad malam, bagi menafikan pembabitannya dalam kes tersebut.

Bekas Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan berbuat demikian demi membersihkan namanya dan keluarga selain tidak mahu orang ramai terus termakan dengan fitnah berhubung kes itu.

Najib yang berbaju Melayu berwarna putih, berseluar hitam dan bersongkok berkata, beliau melafazkan sumpah mubahalah berkenaan selepas berusaha bersungguh-sungguh dan berjuang sebaik mungkin untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya.

"Aku, Mohd Najib bin Abdul Razak setelah berusaha dan berjuang dengan sebaik mungkin untuk mendapat keadilan di dunia ini, dengan ini aku melafazkan ucapan mubahalah.

"Sejak aku diamanahkan memimpin negara Malaysia ini, aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya, bahawa dana sebanyak RM42 juta itu datang dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung," katanya.

NAJIB

Berikut merupakan senarai lain Najib melafazkan sumpah laknat:

20 DISEMBER 2019

Najib yang juga Pengerusi BN melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru bagi menafikan dakwaan mengenai penglibatannya berhubung pembunuhan seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

28 JULAI 2020

Najib melafazkan sumpah laknat di hadapan Mohd Nazlan ketika diberi peluang bercakap selepas penghujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan.

Dalam ucapannya, Najib antara lain menegaskan bahawa dia tidak mengetahui mengenai wang milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta itu.

8 DISEMBER 2021

Najib sekali lagi mengulangi lafaz sumpah laknat sebagai menyatakan beliau tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC.

Bekas Perdana Menteri keenam negara itu menyatakan rasa kecewa di atas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya.

Mohd Saiful Bukhari melafazkan sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 15 Ogos 2008.

MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN

Nama Mohd Saiful Bukhari Azlan mula menjadi sebutan selepas mendakwa dirinya diliwat oleh seorang ahli politik.

Malah calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson turut melafazkan sumpah laknat menafikan beliau berbohong.

15 OGOS 2008

Mohd Saiful Bukhari pertama kali membuat sumpah laknat, iaitu mengangkat sumpah mengikut syariat Islam, bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat lebih empat tahun lepas, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 15 Ogos 2008.

Mohd Saiful Bukhari berkata, sumpah itu dibuat bagi membuktikan kepada umat Islam di seluruh dunia bahawa dakwaannya itu benar, dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk melakukan konspirasi politik.

APRIL 2012

Mohd Saiful Bukhari menayangkan video mengenai sumpah laknatnya di depan Baitullah yang dibuatnya pada April tahun 2012 ketika menunaikan umrah.

2 MEI 2013

Mohd Saiful Bukhari mengulangi sumpah laknatnya di hadapan Kaabah di Tanah Suci Mekah, bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat.

Shazryl Eskay (tengah) melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-Asr Bandar Baru Sentul pada 29 April 2011.

DATUK SHAZRYL ESKAY ABDULLAH

Pada 29 April 2011, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang juga salah seorang trio 'Datuk T' bersumpah laknat bahawa pelaku dalam video seks melibatkan pemimpin pembangkang.

Beliau melafazkan sumpah laknat berkenaan di hadapan media bersaksikan pembantu imam Masjid Amru Al-Asr Bandar Baru Sentul kira-kira pukul 4.15 petang Jumaat.

Shazryl Eskay memulakan upacara dengan mengucap dua kalimah syahadah sambil memegang senaskah Al-Quran.

Majlis berkenaan turut dihadiri bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Ketiga-tiga trio 'Datuk T' berkenaan adalah individu yang bertanggungjawab terhadap pendedahan video seks berkenaan.

Sebelum itu, ketiga-tiga trio berkenaan hadir di ruang solat utama kira-kira pukul 4.05 petang dengan memakai baju kalis peluru di dalam kemeja masing-masing.

Terdahulu seorang ustaz dipercayai seorang penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi nasihat kepada Shazryl Eskay agar tidak meneruskan sumpah laknat berkenaan kerana menurutnya tidak mengikut hukum Islam.

Selepas Shazryl Eskay menyempurnakan upacara sumpah berkenaan, sekumpulan ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang turut berada dalam ruang solat utama berkenaan bertindak menimbulkan kekecohan sambil melaungkan "tolak, tolak, tolak fitnah".

Bagaimanapun ketiga-tiga trio berkenaan terus dibawa keluar dari masjid berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Klik di sini untuk terus membaca